Mahasiswa Sokong Tuntutan Royalti Kelantan

By Hafizuddin An-Nuri on 8/31/2010 09:11:00 AM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria,


Sidang Media 5 Presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang merupakan anak kehiran Kelantan.
"Menuntut Hak Royalti Minyak Negeri Kelantan"
Turut sama menyokong wakil daripada Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS), Persatuan Mahasiswa Kelantan Kampus dan lain-lain.

PENDAHULUAN

Pada 1975, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkaitan pemberian royalti kepada negeri Kelantan. Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 peratus setahun dibayar secara tunai dua kali setahun untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya.

Royalti minyak Kelantan ditimbulkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada Julai 2009. Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa menganggar royalti minyak Kelantan melebihi daripada RM1 bilion. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia terbaru menunjukkan Kelantan mula mengeluarkan minyak sejak 2004 dan berikutan itu kerajaan negeri mengutus surat rasmi menuntut sebanyak RM1 bilion. Laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion. Kerajaan negeri Kelantan telah menuntut antara RM850 juta dan RM1 bilion daripada kerajaan pusat mengikut Akta Petroleum 1974, yang membolehkan negeri Kelantan menerima royalti minyak sebanyak 5 % daripada hasil perolehan petroleum.


Pada 8 Julai 2009,Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan untuk lebih kredibiliti dengan kabinet membuat keputusan biarlah Petronas menjelaskan kedudukan sebenar dari sudut perlembagaan dan perundangan. Royalti telah dimanipulasikan dengan pemberian wang ehsan sejumlah RM20 juta yang sehingga kini tidak diketahui kemana perginya wang tersebut. Namun rakyat Kelantan tidak boleh menerima suatu permainan politik yang jelas membodohkan orang Kelantan.


Mahasiswa berasa bertanggungjawab untuk membawa isu royalti rakyat Kelantan ini sebagai agenda yang perlu kami bawa dan perjuangkan bersama rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan tidak boleh dipermainkan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu. Isu royalti ini melampaui sempadan politik kepartian dan bangsa, maka amat perlu untuk mahasiswa berpatisipasi untuk turut menyatakan pandangan dan tuntutan bagi isu ini.


Berlandaskan prinsip Islam dan civil society, melalui pembacaan dan penelitian fakta, maka kami terpanggil untuk menyuarakan pandang bersama-sama rakyat Kelantan.


Kenyataan Mahasiswa:


PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA


Isu tuntutan royalti menjadi agenda besar seluruh rakyat Kelantan yang inginkan hak mereka untuk mendapatkan wang tersebut. Perjuangan menuntut royalti bukannya bersifat desakan, tetapi ianya bersifat tuntutan hak yang telah dirampas oleh pihak tertentu.


Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama sebanyak 0.2%.


Melihat kepada angka dan statistik tersebut, jumlah penduduk majoriti Kelantan adalah kalangan orang Melayu.


Mahasiswa juga melahirkan rasa hairan kenapa kerajaan sekarang yang dikemudi oleh sebuah parti melayu tidak memandang betapa perlunya untuk diberikan royalti kepada rakyat Kelantan yang sememangnya berada dalam ekonomi yang kurang baik.


Jumlah isi rumah miskin tegar di Kelantan ialah 10.6 peratus atau seramai 3,550 orang. Statistik 2008, jumlah penduduk Kelantan adalah 1,453 000. Dengan jmlah 1 billion yang dituntut, maka rakyat Kelantan mendapat manfaat berjumlah RM600 bagi setiap penduduk secara nisbahnya.


Dengan pemberian royalti juga, jumlah kemiskinan tegar sudah pasti dapat dikurangkan. Mahasiswa memandang berat sosio ekonomi rakyat yang sepatutnya sudah tidak timbul masalah kemiskinan tegar dikala negara sudah hampir munuju negara membangun sepenuhnya menerusi wawasan 2020.


Dengan tema rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, pihak kerajaan pusat patut mempertimbangkan hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan “wang mereka” demi kegunaan sara hidup seharian. Kita juga menuntut agar suatu audit yang lengkap tehadap penyaluran royalti sekiranya diberikan kepada kerajaan negeri. Jika kerajaan negeri gagal menyampaikan royalti tersebut kepada rakyat Kelantan, maka mahasiswa dan rakyat boleh memberikan hukuman yang setimpal pada pilihanraya yang akan datang. Sebaliknya jika kerajaan pusat berdegil dengan pendirian tersebut, maka amat wajar rakyat untuk mahasiswa dan rakyat Kelantan memberikan pengajaran kepada sepatutnya pada pilihanraya akan datang.


MAARUF CLUB UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA


Berpaksikan kepada sebuah negara yang menjadikan teras demokrasi sebagai tunjang kesepakatan bersama, maka adalah wajar untuk Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri memainkan peranan masing-masing berteraskan kepada semangat Perlembagaan. Pembahagian kuasa ini yang telah sekian lama diadaptasi di dalam sistem demokrasi berparlimen ini mestilah dipatuhi supaya wujud kesepakatan dan toleransi di dalam mengatur urus pentadbiran sesebuah negeri dan negara. Apa yang jelas, semua negeri termasuk Kelantan bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974. Perjanjian dengan Petronas pada tahun 1975/76 memperuntukkan bahawa negeri-negeri akan mendapat bayaran tunai sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai di dalam mana-mana negeri berkenaan. Oleh itu, mahasiswa berpendirian tegas bahawa perjanjian yang telah dimeterai antara Petronas dan Kerajaan Kelantan ini mestilah diakui kandungannya dan tidak dicabuli tanpa sebarang justifikasi yang absah lantaran wujud apa yang dilihat sebagai berkepentingan politik.


Mahasiswa menilai bahawa isu royalti Kelantan sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah tanpa perlu melibatkan rujukan kepada proses undang-undang kerana kandungannya amat jelas dan mudah difahami, sebagaimana diperjelas oleh Tengku Razaleigh Hamzah, penggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan individu yang bertanggungjawab memperbadankan Petronas. Apa yang cukup dikesalkan, ada pula pihak luar yang terlebih sudu daripada kuah kerana memandai-mandai mentafsir peruntukan perjanjian tersebut seolah-olah penggubal draf tersebut salah dalam memahami kandungan yang ditandatangani.


Di bawah Akta Pembangunan Petroleum, 1974 (PDA), setiap daripada 13 Negeri di Malaysia telah menandatangani Perjanjian yang sama dan Geran Penyerah Hakkan pada tarikh yang berbeza dalam tahun 1975/1976 dengan Petronas bagi menyerah hak pemilikan masing-masing terhadap petroleum kepada Petronas dengan pertimbangan Petronas membayar kepada setiap Negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan lautan dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan 5% daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.


Kerumitan ini tidak wujud sewaktu Pertonas ditubuhkan pada 1974 dan hanya berbangkit selepas 1999. Contohnya, selama 22 tahun berturut-turut, iaitu dari tahun 1978 hingga Mac 2000, Petronas membuat bayaran tunai kepada Terengganu dua kali setahun di bawah PDA, Perjanjian dan Geran Penyerah Hak, meskipun minyak dihasilkan ratusan batu di luar pantai Terengganu.


Hanya ketika pembangkang membentuk Kerajaan Negeri Terengganu selepas Pilihan Raya Umum pada November 1999, Petronas berhenti membuat bayaran tunai kepada Terengganu, walaupun dalam masa yang sama Petronas masih lagi mengeluarkan minyak di luar pantai Terengganu tanpa membayar bayaran seperti sepatutnya dan diamalkan sebelumnya.


Amat menyesali hakikat ini, mahasiswa menggesa pihak Kerajaan mematuhi perjanjian asal yang telah dimeterai secara persetujuan bersama ini kerana permainan tarik tali sebegini pada akhirnya hanya akan merugikan rakyat terbanyak yang bakal mendapat faedah secara langsung. Mahasiswa juga berpendirian bahawa pemberian wang ihsan kepada agen Kerajaan Pusat untuk disalurkan kepada Negeri Kelantan adalah ralat dan menyalahi semangat demokrasi kerana rakyat Kelantan telah membuat pillihan Kerajaan secara sah melalui sistem demokrasi untuk mengurus atur dan mengawal selia segala perkara berkaitan kepentingan mereka. Oleh itu, jika Kerajaan masih berdegil untuk mematuhi perjanjian ini, mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk mengajak dan memobilisasi seluruh anak muda bagi menolak corak pentadbiran sebegini yang jelas tidak bersifat mesra demokrasi dan menyalahi peruntukan perundangan.


PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA


Mahasiswa Universiti Putra Malaysia khususnya PMIUPM juga turut menyokong dasar dan hak-hak tuntutun negeri Kelantan bagi isu royalti minyak ini. Kami memandang serius hal ini dari aspek keadilan kepada rakyat dan juga integriti sebuah kerajaan sebagai “Federal Government” yang bertanggung jawab terhadap negeri-negeri di bawah naungannya.


Konsep keadilan dan ketelusan pemerintahan sebuah kerajaan menjadi dasar utama memastikan nasib rakyat terbela dan juga menjamin masa depan negara yang maju. Inilah asas perjuangan mahasiswa yang mana menjadi semak dan imbang kepada pemerintah negara.


Dalam isu tuntutan royalti,mahasiswa memandang bahawa kerajaan sepatutnya menolak ketepi agenda politik parti dan memfokuskan pada isu kebajikan rakyat terlebih dahulu.Jika tidak,amanah sebagai pemerintah negara sudah semestinya diabaikan kerajaan pusat.


Timbul juga beberapa keraguan pada kami yang mana jika benar apa yang dikatakan oleh kerajaan pusat iaitu royalti bukan milik kerajaan negeri Kelantan, tentunya tidak ada kenyataan dari Ku Li iaitu MT UMNO sendiri yang juga orang penting dalam menggubal dasar Petronas dahulu dan juga Tuan Haji Hassan Ahmad, bekas bendahari Petronas yang terang-terang menyokong tuntutan royalti untuk kerajaan Kelantan.


Selain itu, jika kerajaan pusat juga benar ikhlas untuk membantu rakyat Kelantan dan juga kerajaan negeri,kenapa duit yang dikatakan sebagai ‘wang ehsan’ itu tidak terus diberikan kepada kerajaan negeri tetapi ianya hanya disalurkan kepada JPP(Jabatan Pembangunan Persekutuan).Sudah tentu kerajaan negeri tidak dapat menggunakan dana ini untuk tujuan pembangunan yang dirancang diperingkat negeri.


Oleh itu,sekali lagi kami selaku mahasiswa menegaskan kepada kerajaan, samada pusat atau negeri, bahawa keadilan dalam pemerintahan perlu menjadi satu amanah yang besar dan dijaga dengan betul.Sebagai pemimpin negara,perlu menunjukkan contoh integriti yang tinggi dan baik kepada semua lapisan masyarakat samada pekerja sektor awam dan swasta,mahasiswa sebagai pelapis pimpinan negara serta masyarakat am khususnya.Inilah menjadi kayu ukur sejauh mana mampunya kerajaan pemerintah sekarang mampu mentadbir negara dengan baik.


TUNTUTAN BERSAMA


1. Berikan hak royalti yang sepatutnya kepada rakyat Kelantan tanpa ada sebarang diskriminasi

2. Jangan tipu rakyat yang sudah maklum tentang fakta dan isu royalti yang berlaku

3. Besikap adil kepada rakyat Kelantan tanpa mengira batasan politik kerana kita rumpun 1Malaysia

4. Mahasiswa akan membawa isu ini ke kampus sekiranya ia tidak diselesaikan secara berhemat


Justeru kami mewakili mahasiswa dan juga rakyat Kelantan menyatakan secara tegas pendirian kami bahawa isu royalti bukanlah agenda politik kepartian, kerana ia adalah hak yang perlu dituntut. Turut sama dinyatakan dalam sidang media ini beberapa tuntutan penting dari pihak kami agar diberi perhatian sewajarnya.


Sekian, terima kasih.


Ahmad Syazwan bin Muhammad Hasan

Presiden

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

Pasir Puteh Kelantan


Muhammad Zaki Bin Sukery

Presiden

Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM )

Kota Bharu Kelantan


Abdul Razak bin Omar

Presiden

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia ( PMIUPM )

Kota Bharu Kelantan


Mohd Khairul bin Abdullah Halim

Presiden

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia ( PMIUTM )

Kota Bharu Kelantan


Wan Baihaqi bin Wan Abd Rahman

Presiden

Persatuan Pelajar Islam Universiti Tenaga Nasianal ( PPI UNITEN )

Tumpat Kelantan


Sokongan bersama:


Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)


Ikatan Study Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISI UKM)


Persatuan Mahasiswa Kelantan Darul Naim Universiti Kebangsaan Malaysia (PERDANA UKM)


Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PERDANA UIAM)


Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM)


Makluman media:


  1. Kami akan serahkan memorandum kepada Y.A.B Dato’ Menteri Besar Kelantan pada majlis hari raya mahasiswa bersama MB pada hari raya ke-4 nanti.
  2. Gerakan diperingkat anak muda akan dimulakan. Isu ini adalah maslah rakyat, mahasiswa akan bersama-sama rakyat memperjuangkan isu ini.
  3. Penerangan dan penjelasan isu royalti akan diadakan diperingkat kampus dari masa ke semasa.
  4. Pergerakan kami bukan hanya didokong oleh persatuan anak Kelantan, tetapi kebetulan 5 orang presiden persatuan mahasiswa islam di 5 buat universiti utama adalah ANAK JATI KELANTAN. Ahli dalam semua persatuan kami boleh mencecah 5 ribu orang yang mendaftar. Sekiranya kerajaan pusat tidak mengambil serius isu ini, kesannya lebih parah pada pilihanraya yang akan datang.
  5. Perjuangan kami adalah untuk rakyat, dan ini adalah perjuangan patriotik untuk mengambil balik hak rakyat kelantan yang telah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.
-Harakahdaily

Agama UMNO Sekat Da'wah Islamiyah

By Hafizuddin An-Nuri on 8/27/2010 11:04:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Fahaman UMNO hari ini semakin menjadi-jadi dan menyekat secara langsung perkembangan da'wah Islam di Malaysia khususnya. Isu doa pun dipanaskan sehingga ke balai polis. Sedangkan doa adalah hak milik individu dan pertaliannya dengan Allah, bukan sesama manusia. Jika khatib baru-baru ini mendoakan agar seorang kafir diberi hidayah, itu adalah kaitan yang berdoa dengan Allah Pemberi Hidayah. Tertinggal nama Yang DiPertuan Agung itu biasa, manusia tidak terlepas daripada kelalaian (lebih baik masjid UIAM, tidak ada peraturan khas, asalkan ikut syariah semuanya berjalan lancar).

Khatib tersebut dibawa ke muka pengadilan Penzalim dan disoal siasat. Itulah adat dalam menegakkan syariah Islam. Penjenayah berjuta-juta lagi di bumi Malaysia dari peringkat orang kampung hinggalah ke manusia yang berada di aras 4 pejabat Perdana Menteri masih bebas dan tidak bimbang untuk melakukan kejahatan.

Terbaru pula, kes ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang bukan beragama Islam membantu sebuah musolla dan memberi ucapan. Isu ini dipanaskan apabila media memainkan peranan dengan menghebahkan beliau memberi tazkirah di atas musola. Sungguh hebat media arus perdana mendoktrin rakyat Malaysia.

Apa yang dikesali, MAIS selaku duta Islam di negeri juga mengeluarkan surat amaran terhadap ahli parlimen tersebut. Sungguh sedih apabila Islam dijumudkan sebegitu rupa. Masjid pun Kafir dibenarkan masuk, apatah lagi sebuah surau.

Kafir masuk surau semua panas, Muslim tidak solat(apatah lagi masuk masjid) semua bahagia.

Itulah fahaman agama baru di Malaysia. Banyak hukum-hakam yang tidak sama dengan agama Islam, semoga agama UMNO tidak bertahan lama supaya Islam semakin berkembang luas untuk mencapai Khilafah Islamiyah.

Diskusi Aspirasi Tidak Ilmiah, Berat Sebelah

By Hafizuddin An-Nuri on 8/22/2010 11:54:00 PM

Filed Under: , ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Tahniah diucapkan kepada Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) di atas penganjuran program diskusi ilmiah, Diskusi Aspirasi : Mahasiswa & Politik Kepartian.

Jelas Tan Sri Dato' Seri Prof Dr Ibrahim Abu , mantan Naib Canselor UiTM yang dikenali sebagai Harimau Malaya, mahasiswa hari ini tidak relevan dan tidak patut menyertai politik kepartian kerana pembaziran masa dan tenaga akan berlaku kepada mahasiswa. Mahasiswa hari ini perlu lebih fokus dalam pembelajaran dan kemahuan berpolitik boleh diteruskan sesudah tamat pengajian degree.

Manakala saudara Tun Faisal Ismail yang mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, pada mulanya berkeras dengan pendirian Pemuda UMNO bahawa mahasiswa mesti dibenarkan berpolitik. Namun demikian, beliau secara peribadi lebih cenderung dengan pendapat bahawa mahasiswa hanya menjadi alat mainan dan kuda parti-parti politik jika mereka dilibatkan dengan politik kepartian.

YDP MPP USM, saudara Ahmad Wafi Sahedan merangkap Jurucakap MPPK berpendapat mahasiswa perlu punyai pendirian sendiri dan tidak harus disekat oleh mana-mana pihak untuk bersuara. Beliau yang tidak bersetuju dengan keterlibatan mahasiswa dalam politik kepartian menjelaskan, mahasiswa hari ini lebih hebat berpolitik di dalam kampus berbanding parti-parti politik di luar yang mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Beliau sekeras-kerasnya menolak keterlibatan mahasiswa dalam parti politik kerana untuk menggilap nilai kepimpinan, mahasiswa boleh menggunakan pelbagai platform yang disediakan di dalam kampus.

Pada hemah saya, diskusi ini sangat berat sebalah atau bias apabila semua ahli panel yang dijemput hanya berada di satu aliran yang sama. Semua berpegang dengan premis 'Mahasiswa Tidak Patut Terlibat Dengan Politik Kepartian'.

Ini menyebabkan diskusi menjadi tidak bersifat intelektual kerana ia tidak dapat memberikan mahasiswa gambaran sebaliknya yang seharusnya mahasiswalah memilih untuk berada di pihak mana. Diskusi ini seolah-olah hanya satu wasilah untuk menyampaikan doktrin mereka kepada peserta program yang hadir.

Sepatutnya mereka menjemput ahli panel yang bertentangan dengan pendapat mereka seperti Khairy Jamaluddin, Ustaz Nasrudin Tantawi dan Dato' Saifudin Abdullah supaya minda peserta lebih terbuka dengan pandangan yang berbeza.

Mahasiswa perlu belajar banyak perkara di universiti kerana universiti itu universe dan bersifat global. Mahasiswa bukan berada di sekolah lagi yang hanya mengikut tetapi perlu punyai fikiran dan idealisme yang jelas sesuai dengan jenama mahasiswa intelektual.

Babi Lebih Halal

By Hafizuddin An-Nuri on 8/21/2010 02:16:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...

(Klik untuk lebih jelas)

Zaman ini sibuk dan hangat jika ada individu muslim yang menyentuh babi atau bergambar sambil memeluk babi. Apa salah babi?

Babi haram untuk dimakan, jika disentuh tidak haram, tetapi kotor, hanya perlu disamak kerana ia najis yang berat.

Tetapi haram untuk muslim menyentuh w***** dan muslimah menyentuh l***** dengan sengaja. Tidak boleh disamak kerana najis tersebut hanya Allah yang layak membersihkan.

Jadi, babi lebih halal dan tidak berdosa.

Sekadar tazkirah Ramadhan, "Jadilah Hamba Allah, Jangan Jadi Hamba Ramadhan".


Dilema Perlembagaan : Sibuk Membicarakan Perlembagaan Manusia Tanpa Menghiraukan Perlembagaan Allah

By Hafizuddin An-Nuri on 8/19/2010 05:48:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Isu perlembagaan yang makin memeningkan rakyat apabila Penasihat Agama Kerajaan, Tan Sri Harussani mendakwa wujud Perlembagaan Baru yang akan menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh pihak tertentu dan ia menjejaskan hak-hak orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Terbaru, Pakar Perlembagaan Malaysia, Pro Abd Aziz Bari menyatakan tidak logik dakwaan wujudnya Perlembagaan Baru. Jelas pensyarah Kuliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM itu, perlembagaan tidak semudah itu untuk dibuat kerana ia perlu melalui banyak tahap tapisan seperti Parlimen dan Institusi DiRaja.

Jadi, apakah sebenarnya yang ingin diberitahu oleh Mufti Perak tersebut? Apakah motif beliau mengeluarkan kenyataan tersebut kerana sehingga kini beliau masih tidak mendedahkan konflik tersebut. Mengapa perlu kalut dan gelabah sedangkan perlembagaan tersebut hanya ciptaan manusia yang berkepentingan semata-mata? Sedangkan perlembagaan Allah ditolak bulat-bulat ke tepi dan tidak dihiraukan langsung.

Pihak-pihak terbabit perlu mengharmonikan kembali keadaaan yang sedia panas supaya tidak timbul isu-isu yang boleh menyebabkan keamanan negara terjejas.


Islam Bukan Hak Milik Melayu

By Hafizuddin An-Nuri on 8/17/2010 11:35:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Baru-baru ini Presiden MCA telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS dan UMNO telah menggunakan Islam sebagai alat untuk meraih sokongan rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu. Kenyataan ini sangat memedihkan dan mencabar kesucian Islam.

Perlu difahami oleh semua masyarakat bahawa Islam bukan untuk Melayu. Islam bukan juga untuk Arab tetapi Islam adalah untuk semua. Sebagaimana tema yang sangat masyhur "Islam For All". Kenyataan Chua Soi Lek tersebut sangat tidak menghormati Islam, atau dengan kata lain, menghina kesucian pembawaan Islam itu sendiri.Lantaran itu, pihak UMNO dan PAS khususnya yang berada dalam ruang lingkup politik mesti menjelaskan pembawaan Islam itu sendiri. Jangan disebabkan Melayu, bangsa lain menolak Islam. Jangan disebabkan bangsa, agama tertolak.

Jika betul UMNO ingin membuktikan bahawa mereka berjuang atas dasar Islam, maka persepsi parti komponen bersama mereka yang bertampuk di bawah pemerintahan BN ini mesti dibetulkan. Jika benar PAS berjuang atas dasar Al-Quran dan As-Sunnah, maka satu inisiatif mesti dibuat untuk membuktikan "Islam For All".

Islam tidak memerlukan Melayu, Islam tidak memerlukan UMNO, Islam tidak memerlukan PAS , Tetapi MELAYU, UMNO, PAS, MCA dan DAP memerlukan ISLAM.


Ramadhan dan Kelajuan Aktiviti Perjuangan

By Hafizuddin An-Nuri on 8/09/2010 04:39:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...

Ahlan Ya Ramadhan,

Sesungguhnya Ramdhan bakal mendatang tidak lama lagi , sangat menghampiri kita semua. Aku berdoa semoga Allah masih memberi peluang kepada diri yang lemah ini untuk bersama-sama Ramadhan .

يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم اليصام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Wahai orang-orang yang beriman telah difardhukan ke atas kamu akan puasa sebagaimana telah difardhukan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu semoga kamu semua bertaqwa.

Dalam ayat tersebut Allah telah berfirman kepada kita semua sebagai muslim yang beriman kepadaNya supaya berpuasa. Dan objektif pada puasa ini adalah bertaqwa. Tamrin Ramadhan sangat tinggi bagi sesiapa yang mendapat manfaatnya. Allah telah menunjukkan bahawa orang-orang terdahulu telah berjaya melaluinya, mengapa tidak kita?

Ramadhan tidak boleh disalahfahami dengan beranggapan apabila Ramdhan datang maka semua aktiviti seperti bulan-bulan lain perlu diperlahankan dek kerana keletihan dan lapar. Walhal Ramadhan adalah bulan kemenangan umat Islam tetapi kerana kesilapan inilah sehingga hari ini kita masih mengulang dan mengulang tanpa sebarang peningkatan kualiti pada diri demi Islam.
Jika orang-orang terdahulu semakin kuat berjihad dan beraktiviti untuk perjuangan Islam, maka itulah cara kita. Kita tidak boleh menipu diri dengan menukar perspektif terhadap Ramadhan. Ramadhan bukan bulan rehat, tetapi bulan peningkatan diri untuk perjuangan.

Semoga Ramadhan kali ini akan memberi kami semua pejuang-pejuang agama Allah kekuatan yang sangat luar biasa untuk digunakan di medan perang melawan musuh-musuh Islam.

Sebagai mahasiswa, aktiviti perjuangan perlu dikuatkan dan dilajukan lagi. Jangan sia-siakan bulan perjuangan ini. Mahasiswa harus bangkit dan bangkit walau ditentang dan dilenyak sekalipun. Perjuangan Mahasiswa bersama-sama arus Kemenangan orang-orang terdahulu.

Ramadhan Kareem !