Sukan Olimpik & Puasa Menurut Beberapa Pandangan

By Hafizuddin An-Nuri on 7/24/2012 10:09:00 AM

Filed Under:



Assalamualaikum & salam ceria...

Apabila hangatnya isu kebenaran penangguhan puasa oleh atlet Muslim Malaysia yang bertanding dalam temasya Olimpik tahun ini yang dikeluarkan bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, perbicangan mengenainya semakin rancak.

Dan berikut saya datangkan secara mudah pendapat dan konsep yang dikeluarkan oleh beberapa orang tokoh yang arif berkenaan isu ini.

Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre 
[Naib Presiden Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM)]

Kaedah umum dalam Mazhab Syafie adalah: Jika permusafiran bertujuan melakukan maksiat, maka tiada rukhsah yg boleh diambil. Jika permusafiran tujuannya baik tapi maksiat dilakukan ketika bermusafir itu, maka masih boleh mengambil rukhsah. Itupun kalau boleh namanya rukhsah ya, bukan tangguh puasa. 

Kalau tangguh kerjakan haji kerana sebab tertentu (seperti perkahwinan, pilihanraya dsb) memang boleh pasal haji ni kewajipannya lapang (muwassa'). 


Ustaz Hasrizal Abdul Jamil 
[Saifulislam.com]

Semangat (perisitwa puasa Zama’ al-Hawajir) inilah yang ingin saya tiupkan kepada para atlet negara yang menyertai Temasya Sukan Olimpik di London pada 27 Julai – 12 Ogos akan datang. 

Pingat emas Olimpik bukan untuk atlet sebarangan. Ia adalah pengiktirafan untuk YANG TERBAIK. 

Kali ini Olimpik berlangsung di bulan Ramadan dan Musim Panas. Atlet kita menjadi pejuang di era Zama’ al-Hawajir! 

Semoga dengan semangat luar biasa melalui ibadah puasa yang mencetuskan kekuatan terbaik, kita akan melihat sinar emas di Temasya kali ini. Bukan nilai emas itu yang dikejar. Tetapi membuktikan bahawa atlet Muslim yang berpuasa di musim Zama’ al-Hawajir, jangan main-main dengan mereka. 


Dr. Fauziah Mohd Noor 
[Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) UIAM]


Sebab untuk menangguhkan puasa memang disebutkan di dalam Quran, dan yang dipanggil rukhsah (concession) keringanan yang diberikan kepada orang-orang tertentu di dalam keadaan tertentu sahaja, itu yg saya sebutkan di atas. 

Ada mufti dari Eropah yang memberikan fatwa, di dalam bulan Ramadhan, pemain-pemain bola sepak bergama Islam boleh menangguhkan puasa mereka dengan alasan bermain bola itu adalah karier mereka, dan jika mereka tidak dapat bermain dengan baik kerana berpuasa, mungkin mereka akan kehilangan kerja dan kehilangan sumber pendapatan mereka. Sedangkan mencari nafkah (bekerja) adalah wajib. 

Dan sebab lain yg diberikan adalah faktor keselamatan, kalau bermain/bersukan di dalam keadaan berpuasa kemungkinan besar akan membahayakan nyawa. 

Kesimpulannya, keharusan utk menangguhkan puasa bagi pemain-pemain bola sepak profesional dan ahli-ahli sukan ini boleh diterima pakai. Dari sudut kesihatan sendiri, kita tahu pemain-pemain bola sepak dan ahli-ahli sukan akan kehilangan banyak peluh sewaktu bermain. 'Dehydration' boleh membawa kepada maut di dalam keadaan yg tertentu. Itu yang kita kata, jika kita berhadapan dengan dua kemudharatan, maka kita perlu pilih mudharat yangg kecil. Kalau tetap nak berpuasa ketika bermain secara profesional itu, mungkin akan mati atau mungkin dibuang kerja terus.

Mereka cuma ada dua pilihan, hanya org yg benar-benar kuat imannya akan sanggup berhenti terus walaupun kehilangan kerja. Tetapi dalam konteks kerja itu satu keperluan (necessity), maka mereka terpaksa mengikut peraturan sukan iaitu tidak dibenarkan berpuasa. 


Ustaz Mohd Masri Mohd Ramli 
[Pengarah Urusan INTIS Consultant / Graduasi UIAM]


Isu musafir atas sebab syari'e atau tidak itu juga dibahaskan oleh ilmuan Islam. Ada yang menyatakan hanya safar yang tidak melanggar syara' sahaja dibenarkan, dan ada yang berkata apa-apa jenis safar pun tidak wajib puasa. 

Tujuan Perjalanan: 
Para ahli fiqh membahagikan tujuan musafir itu kepada dua; 

1- Kerana tujuan kebajikan 

Musafir kebajikan ialah seperti menunaikan amalan umrah / haji, menziarah saudara / rakan, menuntut ilmu dan berniaga 

2- Kerana tujuan maksiat 

Musafir maksiat ialah seperti ke Las Vegas semata-mata bagi bermain di Kasino dan lain-lain yang seumpama. 

Ulama'-ulama' Shafie, Malik, Hanbali dan lain-lain mensyaratkan bahawa kemudahan hukum agama dalam musafir hanyalah bagi tujuan kebajikan kerana mustahil agama Islam memudah serta menggalakkan musafir bagi tujuan kemaksiatan. Dalil mereka ialah firman Allah Ta'ala: 

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."
(Surah Al-Maidah)

Ulama'-ulama' Hanafi serta sebahagian yang lain membolehkan musafir sekalipun bagi tujuan maksiat kerana dalil ayat al-Qur'an yang membolehkan berbuka ketika bermusafir tidak mensyaratkan tujuan apakah musafir itu. Bagi mereka musafir adalah dalam kategorinya yang sendiri manakala maksiat adalah juga dalam kategorinya yang sendiri. 


Dr. Juanda Jaya 
[Mufti Perlis]

Atlet yang bermain dalam temasya Olimpik dibenarkan untuk menangguh puasa kerana mereka bermusafir dan mereka berhak ambil rukhsah dan keringanan yang diperkenankan oleh syara'. 

Bagaimanapun, ia terserah kepada atlet tersebut sama ada berpuasa ataupun tidak sekalipun ia merupakan "keluasan agama". 

Mereka juga boleh menangguhkan puasa bagi mengelakkan daripada dituduh tidak memberi kerjasama, diboikot atau boleh menjejaskan peluang kemenangan dalam pertandingan. 


Allamah Syeikh Dr Ali Jum'ah
Syeikh Al-Allamah Dr. Ali Jum’ah 

Seorang pemain bola sepak, terikat dengan kontrak yang dimetrai antaranya dengan kelab atau pasukan tersebut maka ianya dikira seorang yang dibayar gaji diatas pekerjaannya tersebut. Jika pemain yang telah mengikat kontrak ini hanya memperoleh sumber rezekinya daripada pekerjaannya sebagai pemain bola sepak, maka jika terdapat perlawanan yang dilaksanakan pada bulan Ramadhan maka dibenarkan untuknya berbuka puasa untuk perlawanan tersebut jika mutu permainannya akan terjejas disebabkan berpuasa. 

Ini merupakan rukhsah kepada pemain tersebut kerana dia dianggap sebagai seorang pekerja yang dibayar gaji dan perkerjaannya akan terjejas jika pemain tersebut tidak bertenaga. Ini seperti yang disebutkan oleh ulama Hanafiyah di dalam kitab-kitab mereka, seseorang yang dibayar gaji di dalam tempoh tertentu (kontrak) maka dibenarkan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan jika dia tidak mampu untuk berpuasa ketika melaksanakan kerjanya.(Maka pekerjaan kontrak sebegini termasuklah kepada pekerjaan sebagai pemain bola sepak). 


Al-Imam Ibn Abidin Rahimahullah 
[Kitab Raddul Mukhtar 'Ala Durri Al-Mukhtar] 


Di dalam permasalahan kerja kontrak, jika pekerja tersebut masih terdapat pendapatan yang mencukupi untuk dirinya dan keluarganya( selain pekerjaan yang memerlukan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan) maka diharamkan kepada pekerja tersebut untuk berbuka puasa pada Bulan Ramadhan. 

Tetapi jika dia tidak mempunyai pekerjaan yang lain selain pekerjaan tersebut untuk menampung perbelanjaan keluarganya, jika dengan disebabkan berpuasa tersebut menjejaskan mutu kerjanya maka dibenarkan untuknya berbuka.
___________________________________________________

Semoga dengan sedikit perkongsian ini mendapat barakah dan rahmah Allah, ilmu semakin dicari semakin dikaji, semakin banyak diri ini rasa jahil.

Wallahua'lam.



0 comments for this post