WUFI Kesal Campur Tangan Politik Melampau

By Hafizuddin An-Nuri on 10/21/2011 02:29:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Atas sebab 'memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti', pakar Perlembagaan Malaysia tersohor, Prof Abd Aziz Bari digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan. Sebelum itu, beliau telah pun menerima surat tunjuk sebab daripada UIAM disebabkan oleh kenyataan kontroversi beliau yang menyentuh institusi Raja-Raja Melayu.

Tamparan hebat telah diterima oleh warga kampus akibat daripada penggantungan yang dibuat. Kebebasan akademik telah dipertikaikan, intelektualisme yang diperjuangkan selama ini telah dicabul begitu sahaja. Apa yang mengecewakan, ahli akademik yang menjadi mangsa.

Pada akhir-akhir ini, campur tangan pihak luar ke dalam pengurusan pentadbiran UIAM dilihat semakin menular. Hal ini bermula dengan isu kehadiran Ustaz Azhar Idrus ke dalam UIA, kemudian sekatan terhadap Presiden MPP dalam program HUJAH TV9 bergandingan bersama Rektor dan kemuncaknya kes Prof Abd Aziz Bari yang diambil tindakan penggantungan dan menyebabkan isu ini mendapat respon daripada pelbagai pihak di peringkat nasional.

Justeru, Pro-Mahasiswa (WUFI) berpendirian:

[1] Mendesak supaya pentadbiran UIA membuat penjelasan terhadap kes ini

[2] Mendesak agar penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari ditarik balik

[3] Bertegas dengan sebarang campur tangan politik luar ke dalam UIA demi menjaga nama baik institusi 'Taman Ilmu dan Budi'

[4] Memberikan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik seluas-luasnya tanpa sebarang kepentingan oleh mana-mana pihak

Kami juga berharap agar sebarang tindakan daripada pihak luar mempertimbangkan kondisi semasa mahasiswa UIAM.

Harapan kami juga agar golongan akademik dan cendekiawan lain bersedia untuk memberi sokongan penuh kepada isu ini.

Dalam berusaha menuntut keadilan untuk semua, di peringkat kepimpinan mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama-sama seluruh pimpinan mahasiswa di segenap kelompok sedang mengatur dan melaksanakan perancangan yang terbaik untuk kebaikan semua pihak. Perkara yang paling penting adalah, kita bukan memperjuangkan kebebasan Prof Abd Aziz Bari semata-mata, bahkan isu yang paling besar adalah kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.

Hudud! Biarkan Kartun Berbicara

By Hafizuddin An-Nuri on 10/19/2011 09:31:00 AM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...


Dibawakan khas oleh kartunis Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM, Amierul Hisham@Zero.6.


Belanjawan 2012 PR: Kesejahteraan Untuk Semua

By Hafizuddin An-Nuri on 10/05/2011 07:26:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat di dalam Parlimen sangat menarik untuk dikongsi dan diperhalusi. Cadangan belanjawan ini sama ada dikritik oleh pihak kerajaan atau pun diambil masuk sebagai Bajet 2012 oleh Kerajaan Pusat tetapi atas nama kerajaan, bakal kita saksikan.

Satu inisiatif yang sangat bijak diambil oleh PR dengan tema "Kesejahteraan Untuk Semua". Berikut adalah berkenaan dengan Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat:

Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat antaranya adalah seperti berikut:

1 - Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.

2 - Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.

3 - Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.

4 - Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.

5 - Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

Pembelaan rakyat terbanyak

Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan:

a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.

b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi.

c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.

d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.

f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang.

Mengembalikan martabat rakyat

a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan.

b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga.

c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.

d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.

e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.

g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai.

h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.

Menjamin Kelangsungan Wang Negara

Bagi menjamin kelangsungan wang negara, Belanjawan 2012 Pakatan Rakayat akan mengambil pendekatan berikut:

a) Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan bagi mengurangkan kecenderungan beberlanja berlebihan oleh perdana menteri

b) Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2012.

c) Dividen Petronas diunjur pada kadar RM26 bilion sahaja iaitu RM4 bilion lebih rendah dari BN bagi memastikan Petronas mempunyai sumber mencukupi untuk terus berkembang.

d) Penjualan Lesen Import (AP) akan dibuat secara lelongan bagi menambah pendapatan negara dengan kadar RM1.2 bilion.

e) Pendekatan perolehan kerajaan akan diamalkan secara tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputera.

f) Menyemak kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara.

g) Mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara.

h) Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain.

Membina keanjalan dan daya saing ekonomi

a) Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi yang tidak adil.

b) Meminda Akta Persaingan 2011 supaya meliputi sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli laian untuk memecahkan monopoli.

c) Mengurangkan pekerja asing menjelang 2015 mengikut sektor.

d) Elauan penjagaan anak RM1000 setahun kepada ibu-ibu yang layak dipadankan dengan pelaburan kerajaan membina pusat penjagaan kanak-kanak.

Kesejahteraan sekata dan seadilnya

a) Meminda Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap kepada prinsip formula berdasarkan faktor sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri.

b) Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar

c) Peruntukan khas RM100 juta untuk program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

Mengukuhkan arus reformasi rakyat

a) Melaksanakan sepenuhnya janji Buku Jingga termasuk memansuhkan ISA, akta bersabit media percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan AUKU.

b) Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti dicadang Pakatan Rakyat pada 2011 untuk memansuhkan semua akta yang bertentangan dengan amalan demokratik.

c) Melaksanakan segera semua tuntutan Bersih 2.0

d) Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam supaya bertanggungjawab terus kepada Parlimen.



e) Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara dibentang di Parlimen bersama laporan Ketua Audit Negara.

f) Membentuk tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahas belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.

Sumber: Harakahdaily.Net

UAI di UIA: 'Tangan Jahat' Mengganggu Program

By Hafizuddin An-Nuri on 10/01/2011 11:15:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran kepada Allah atas rezekiNya yang melimpah-limpah untuk hambaNya. Malam Jumaat bertarikh 30 September menjadi sejarah bagi mahasiswa UIAM apabila kehadiran lebih kurang 4000 ke majlis kuliah Ustaz Azhar Idrus mendapat sambutan yang hangat. Fenomena Ustaz Azhar Idrus telah menarik Persatuan Mahasiswa Terengganu untuk merisik beliau sejak bulan Februari yang lepas lagi.

Dengan kerjasama kelab yang giat dalam aktiviti dakwah, Ma'ruf Club, program ini diluluskan oleh pihak pentadbiran UIAM pada awal semester ini. Masjid SHAS UIAM bakal menjadi sasaran mahasiswa bahkan seluruh masyarakat dan peminat Ustaz Azhar Idrus daripada seluruh negara. Promosi digiatkan di masjid-masjid sekitar Gombak menghebahkan kedatangan seorang ulama terkenal ke Masjid UIAM.

Sehari sebelum program, pihak Ma'ruf Club dikejutkan dengan penarikan balik kelulusan tempat program iaitu Masjid SHAS yang boleh memuatkan 6000 orang. Dalam masa berbaki, pihak pentadbiran UIAM cuba membantu dan hanya meluluskan tempat di Experimental Hall yang mampu memuatkan seramai 300 orang. Berita tersebar dengan cepat di alam maya Facebook menyebabkan mahasiswa mula tidak berpuas hati.



Bagi kami Pro-Mahasiswa (WUFI), perkara sebegini seolah-olah telah menjatuhkan institusi masjid sendiri apabila menyekat seorang pendakwah profesional untuk berada di masjid menyampaikan kuliahnya. Namun, mahasiswa perlu berhati-hati dalam menghukum dan meletakkan pendirian.

Beberapa jam sebelum program, dikhabarkan pimpinan Ma'ruf Club melalui Presiden, saudara Mohd Eikhwan Ali dengan kerjasama Exco MPP, saudara Fitry Hussin telah cuba berusaha untuk berjumpa dengan Puan Rektor bagi memohon rayuan supaya dibenarkan berkuliah di masjid. Namun, Puan Rektor tiada di pejabat.

UIAM tidak bersalah. Pentadbiran UIAM tidak bersalah. Pihak masjid juga tidak bersalah. Mereka ditekan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kami mendapat maklumat daripada urusetia program yang berjumpa dengan Direktor Masjid, bahawa beliau telah mendapat panggilan telefon daripada 'kuasa' lain supaya tidak membenarkan program Ma'ruf Club ini dijalankan di masjid. Penangkapan akan dibuat oleh 'SB' jika program tersebut diteruskan juga di masjid.



Justeru, pendirian kami Pro-Mahasiswa (WUFI) berkenaan dengan peristiwa ini adalah seperti berikut:

1. Mahasiswa jangan cepat menghukum khususnya terhadap pihak Rektor UIAM dan Direktor Masjid SHAS kerana mereka telah ditekan oleh 'tangan jahat', kami mendoakan agar pihak UIAM diberikan pertolongan untuk berhadapan dengan mereka

2. Campur tangan politik 'tangan jahat' telah merencatkan Insitusi Pendidikan Tinggi (IPT) khususnya di universiti awam sebagai pusat intelektual, perbuatan ini telah memakan diri mereka sendiri

3. Mereka juga perlu waspada kerana mengkhianati ulama adalah mengkhianati pewaris Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya) selaras dengan sabda Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya), "Ulama adalah pewaris Anbiya"

4. Kerajaan 'tangan jahat' ini mesti faham, mereka boleh menyekat masjid, mereka boleh mengganggu program, mereka juga boleh menangkap sesiapa sahaja tetapi mereka tidak boleh menghalang idealism anak muda yang lebih intelek

5. Mahasiswa bersedia menghadapi PRU-13

Justeru, saya mewakili Pro-Mahasiswa (WUFI) mengajak seluruh rakan mahasiswa untuk bersatu dalam isu ini menyahut seruan Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, "Bertolong-tolonglah dalam perkara kebaikan dan Taqwa". Kami menyokong penuh usaha pihak Ma'ruf Club yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada One Heart Creative Solution yang sudi menaja program Kuliah Ustaz Azhar Idrus.