Video Seks Kotori Minda Anak Muda

By Hafizuddin An-Nuri on 4/29/2011 07:57:00 AM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...



Dan infakkanlah hartamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam lembah kebinasaan dengan tanganmu sendiri, dan berbuatlah kebaikan. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

[Al-Baqarah:195]

Ibu bapa hari ini sangat berwaspada dengan kegiatan anak-anak yang tidak bermoral melalui medium internet. Selain majalah-majalah yang memaparkan gambar berunsur negatif, internet adalah jalan alternatif yang mudah untuk memuat turun segala video yang diinginkan. Anak muda yang terdidik dengan sistem alam maya ini didedahkan dengan pelbagai video lucah di internet.

Kebimbangan ini semakin parah apabila tapisan yang dibuat di internet untuk mengelakkan anak-anak terjebak dengan gejala negatif ini seolah-olah hanyalah sebagai syarat yang mampu ditembusi oleh mereka. Guru-guru di sekolah juga sentiasa memasukkan elemen nasihat seperti menjelaskan kesan dan akibat daripada mlihat video lucah.

Namun, usaha ibu bapa dan guru-guru seolah-olah hampa dan memutuskan semangat. Hal ini terjadi apabila siaran televisyen memaparkan cerita-cerita dan filem-filem yang sangat teruk, mempunyai adegan-adegan melampau dan pelakon-pelakon yang seksi.

Lebih hancur lagi harapan ibu bapa dan guru yang berusaha keras memastikan anak bangsa mempunyai nilai akhlak yang terpuji apabila isu video seks permainan politik diketengahkan. Bukan persoalan salah siapa, tetapi video yang dimuatkan dan gambar-gambar tidak bermoral ditayangkan untuk khalayak umum yang perlu dititikberatkan.

Akhbar tempatan memaparkan gambar lucah, siaran televisyen kerajaan menayangkan beberapa aksi panas dan pawagam rakyat (Youtube) mendedahkan segala cerita yang berlaku.

Video seks telah mengotori minda anak muda:

1)Pintu fitnah dibuka seluas-luasnya

2)Penyebaran video seks diberi lampu hijau

3)Tiada penjelasan daripada perspektif hukum Islam kepada seluruh rakyat mengakibatkan kekeliruan

4)Memberi persepsi politik kotor kepada anak muda

Dalam isu ini, peranan secara serius perlu dimainkan oleh golongan akademik dan ulama. Kes seperti ini telah membarah teruk dalam masyarakat khususnya anak muda hari ini.

Satu konvensyen besar-besaran perlu dianjurkan di peringkat nasional yang terdiri daripada golongan ulama, ahli akademik dan golongan profesional yang bebas daripada unsur politik bagi mengatasi konflik yang tidak terarah ini.

Anak muda khususnya mahasiswa Islam tidak sekali-kali dapat menerima hal seperti ini. Anak muda dan masyarakat menjadi mangsa pergaduhan politik sesama sendiri ini.

Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

[An-Nahl:125]

Justeru, saya menyeru kepada seluruh anak muda dan masyarakat luar agar kita semua berpegang dengan ajaran Islam dan nilai akhlak yang baik untuk mengelakkan terjerumus dalam kancah fitnah yang berleluasa ini. Semoga Malaysia lebih aman dan sejahtera.



Yuran Naik Sebab Bas Tidak Rasional

By Hafizuddin An-Nuri on 4/27/2011 07:33:00 AM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...



Mahasiswa UIAM hari ini dikejutkan dengan kenaikan yuran pengajian yang akan bermula semester 1, 2011/2012. Kenaikan ini disedari sendiri oleh beberapa mahasiswa termasuk pimpinan mahasiswa, SRC yang mendedahkan penyata yuran yang baru untuk mahasiswa Malaysia. Hal ini sangat dikesali oleh mahasiswa apabila diputuskan semasa cuti semester.

Dalam penyata yuran yang baru tersebut, kenaikan yuran pengajian bertambah sebanyak RM37.50 untuk setiap kuliyyah. Jumlah kenaikan yang dibuat tidaklah terlalu melampau, namun satu penjelasan yang sewajarnya mesti diberikan oleh pihak pentadbiran UIAM kepada mahasiswa. Mahasiswa tidak rela untuk membayarnya andai kenaikan tersebut sedikit pun tidak memberi manfaat kepada mahasiswa.

Berdasarkan penyata yuran yang baru juga, peningkatan yuran dikenakan adalah untuk menampung perbelanjaan transportation iaitu bas. Pihak mahasiswa membantah setegas-tegasnya kenaikan yuran ini:

1)Mahasiswa yang menggunakan perkhidmatan bas tidak sampai 10 peratus

2)UIAM dikenali sebagai 'walking university', tidak wajar untuk memperuntukkan kewangan yang lebih untuk bas

3)Yuran bas dikenakan, namun sebarang penggunaan bas untuk persatuan tetap dimasukkan dalam bajet kewangan program

3)Penyediaan bas untuk program kegunaan persatuan-persatuan adalah menjadi tanggungjawab pentadbiran, tanggungan kos di bawah penyeliaan pentadbiran bukan mahasiswa

4)Manfaat bas tidak meliputi seluruh mahasiswa UIAM

Mahasiswa tidak bersetuju sama sekali dengan kenaikan yuran yang dibuat oleh pihak UIAM. Pada masa yang sama, pinjaman dan biasiswa masih seperti biasa tanpa kenaikan membuatkan mahasiswa merasai sedikit bebanan untuk membuat bayaran yuran yang baru ini.

Justeru, mahasiswa menggesa seluruh organisasi mahasiswa yang berdaftar mahupun tidak berdaftar untuk lebih responsif dan proaktif dalam menjaga kebajikan mahasiswa. Perkara sebegini tidak boleh dipandang mudah oleh mana-mana pihak kerana ia melibatkan hak mahasiswa. Berharap pihak pentadbiran lebih cenderung untuk melihat keadaan mahasiswa berbanding kepentingan sendiri.

WE UNITE FOR ISLAM


1Melayu 1Bumi VS 1Malaysia

By Hafizuddin An-Nuri on 4/26/2011 10:39:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...



Gempar dengan boikot MCA terhadap akhbar rasmi UMNO, mengejutkan seluruh parti komponen Barisan Nasional. MCA yang mendakwa bahawa Utusan Malaysia bersikap perkauman yang bias terhadap Melayu. Utusan mendapat padah dengan pengisytiharan boikot oleh pimpinan MCA. Namun demikian, PM tetap dengan 1Malaysia menyebarluas ke seluruh kaum di Malaysia.

PERKASA yang memilih jalan raya berdemonstrasi di hadapan pejabat MCA bagi menyatakan tentangan kepada MCA. PERKASA tetap teguh berpegang dengan kedaulatan Melayu. Tiada puak selain Melayu yang berkuasa di Tanah Melayu Malaysia ini. Perjuangan mengangkat martabat Melayu kali ini diambil tegas oleh PERKASA tanpa celahan UMNO. Pada masa yang sama, DAP juga turut menjadi mangsa terjahan PERKASA.

Mengakui undian kaum Cina tidak lagi berpihak kepada BN, Ketua Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie meletakkan kesalahan kepada Utusan Malaysia dan PERKASA yang menyebabkan BN kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008. PRN Sarawak ke-10 juga memberi petunjuk bahawa undian kaum Cina berpihak kepada DAP. Ini menjelaskan bahawa peranan Utusan hanyalah untuk kaum Melayu semata-mata.

Wawasan PM mungkin sedikit tergendala apabila PERKASA mengambil keputusan untuk memperkenalkan 1Melayu 1Bumi bagi menyemarakkan gelombang Melayu di Malaysia. Konsep yang sama tapi berlainan tema ini agak mengelirukan rakyat. Barisan yang dibina selama ini untuk kesepakatan semua kaum di bawah bumbung BN seolah-olah berkecai. Namun kekuatan UMNO masih dapat diatasi dengan membersihkan kembali sentimen perkauman walaupun perjuangan nasionalism itulah perjuangan mereka.

Pelbagai kemungkinan akan berlaku, samada PERKASA bersama-sama BN atau PERKASA berjuang bersendirian atau PERKASA bersama-sama PR atau PERKASA bersama-sama UMNO menolak parti-parti lain. Pengaruh PERKASA tidak dapat dinafikan kehebatannya sehingga menyebabkan keteguhan penyokong UMNO beralih ke PERKASA.

Kehadiran PERKASA membuktikan perjuangan Melayu sebenar, UMNO atau PERKASA. Namun, UMNO tidaklah bodoh untuk mengiakan PERKASA tanpa mengira bangsa lain kerana mereka berjuang atas nama BN, bukan bersendirian.

1Melayu 1Bumi diakui Datuk Seri Dr Rais Yatim akan menggugat 1Malaysia. Semoga mereka sedar dan kembali kepada perjuangan asal.


Bantah Pemakaian Skirt Pemain Badminton Wanita

By Hafizuddin An-Nuri on 4/25/2011 07:16:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria,



Terkejut dengan penerimaan pihak Badmintaon Association of Malaysia (BAM) untuk menjadikan pemakaian skirt sebagai pakaian rasmi untuk pemain badminton wanita. Bahkan, perkara yang sangat dikesali oleh mahasiswa Islam khususnya adalah pendirian pihak BAM yang bukan sahaja menerima dengan terbuka tetapi menyokong sepenuhnya arahan Badminton World Federation (BWF) itu.

Arahan yang telah dikeluarkan oleh BWF tersebut diselaraskan di peringkat seluruh dunia. Menurut berita yang dihebahkan, beberapa negara lain telah menyatakan bantahan mereka tanda tidak setuju atas beberapa faktor yang diberikan. Malaysia spatutnya bertindak menjaga sensitiviti umat Islam sebagai negara yang berpegang dengan agama Islam sebagai agama persekutuan.

Pihak Pro-M (WUFI) berharap agar BAM dapat menarik balik penerimaan arahan tersebut:

1) Bersukan sangat digalakkan dalam Islam dengan syarat mengikut garis panduan syariat

2) Allah berfirman di dalam Al-Quran:

Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau perempuan seIslam dengan mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki atau para pelayan lelaki tua yang tidak bernafsu atau anak-anak yang tidak mengerti.

[An-Nur:31]

3) Pemakaian skirt merupakan pakaian yang tidak berakhlak yang boleh mencetuskan suasana tidak bermoral dalam kalangan penonton yang datang daripada pelbagai latar belakang seperti kanak-kanak

4) Penerimaan BAM terhadap arahan tersebut telah menjatuhkan maruah dan nilai Islam di Malaysia

5) Islam itu syumul, tidak menjadi halangan bagi seorang wanita untuk bersukan disebabkan tutup aurat

6) Islam itu mudah, wujud sekumpulan manusia yang cuba menyampaikan doktrinisasi kepada umat Islam bahawa Islam itu susah dan hanya boleh diguna untuk sebahagian perkara sahaja

7) Isu aurat ini bukan sahaja ditonjolkan untuk kes BAM sahaja, bahkan pihak Pro-M (WUFI) berharap ia mendapat respon dan tindakbalas di segenap lapisan perkara

Justeru, mahasiswa Islam khususnya di UIAM menggesa pihak berwajib untuk segera tampil dan bersuara atau mengambil tindakan demi kesejahteraan negara tercinta ini. Perkara agama tidak boleh dipandang enteng dan biasa. Ia mesti dilunaskan mengikut panduan yang telah tersedia dan tiada kompromi dalam hal dasar.

Sumber: Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM



Hanya Untukmu

By Hafizuddin An-Nuri on 4/24/2011 12:55:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...



Setiap makhluk diciptakan berpasangan,

Setiap manusia didatangkan fitrah,

Aku mendambakan seorang pasangan,

Bukan engkau yang kucari,

Bukan pula dirimu yang kuhendaki,

Aku mencari pembantu setiaku,

Aku menghendaki ketua bidadariku,

Aku menantikan takdirku,

Aku bersiap bertemumu,

Menjadi ketuamu hingga ke syurga,

Kerana engkau aku keruan,

Aku memilihmu kerana hartamu,

Aku memilihmu kerana keturunanmu ,

Aku memilihmu kerana cantikmu,

Namun kerana agamamu aku bahagia,

Di manakah engkau?

Siapakah engkau?

Soalan yang berjawapan tidak kutahu,

Hanya Dia yang tahu segala-galanya,

Hanya untukmu aku menanti takdir.

-Hafizfillah MN-
(24/4/2011)

Jodoh Itu Takdir

By Hafizuddin An-Nuri on 4/15/2011 11:23:00 AM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...


Fitrah seorang lelaki yang berkehendak kepada seorang wanita dan seorang wanita berkehendak kepada seorang lelaki adalah satu ruh dan perasaan yang dicampakkan oleh Sang Pencipta kepada hambanya. Tidak normal bagi seseorang yang cuba menafikan fitrah suci ini. Sesungguhnya setiap makhluk ciptaan dijadikan berpasang-pasangan. Siang dan malam, cerah dan gelap, putih dan hitam, baik dan jahat, pahala dan dosa, baru dan lama, cantik dan hodoh, lelaki dan wanita. Allah berfirman dalam Al-Quran:

ومن كل شيء خلقنا زوجين لعلّكم تذكّرون

Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu mengingati (kebesaran Allah).

(Az-Zariat:49)

Dalam konteks fitrah cinta manusia yang berkehendakkan pasangan, perkahwinan merupakan satu jalan dan medium yang dihalalkan oleh Allah. Perkahwinan bukanlah satu cara untuk mencapai kehendak nafsu semata-mata bahkan sebagai satu agenda besar dalam kehidupan menuju puncak cinta Raja Segala Cinta yang diredhai sekaligus menunaikan kemurnian fitrah manusia.

وانكحوا الأيامى منكم والصالحين من عبادكم وإمائكم، إن يكونوا فقراء يغنهم الله من فضله والله واسع عليم

Dan nikahkanlah orang-orang yang masih bujang di antara kamu dan juga orang-orang yang layak daripada hamba-hamba sahayamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaNya. Dan Allah itu Maha Luas (pemberianNya) dan Maha Mengetahui.

(An-Nur:32)

Fitrah cinta yang suci ini umpama air jernih bercampur lumpur andai didirikan dengan kehendak diri tanpa kebergantungan kepada Allah. Cinta yang berpaksikan nafsu semata-mata tiada bezanya antara manusia dengan haiwan bahkan lebih teruk lagi. Perkahwinan yang mulia ini bukan sekadar melepaskan syarat untuk ditunaikan, pelbagai persediaan yang rapi diperlukan. Betapa besarnya pandang sisi Rasulullah tentan perkahwinan ini sehingga baginda bersabda:

Perkahwinan itu sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada sunnahku, maka dia bukan dalam kalangan umatku.

Jodoh boleh diinterpretasikan sebagai pasangan hidup seseorang sama ada lelaki mahupun perempuan. Satu-satu pasangan yang dikatakan secocok merupakan jodoh yang baik. Namun, dalam Islam Rasulullah menghuraikan ciri-ciri umum dalam memilih pasangan khususnya buat lelaki:

Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah dalam perihal agamanya, kamu akan berbahagia.

Dalam memilih pasangan hidup yang akan bersama-sama mendalami erti hidup ini, perihal agama mestilah menjadi aspek utama bagi memastikan kesinambungan hidup itu berpaksikan cinta yang mulia, cinta Allah dan RasulNya. Jodoh pada pandangan Islam merupakan pasangan hidup yang telah memegang status suami atau isteri yang sah, bukan mempunyai hubungan cinta tanpa ikatan yang sah. Tidak digelar jodoh bagi sesebuah pasangan lelaki dan perempuan sehinggalah akad nikah dilafazkan.

Kata orang, jodoh itu di tangan Allah. Kita hanya mampu berusaha untuk mendapatkan jodoh yang terbaik dalam hidup. Dengan asas agama, tambahan ciri-ciri lain ditingkatkan dalam mencari pasangan hidup masing-masing supaya bakal pasangan adalah yang saling memahami antara satu sama lain.

Kita sebagai insan kerdil, makhluk Allah yang begitu fakir dan miskin tidak layak dan tidak berhak untuk mempersoalkan jodoh kita. Allah tidak melihat pada hasilnya tetapi Allah akan melihat usaha dan amal kita. Kita berusaha ataupun tidak, ketentuan jodoh itu pasti. Segala yang berlaku pada masa lepas, sekarang dan akan datang sudah tercatat di Luh Mahfuz.

Niat yang ikhlas dan suci itu akan membantu dalam usaha ketentuan jodoh. Hati yang menjadi ibu amalan ini akan sentiasa berubah-ubah selaras dengan doa yang digalakkan untuk diamalkan:

يا الله، يا مقلّب القلوب، ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك

Ya Allah, Wahai Yang Maha Membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hati-hati kami atas jalan agamaMu dan jalan ketaatanMu.

Kesimpulannya, dengan usaha dan doa serta istikharah yang dibuat di samping persediaan dalaman sejak ditaklifkan sebagai hamba Allah lagi, maka berserahlah bulat-bulat kepada Allah. Yakin dan bersangka baiklah dengan segala ketentuanNya. Allah Maha Pengasih dan Penyayang tidak akan menjadikan sesuatu yang berlaku di alam ini tanpa sebab dan hikmah. Hidup ini tidak indah tanpa hubungan yang baik dengan Maha Pencipta. Janganlah kita sendiri yang mencemari keindahan hidayah dan taufik yang dikurniakan Allah. Jodoh itu takdir, jodoh itu rahsia ketentuan Allah.

Wacana SISWARAKYAT

By Hafizuddin An-Nuri on 4/12/2011 12:24:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Wacana SISWARAKYAT

"tolak politik jijik"

GAMIS akan bawakan wacana politik negara dengan panel :

Panel 1 : Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin ( Pensyarah USM, Bekas MUFTI)
Panel 2 : Prof Madya Dr Asyraf Wajdi Dato' Dusuki ( Naib Presiden PERKASA )
Panel 3 : Dr Zuhdi Marzuki ( Pengarah Institut Kajian Dasar DPPP )
Moderator : Ahmad Syazwan (Presiden GAMIS)

Tarikh: 14/4/2011

Masa : 7 malam

Tempat : Dewan MBPJ Petaling Jaya

Dimulakan dengan solat hajat, dan kuliah maghrib bersama Bob Lokman

Anjuran : Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Hubungi : Ustaz Nazri (0133566430)

Ayuh mahasiswa, kita bersama-sama meramaikan diskusi ilmiah ini. Jika orang lain berbincang secara emosi dan berkepentingan, biarlah mahasiswa berbincang secara ilmiah dan fakta. Ajak sahabat-sahabat kampus masing-masing bagi memeriahkan wacana ini.


Jangan Ego Sebagai Manusia

By Hafizuddin An-Nuri on 4/03/2011 09:47:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...



Musim peperiksaan akhir semester di UIAM menyebabkan suasana dan kegiatan aktivit mahasiswa UIAM lenggang dan sepi. Itulah fokus yang diberikan oleh mahasiswa intelek hari ini. Kesungguhan dan fokus yang diberikan melebihi segala-galanya demi mencapai target akademik masing-masing. Tidak kira apa yang berlaku, yang penting keputusan yang cemerlang natijahnya.

Sesungguhnya amat malanglah bagi seseorang manusia itu berlumba-lumba dalam keghairahan. Kecemerlangan akademik sangat diperlukan berkehendak dengan masa kini. Cumanya menjadi sampah apabila ianya tidak selari dengan kesungguhan usaha mengejar status iman dan taqwa. Tiadalah kebaikan dengan kehebatan akademik tanpa restu dan redha Allah.

Ayuh sahabat-sahabat, kita hidup tidak lama. Malaikat Pencabut Nyawa tidak jemu melawat kita seharian. Lawatan mereka kepada kita menandakan semakin dekat kita kepada Pemilik Diri. Jangan ego dan sombong wahai manusia, malulah kepada binatang-binatang andai mengejar nikmat dunia tanpa menghiraukan Sang Pencipta.

Ingatlah sebab kita diciptakan:

1- Sebagai hamba abdi

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون

Tiada kerja di dunia ini yang perlu kita laksanakan kecuali semata-mata untuk beribadah kepada Allah.

2- Sebagai wakil Allah

وإذ قال ربك للملائكة إني جاعل في الأرض خليفة

Para ulama mentafsirkan perkataan khalifah sebagai wakil yang bermaksud manusia dijadikan di bumi ini adalah untuk menjadi wakil Sang Pencipta di bumi untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang diarahkan dan menjauhkan aktiviti-aktiviti yang dilarang.

Tidaklah Allah menjadikan sesuatu peristiwa itu tanpa sebarang hikmah. Tidak pernah Allah mencatur kehidupan ini dengan sia-sia. Maka rugilah kita andai sentiasa ego dengan diri tanpa mengingati Allah. Kenalilah diri nescaya kita akan mengenali Allah.

Teringat persoalan yang dilontarkan oleh Syeikh Riad Ouarzazi dari Kanada yang berkhutbah di Masjid UIAM pada Jumaat yang lepas khusus untuk pemuda dan pemudi Islam hari ini:

1-
Apakah tujuan kita diciptakan?

2- Siapakah sahabat-sahabat atau teman-teman di sekeliling kita?

3- Banggakah kita dengan jati diri sebagai seorang muslim?

4- Bersediakah kita untuk berjumpa dengan Allah?

Siapa pun kita, tiada pengakhiran diri kita ini melainkan pertemuan dengan Pencipta Asal, Maha Tuan kepada seluruh tuan di alam semesta ini. Berharaplah agar setiap saat digunakan untuk persediaan menuju Allah. Sentiasalah berdoa agar tidak dipanggil dalam keadaan diri sedang melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia.

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا بسوء الخاتمة

Ya Allah, akhirilah kehidupan kami dengan akhiran yang baik dan janganlah akhiri kami dengan akhiran yang buruk.