Ayuh ASPIRASI Kita Bergabung, Jangan Jadi Orang Suruhan

By Hafizuddin An-Nuri on 12/31/2011 07:40:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria..



KUALA LUMPUR, 30 Dis: Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) diajak berjuang untuk menghapuskan Akta niversiti dan Kolej Universiti (Auku).

Demikian gesaan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor yang melihat Aspirasi akhir-akhir ini semakin lantang bersuara dengan mempamerkan diri sebagai kumpulan penyokong Umno.

Baginya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin terdesak yang mana kekuatan kepada jentera Pemuda Umno sudah terhakis dengan adegan-adegan kurang matang ahli Umno.

Beliau berkata, politik ludah dan politik lucah hanya semata-mata peluru mereka, ketajaman para pemuda dalam Umno sudah tumpul, mereka tidak lagi menjadi harapan Umno.

Maka, katanya Aspirasi penjuru terakhir untuk menarik golongan anak muda.

"Saya kira Aspirasi seolah-olah 'lembu ditarik hidungnya', sangat jelik apabila mereka menganjurkan demonstrasi untuk membantah demonstrasi.

“Jika benar kalian perjuangkan keamanan dan keadilan, ayuh bersama-sama kita berjuang mansuhkan Auku, hapuskan akta-akta 'rimba', jangan jadi orang suruhan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mencabar pengerusi Aspirasi untuk mengemukakan hujah bernas berteraskan ilmu, apakah kesalahan Adam Adli kerana mereka mengecam pula himpunan membebaskan mahasiswa UPSI itu.

Justeru, katanya jangan memberi hujah 'atas angin' kerana tiada dalam mana-mana peraturan mengatakan bahawa menurunkan bendera (gambar PM) dengan sengaja adalah bersalah.

“Jika mahu bercakap soal adab dan akhlak, saya minta anda semua turun ke medan lapangan mahasiswa dan anak muda. Di sana masih ramai dahagakan adab dan akhlak daripada anda.

“Paling penting, lihat ahli anda dahulu, apakah mereka sudah cukup beradab dan berakhlak dalam agama.

“Mahasiswa bawahan sangat perlukan tunjuk ajar untuk mendayung sampan di laut, bukan doktrin Umno anda!" katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru Aspirasi supaya berubah.

"Ayuh Aspirasi, sudah tiba anda berubah. Jika benarlah perjuangan anda adalah menuntut keadilan dan keamanan, bukan kerana Umno.

“Saya menyeru kalian semua untuk bersama-sama Gamis, PKPIM, Kami, Dema, LMP dan sebagainya dalam satu solidariti yang kukuh, bebas daripada mana-mana anasir parti. Turun bersama menyokong kebebasan Adam Adli, bukan mengampu pihak atasan," ujarnya.

Tegasnya lagi, sudah sampai masanya untuk anak muda berada dalam satu kumpulan yang kukuh, memahami tuntutan mereka terhadap negara dan menjadi golongan third force dalam menyemak dan imbang pentadbiran negara Malaysia, bukan menjadi kuda tunggangan pihak-pihak tertentu.

Sumber: Harakahdaily.Net


SIGMA Mengecam Tindakan Biadap Tentera Mesir Terhadap Wanita

By Hafizuddin An-Nuri on 12/25/2011 04:27:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Jika awal tahun dahulu, medan tahrir menjadi saksi berlakunya revolusi menjatuhkan pemerintahan Hosni Mubarak, akhir tahun ini pula MedanTahrir menjadi saksi rakyat diperlakukan dengan kejam dan keterlaluan oleh tentera mesir lebih-lebih lagi ianya berlaku kepada wanita. Tentera Mesir telah mengambil alih kerajaan selepas bekas Presiden Hosni Mubarak digulingkan pada 11 Februari lalu.

Pada awalnya, kehadiran tentera Mesir diterima rakyat, tetapi kini rakyat Mesir bangkit menuntut agar kepimpinan kerajaan kembali ditadbir oleh orang awam dan menuntut Dewan Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) segera melepaskan pentadbiran negara.
Tindakan biadap tentera mesir menperlihatkan kepada dunia bahawa mereka ini kejam. Apatah lagi minggu lalu, tiga orang tentera memukul seorang wanita yang tidak bersenjata, menarik pakaian wanita itu, dan menyeret dia ke bawah jalan Kaherah.

Penghinaan buat wanita

Sinergi Gabungan Mahasiswi (SIGMA) dengan tegasnya menyatakan kecaman dan menyifatkan tindakan tentera tersebut adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan biadap. Ianya memperlihatkan bahawa bukan sahaja wanita itu dibelasah, malah lebih teruk lagi bilamana mengaibkan dan mencabul kehormatannya sebagai seorang wanita. Ini merupakan penghinaan terhadap seorang wanita yang jelas bukan sahaja melukai fizikal wanita itu, malah emosi seluruh wanita di dunia. Kaum wanita sepatutnya dilindungi dan dihormati kaum lelaki apatah lagi tentera yang sepatutnya menjaga keselamatan dan bukan bertindak zalim kepada orang awam.

Tindakan tentera ‘melukai’ revolusi

Insiden yang berlaku ini menempelak dunia arab yang hebat melaungkan larangan keganasan terhadap wanita yang tidak bersenjata kerana yang berlaku adalah sebaliknya. Pihak tentera pada mulanya melindungi para aktivis revolusi pada bulan Februari dahulu kini secara terbuka menyerang dan menzalimi orang awam,malah tidak akan mengubah polisi perang mereka terhadap aktivisme demokrasi. Tindakan demi tindakan yang dilakukan pihak tentera ini tanpa disedari ‘melukai’ revolusi rakyat mesir.

Laungan dunia : Selamatkan wanita

Wanita mampu bangkit berani jika emosinya tercalar. Tarikh 24 disember ini membuktikan tidak mudah bagi wanita untuk kalah dengan keadaan. Sebanyak 10 000 orang wanita Mesir telah turun ke jalanan, dengan lantangnya melaungkan “Anak-anak perempuan Mesir adalah satu barisan merah!”, mereka bangun membantah tindakan zalim dan kejam tentera terhadap aktivis wanita itu.

SIGMA menyeru seluruh badan kerajaan mahupun bukan kerajaan, organisasi hal ehwal wanita dan mahasiswi samaada dalam negara dan luar negara untuk bersuara menyatakan bantahan dan kecaman terhadap kezaliman yang berlaku. Jika 10 000 wanita Mesir menggerakkan jasad mereka turun ke jalanan, marilah kita anak muda dan wanita di Malaysia mengerakkan jiwa menyatakan kebenciaan kita terhadap pencabulan kehormatan wanita.

Jika 1 orang wanita dianiayai, biar seluruh wanita di dunia bangkit dengan sedar mempertahankannya.

Selamatkan wanita!!

Rohayu Rusli
Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA)

Hilangnya Permata UIA, Selamat Tinggal Prof Aziz Bari

By Hafizuddin An-Nuri on 12/22/2011 04:05:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...

Tanggal 31 Disember ini menjadi pilihan buat tokoh akademik kontroversi, Prof Dr Aziz Bari (gambar) yang akan meletakkan jawatan sebagai pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

“Seorang ahli akademik yang lantang bersuara berteraskan nilai keilmuan dan berpegang disiplin ilmu bahawa setiap ilmu mesti disampaikan," kata Pengerusi Pro-M (Wufi) UIA, Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.

Menurutnya, mahasiswa UIA berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku khususnya pentadbiran universiti itu.

Baginya, memang benar keputusan terletak dalam tangan Prof Aziz sama ada mahu meletakkan jawatan atau tidak, namun pihak universiti perlulah menjadi tempat beliau mendapat sokongan, bukan tekanan.

Katanya, isu Prof Aziz Bari ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila seolah-olah ada pihak luar yang mencucuk pihak pentadbiran UIA.

Tambahnya, Aziz Bari bukan sahaja berhadapan dengan musuh di luar, bahkan dalam keluarga sendiri sedangkan beliau diiktiraf oleh seluruh masyarakat dengan kepakaran bidangnya dalam perlembagaan dan undang-undang.

"Keputusan sudah dibuat oleh Prof Aziz, kita hanya mampu bersedih dan terasa kehilangan beliau,” katanya.

Namun, ujarnya masyarakat tetap dan sentiasa bersedia untuk mendengar respons dan pandangan Dr Aziz terhadap apa yang berlaku dalam negara khususnya berkaitan dengan perlembagaan Malaysia.

Sumber: HarakahDaily.Net


Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

By Hafizuddin An-Nuri on 12/15/2011 03:13:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

RAKYAT, MAHASISWA DAN ANAK MUDA PERLU TURUN

Gerakan menuntut kebebasan akademik (BEBAS) menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk sama-sama turun ke himpunan menuntut kebebasan akademik pada 17 Disember nanti di Dataran Merdeka.

Himpunan ini mempunyai Dua Objektif besar iaitu:

Pertama sebagai isyarat bagi seluruh rakyat Malaysia yang sudah lama muak dengan sikap pihak pemerintah yang membelenggu rakyatnya dengan pelbagai cengkaman demi kepentingan tertentu.

Kedua adalah bertujuan menyerahkan deklarasi tuntutan BEBAS kepada pihak kerajaan dan tidak terlepas sama kepada pihak pembangkang.

Kami tegaskan bahawa mahasiswa adalah penentu masa depan negara. Mahasiswa pencorak dunia ekonomi, sistem sosial, kancah politik, arena pendidikan dan lainnya dalam negara.

Bermula dengan penggantungan terhadap ahli akademik yang dikira mengeluarkan pandangan berbeza dengan kehendak pemerintah walaupun beliau berhujah atas kepakaran dalam bidang tersebut, sehari dua ini pula kedengaran lagi rekod-rekod buruk dan sikap angkuh pengurus tadbir universiti yang benar-benar menghalang hak sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan tanah air.

Sehingga sebilangan mahasiswa terpaksa ditahan dan disoal siasat seperti seorang penjenayah bahkan program yang diaturkan mahasiswa juga diganggu sehingga menimbulkan kekacauan dengan hanya beralasankan tidak mendapat kelususan pihak ketiga dan keempat.

Sekalung tahniah kami ucapkan buat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang turut bersimpati kepada kalangan mahasiswa yang terlibat dan beliau juga menyatakan kekecewaan terhadap sikap aparat universiti yang hanya pandai mengongkong mahasiswa dan bukannya membantu mereka ke arah keadaan yang lebih baik. Hal ini menunjukkan sedikit sebanyak sikap cakna beliau terhadap isu yang kian runcing dalam negara iaitu antara sikap pentadbir universiti dan kuasa autonomi mahasiswa.

Mahasiswa dicantas sebegitu rakus dalam membawa tuntutan tidak lain hanya menginginkan perubahan segera berlaku dalam tanah air yang belum pernah dijajah ini ibarat kata salah seorang ahli akademik yang tidak pula dikenakan apa-apa tindakan walaupun sejarah lampau telah terpampang jelas dan adanya laungan keramat “ Merdeka ” sehingga sekarang. Biarlah, ayuh mahasiswa kita turun bersolidariti melakukan perubahan!

Tuntutan kita masih sama seperti yang disebutkan sebelum ini iaitu enam perkara ;

1) Mansuhkan AUKU, AKTA 174 dan AKTA 555
2) Bebaskan ilmuan berakademik
3) Bebaskan mahasiswa bersuara
4) Bebaskan mahasiswa mengurus pilihanraya kampus
5) Bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan aktiviti
6) Bebaskan mahasiswa berpartisipasi dalam politik


Muhammad Safwan Anang@Talib
Pengerusi,
Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)
Timb. Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)