Malaysia Mesti Diberi Nafas Baru

By Hafizuddin An-Nuri on 4/29/2012 08:35:00 AM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...


Cabaran globalisasi dan persaingan modenisasi telah member kesan dan impak yang besar kepada pembangunan social duniahari ini. Selari dengan itu juga teknologi dikemaskini dari semasa ke semasa, medium penyebaran maklumat juga semakin canggih, maklumat hanya diperoleh dalam masa beberapa saat hanya dengan menggunakan jari. Malangnya pembangunan struktur masyarakat hari ini telah dipengaruhi oleh kepentingan diri dan kelompok tertentu yang menyebabkan wujudnya golongan ‘berkuasa’ dan golongan tertindas. Perkembangan ini juga telah dibangunkan secara tidak seimbang dengan pembangunan aspek rohani dan moral masyarakat hari ini.

Dalam perbahasan permasalahan ini, Malaysia adalah antara negara yang masih belum mencapai tahap negara yang mengamalkan konsep demokrasi secara sepenuhnya. Bahkan, intitusi-insitusi yang dinaungi oleh kerajaan masih dipertikai dan diragui integritinya untuk mengurus tadbir negara ini. Antara faktor yang boleh kita bincangkan dalam isu ini adalah peranan dan kebebasan media di Malaysia, pengamalan rasuah yang semakin meningkat dalam institusi kerajaan dan pengurusan dan urus tadbir negara yang lemah.
Apabila kita menyentuh perkara yang berkaitan dengan politik atau pemerintahan negara, pastinya kita tidak dapat menafikan fungsi dan peranan pilihanraya untuk memilih calon terbaik mewakili rakyat secara demokrasi. Dalam ilmu politik, perjalanan pilihanraya lazimnya dikaitkan dengan "3M" yang merujuk kepada faktor Media, Money dan Machinery(jentera). Media adalah saluran terbaik untuk menyampaikan agenda bagi sesiapa pun yang menguasainya, sehingga ada penganalisis politik yang berpendapat kumpulan yang menguasai media akan menguasai ‘medan peperangan’.

Dan inilah yang berlaku di Malaysia, saluran media arus perdana bukan lagi dijadikan saluran informasi rakyat tetapi dimanipulasikan sehabis-habisnya untuk memberi keuntungan politik kepada parti pemerintah semata-mata. Bahkan lebih memalukan lagi, media umum seperti RTM1 dan Utusan Malaysia mahupun media swasta seperti Astro digunakan untuk memburuk-burukkan parti yang tidak menyebelahi kerajaan atau parti pembangkang.

Jika benar kerajaan Malaysia berwawasan tinggi untuk meletakkan negara di taraf yang tinggi, beberapa negara maju boleh dijadikan sebagai contoh seperti Amerika Syarikat yang diberikan kebebasan untuk membeli airtime di mana-mana stesen televisyen atau radio sebagai wadah kempen. Begitu juga dengan apa yang berlaku di negara jiran, Indonesia yang membuka ruang debat dan soal jawab secara terbuka kepada calon-calon yang bertanding dalam pemilihan umum dan beberapa pemilihan gabenor.

Merujuk kepada Transparency International berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah tahunan pada tahun 2009, 5 negara seperti Switzerland, Sweden, Singapura, Denmark dan New Zealand telah mengunguli kedudukan antara negara yang paling bersih  dan berprinsip dalam menangani rasuah di negara masing-masing. Namun, rakyat Malaysia hanyalah mampu berbangga dengan fakta negara asing kerana Malaysia mencatatkan kedudukan ke-56 daripada 180 buah negara dalam Indeks Rasuah apabila hanya mencapai nilai skor 4.5 daripada 10.
Tidak dapat dinafikan, golongan yang terlibat dengan gejala rasuah ini sinonimnya adalah orang atasan daripada kerajaan mahupun swasta. Faktor ketamakan dan mementingkan diri sendiri ini menjejaskan prestasi pentadbiran negara sekaligus member imej yang sangat buruk di mata dunia. Dalam beberapa kajian dan pemerhatian, faktor terbesar berlakunya kes rasuah adalah kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi yang tidak berasaskan kepada konsep kepimpinan kelayakan dan integriti. Oleh yang demikian, kita bloeh mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan kerajaan Presiden Marcos di Filipina yang dijatuhkan kerana amalan rasuah yang tidak dibendung.
Mahasiswa hari ini khususnya mesti bijak menilai, jangan mudah terpedaya dengan sebaran doktrinisasi yang semakin kencang. Politik sebenar yang berteraskan kebajikan rakyat dan pentadbiran yang cekap mesti dibezakan dengan politik kotor yang hanya bermatlamatkan menjaga kepentingan kumpulan sendiri berbanding seluruh masyarakat tanpa memilih bulu.

Parti-parti politik hari ini lebih gemar bermain isu peribadi dalam keghairahan mencapai kemenangan dalam pilihanraya, sehingga menyebabkan berlakunya fitnah yang berleluasa. Kita juga menolak segala korupsi yang berlaku pada hari ini khususnya dalam pentadbiran dan urus tadbir kerajaan Malaysia hari ini, termasuklah penyelewengan-penyelewangan sesama kroni. Waspada, kesannya terlalu besar dan bahaya kepada masyarakat. Inilah pengajaran yang perlu diambil setelah melihat kemusnahan negara termasuk ketidakstabilan sosial dalam masyarakat hari ini.

Melihat perkembangan politik hari ini, kita mesti berubah. Malaysia mesti berubah, Malaysia mesti diberi nafas baru. Pentadbiran yang cekap mesti mengambil alih pentadbiran yang sudah goyah dan tidak dipercayai lagi. Sistem-sistem yang baru mesti diperkenalkan dan menggantikan sistem-sistem yang sudah semakin tidak berfungsi lagi. Maka dalam membuat perubahan besar ini, pilihanrayalah menjadi medan penantian dan sebagai harapan terakhir. Namun seandainya perjalanan pilihanraya pun tidak bersih dan tulus, itulah tanggungjawab dan peranan seluruh warganegara Malaysia untuk memastikan sistem pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) bersih dan diyakini. BERSIH 3.0 bukan perhimpunan menentang kerajaan, tetapi perhimpunan membaik pulih kerajaan.

Saiful M. Amin
Pengerusi WUFI (We Unite For Islam),
UIAM Gombak

Pilihanraya: Antara Keadilan & Kezaliman

By Hafizuddin An-Nuri on 4/27/2012 05:42:00 PM

Filed Under:


Negara Malaysia hari ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, iaitu suatu bentuk pemerintahan yang menggunakan pungutan  suara rakyat sebagai asas dalam pemilihan kerajaannya. Ini  merupakan salah satu komponen utama dalam pengamalan demokrasi bagi mana-mana negara yang telah mencapai status kemerdekaan. Demokrasi adalah suatu ideologi politik yang menekankan kepada konsep kebebasan dan kedaulatan yang bertunas daripada fahaman liberalism itu sendiri. Pada asasnya, demokrasi mempunyai tujuh asas utama yang mesti menjadi pengamalan negara-negara demokrasi iaitulah wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya diadakan secara konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali wujud badan kehakiman yang senantiasa bebas dan berkecuali.

Sebagai sebuah medan untuk meraih sokongan dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin, pilihanraya dilihat dari sudut kaca mata Islam sebagai sebuah medan jihad kerana jihad didefinisikan sebagai melaksanakan sesuatu usaha dengan cara bersungguh-sungguh. Dalam hal ini, ianya merujuk kepada usaha untuk meninggikan kalimah Allah dan meletakkan syi’ar Islam di tempatnya yang tertinggi. Dewasa ini, pilihan raya menjadi medium yang paling tepat untuk dimanfaatkan sebagai sebuah wasilah bagi mendapatkan kuasa pemerintahan seterusnya membolehkan hukum Allah ditegakkan di atas muka bumi ini.

      Sirah Rasulullah SAW pernah mengukir hakikat bahawa Baginda SAW sendiri telah mengisytiharkan jihad perang sebagai wajib kepada kaum Muslimin dalam usaha memerangi golongan kuffar, menentang kezaliman serta menegakkan keadilan sejagat. Hal ini kerana, Islam pada masa itu mendapat tentangan musuh dengan cara berperang dan mengangkat senjata. Mengambil kira konteks di Malaysia, jihad pilihan raya menjadi satu kewajipan dalam memastikan cita-cita meletakkan kalimah Allah di tempat tertinggi tercapai, yakni dengan menjadikan pilihan raya sebagai medium terpenting untuk mengembalikan keamanan, melawan kezaliman sehingga keadilan dapat dinikmati oleh masyarakat daripada semua golongan.

Merujuk kepada kaedah usul Fiqh :

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
(Tidak akan sempurna sesuatu yang wajib melainkan melaksanakan sesuatu perkara, maka melaksanakan perkara tersebut adalah wajib)

Wajibnya melaksanakan hukum Islam di atas muka bumi menjadi asbab kepada wajibnya untuk umat Islam menyertai pilihanraya di Malaysia, hatta di mana-mana negara yang turut mengamalkan sistem yang sama. Tugas melantik pemimpin menjadi tanggungjawab setiap rakyat marhaen kerana pemimpin memainkan peranan utama yang menyelamatkan rakyatnya daripada kebinasaan di dunia dan akhirat. Setiap pemimpin akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai golongan yang berada di bawah pimpinnya. Oleh itu, adalah amat penting bagi masyarakat sesebuah negara supaya sentiasa bersikap teliti dan berhati-hati dalam memilih golongan yang akan memimpin mereka kerana golongan inilah yang akan memandu mereka sama ada menuju keberhasilan atau kemusnahan.

            Realiti yang sedang berlaku di Malaysia masih belum menampakkan tanda-tanda yang positif dan sinar harapan ke arah merealisasikan cita-cita meletakkan kalimah Allah di puncak tertinggi. Korupsi yang bermaharajalela baik dalam kalangan pemimpin peringkat atasan mahupun peringkat bawahan, pelanggaran syari’ah secara terang-terangan dan berleluasa, terhakisnya norma-norma masyarakat lantaran iman yang semakin menipis saban hari menyebabkan sukarnya untuk kezaliman dihapuskan dan keadilan untuk ditegakkan. Jauhnya umat Islam hari ini daripada Al-Quran dan As-Sunnah bermula daripada peringkat kepimpinan sehinggalah kepada golongan yang dipimpin menjadikan keadaan masyarakat Islam semakin genting.

            Pemimpin yang zalim dan menyalahgunakan amanah yang telah diberikan serta  menindas rakyat demi memuaskan nafsu sendiri perlu digantikan dengan mereka yang benar-benar telus dan jujur untuk memimpin. Allah SWT telah memberi peringatanNya berdasarkan surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud ;

“Sesungguhnya Tuhan memerintahkan supaya menjalankan keadilan, berbuat kebaikan dan memberi kepada kerabat-kerabat dan Tuhan melarang perbuatan keji, perlanggaran dan penderhakaan. Dia mengajar kamu supaya kamu mengingat.”

Ayuh kembali kepada manual kehidupan dunia dan akhirat kita, al-Quran dan as-Sunnah, sebagai menyambut seruan Allah SWT agar kembali kepada keduanya jika ada perkara yang kita persilihkan. Sesungguhnya keadilan di muka bumi Malaysia ini tidak akan tertegak selagi mana al-Quran dan as-Sunnah tidak dijadikan sumber rujukan pemerintahan. Sama ada Islam memerintah atau kita akan terus dizalimi, pilihan di tangan anda.

Bantah kezaliman, tegakkan keadilan! 

Muhammad Hafiz Mansor 
Timb Presiden Ma'ruf Club UIAM