Hormati Dunia Mahasiswa

By Hafizuddin An-Nuri on 8/28/2012 05:20:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Beberapa hari lepas, dunia kampus digemparkan dengan isu penubuhan Kelab Penyokong UMNO di setiap IPTA yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Sebelum itu juga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memulakannya dengan melacarkan Kelab Mahasiswa Keadilan yang sama konsepnya iaitu sebagai cawangan parti masing-masing di kampus-kampus Malaysia. Ini bukanlah perkara baru dalam dunia mahasiswa, lihat sahaja kelab-kelab UMNO yang ditubuhkan untuk mahasiswa di kebanyakan negara luar.

Sampai bilakah parti-parti politik ini mahu memancing undi mahasiswa dengan strategi-strategi yang lupus dek zaman ini? Sewajarnya, berdepan dengan generasi facebook, twitter dan teknologi moden ini pastinya satu metode dan pendekatan yang lebih memberi nilai kepada mahasiswa hari ini. Parti-parti politik mestilah memahami kehendak dan mengetahui keadaan semasa mahasiswa dengan membuat kajian-kajian secara imiah, bukan bertindak secara 'syok sendiri'.

Mahasiswa ada dunia sendiri, ada fikiran tersendiri, dan yang penting ada pilihan masing-masing untuk menentukan siapa yang terbaik bukan berdasarkan batang tubuh seseorang pemimpin dalam parti semata-mata bahkan tindakan, kenyataan dan tawaran-tawaran yang dibuat kepada masyarakat.

Mungkin ada pihak menyambut baik kewujudan kelab-kelab tersebut, ada juga yang membangkang. Penubuhan kelab ini ada baik dan buruknya, inilah yang saya katakan sebagai penilaian mahasiswa. Apa yang penting, parti-parti politik mesti menghormati dunia mahasiswa dan gaya mahasiswa berfikir. Jika mahu memancing ikan gunalah cacing sebagai umpan, jika mahu memburu harimau cacing bukan lagi menjadi umpan.

Mahasiswa asasnya 3 kriteria utama yang membolehkan institusi mahasiswa ini bergerak lebih terkehadapan iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme.

1.Idealisme yang diterjemahkan kepada daya fikir atau kekuatan mental yang menjadi titik mula kepada seorang pemimpin yang berjaya, mahasiswa mesti terdidik atas landasan pemikiran tersendiri dengan kombinasi kepercayaan dan pendirian yang tegas, jelas dan berlandaskan kecintaan kepada nilai murni dan pada masa yang sama kebencian kepada perkara yang negatif.

2.Idealisme hanyalah berkonsep teori dan masih belum terbukti kecuali dengan adanya aktivisme dalam diri seorang pimpinan mahasiswa, kesanggupan berkorban dan kesungguhan yang jitu demi merealisasikan idea dan fikiran yang tercetus

3.Seorang mahasiswa tidak layak digelar mahaiswa sehingga budaya keilmuan dihidupkan di dalam dirinya melalui pembacaan, diskusi, debat, pendengaran atau apa sahaja yang mampu melahirkan sifat intelektual di dalam diri seorang mahasiswa

Mahasiswa dalam kancah politik tidak dapat dipisahkan dengan tema 'mahasiswa agen perubahan'. Tidak mengira siapa kerajaan dan siapa pembangkang, mahasiswa hanya mahu mencetuskan perubahan. Dan perubahan tersebut pastinya perubahan daripada tidak baik kepada baik dan daripada yang baik kepada lebih baik. Setiap kerajaan tidak pernah sempurna, kerana itu mahasiswa bertindak sebagai kelompok check and balance.

Inilah realiti mahasiswa yang parti-parti politik samada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) mesti hadapi. Hormati dunia mahasiswa dengan tawaran-tawaran yang lebih merakyat dan berfaedah, bukan helah politik yang hanya akhirnya menjadi gula-gula kepada rakyat.

Kriteria Negara Islam & Parti Politik Malaysia

By Hafizuddin An-Nuri on 8/26/2012 12:35:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Dalam membincangkan kewujudan Negara Islam, Prof Dr Muhammad Abd Rauf dalam bukunya 'Ummah:The Muslim Nation' menggariskan 6 perkara asas yang dikira sebagai rukun Negara Islam:  

1.Kualiti individu/batang tubuh pemimpin, seorang yang adil, berani dan mampu, berilmu pengetahuan luas(dunia/akhirat), hebat dalam teknik-teknik peperangan dan mahir dalam pentadbiran 

Ulasan saya: Secara asasnya ciri-ciri pemimpin yang ideal disebutkan dalam Al-Quran terdiri daripada 2 aspek utama iaitu kemampuan (Al-Qawi) dan integriti (Al-Amin). Namun, dalam perbahasan mengenai pemimpin dan kriteria-kriterianya, pelbagai ulama terdahulu dan kontemporari telah berijtihad dalam memastikan aspek-aspek yang perlu dinilai terhadap seseorang untuk melayakkannya menjadi seorang pemimpin yang dikehendaki seperti telus, bermasyarakat, intelektual, adil dan sebagainya.

2.Sistem Perundangan Negara Islam didominasi oleh undang-undang Islam, hak membuat hukum dalam sebuah negara Islam adalah milik Allah 

Ulasan saya: Apabila berbicara soal hukum Islam, maka persepsi utama masyarakat adalah hukum hudud. Secara amnya, dalam sistem perundangan jenayah Islam, ulama membahagikan undang-undang Islam kepada 3 bahagian iaitu hudud (zina, qazaf, mencuri, minum arak, murtad dan hirabah), qisas (berkaitan hak mangsa atau walinya) dan ta'zir (hukuman selain hudud dan qisas yang ditetapkan oleh pemerintah).

Dalam realiti perlembagaan undang-undang Malaysia, setiap akta dan enakmen yang termaktub dalam perlembagaan adalah bersifat subjektif. Sesiapa yang berkuasa berhak membuat pentafsiran terhadap akta tersebut atau membawanya ke mahkamah bagi pihak pembangkang untuk mentafsir sesuatu akta yang diragui maksudnya.

3.Pengamalan syura yang merakyat, konsep syura ini mestilah melibatkan penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan dan menyediakan sistem 'checks and balances' 

Ulasan saya: Konsep syura yang difahami hari ini telah disalah tafsir oleh banyak pihak, atau telah disalah gunakan. Syura atau musyawarah adalah satu perbincangan yang dibentuk untuk mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara. Sistem syura mestilah merakyat agar ia tidak terawang-awang oleh pihak pemutus sahaja. Penilaian-penilaian mestilah bermula dari bawahan sebelum ia diperbincangkan di peringkat atasan, dan koleksi pendapat bawahan ini bukanlah hanya untuk dijadikan syarat tetapi ianya perlu dinilai berulang kali supaya proses keputusan menjadi matang.

Cara ini juga digelar sebagai demokrasi, jelas, sistem syura dalam Islam tidak sedikit pun menutup ruang perbincangan bahkan membuka seluas-luasnya suara-suara semua pihak untuk dijadikan perbincangan bersama. Natijahnya, keputusan yang dikeluarkan adalah keputusan yang matang dan mesti disepakati bersama.

4.Keadilan untuk semua, kesamaan diberi kepada semua warganegara tanpa mengira puak, bangsa atau keturunan 

Ulasan saya: Sebuah kerajaan Islam yang mengamalkan prinsip dan nilai-nilai murni mesti meyakini bahawa datangnya Islam untuk semua. Islam datang bukan untuk Arab, bukan juga untuk Melayu, asas ini mesti difahami secara betul pada konteksnya supaya kerajaan Islam yang terbentuk tidak dilabel sebagai kerajaan yang bias kepada puak-puak tertentu sahaja.

Hakikatnya di Malaysia, isu Islam hanya berlegar dalam kalangan masyarakat Melayu dan bukan Melayu yang memeluk Islam. Pemikiran dan konsep ini mesti diperbetulkan agar ia tidak menjadi satu paranoid dalam masyarakat majmuk Malaysia. Islam dijuzukkan dengan kewujudan label Melayu Islam, Cina Muslim, Cina Buddha, India Muslim dan sebagainya. Islam itu tetap Islam.

5.Melaksanakan prinsip hak persamaan sesama manusia dan semua hak-hak asasi manusia sejagat 

Ulasan saya: Islam datang bukan dengan keterpaksaan, bahkan memberi seluas-luasnya kebebasan kepada manusia dalam menentukan cara hidupnya tersendiri. Namun perjuangan hak-hak asasi manusia atau kesamarataan telah diterjemahkan dengan pelbagai tafsir yang bersesuaian dengan kepentingan pihak-pihak yang mentafsirnya. 

Dalam isu sebegini, ramai pejuang hak asasi manusia tergelicir apabila ia tidak didasarkan kepada 'mengapa hak asasi diperjuangkan' tetapi berasaskan 'apa isu hak asasi manusia yang dapat memberi manfaat kepada kita'. Pada situasi inilah, kaedah-kaedah fiqh diperlukan supaya ia bukan didasari oleh kehendak manusia semata tetapi dilandasi sunnatullah. Setiap kebebasan itu ada batasannya.

6.Mempunyai komitmen yang penuh terhadap syariah dan hukum-hakamnya

Ulasan saya: Paksi kepada asas sesebuah negara Islam adalah perlaksanaan syariah dan hukum-hakamnya. Negara Islam yang mendakwa meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar perlembagaan negara, tetapi masih berbelah bahagi dalam perlaksanaan atau memilih sebahagian dan menolak sebahagian masih belum mencapai kriteria sebuah Negara Islam.

Antara misi perlaksanaan syariah Islam dalam sesebuah negara adalah untuk memastikan umat Islam yang wujud adalah masyarakat yang mempunyai aqidah yang benar, mengamalkan ibadah khas dan am dalam kehidupan dan mempunyai akhlak dan budi yang baik.

Kesediaan Parti Politik Malaysia

Menghadapi pilihanraya umum (PRU) ke-13, mengambil iktibar daripada revolusi yang berlaku di negara umat Islam di Timur Tengah telah memberi laluan kepada kebangkitan Islam yang dicetuskan oleh rakyat dan gerakan-gerakan Islam sendiri.

Namun, persoalannya, bersediakah parti-parti politik khususnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menghiasi tampuk pemerintahan Putrajaya dengan keindahan dan keharmonian sebagai model pemerintahan Islam pertama di Malaysia.

Hakikatnya, tidak mengira parti politik samada PAS, PKR, UMNO hatta DAP dan MCA sekalipun yang mampu memenuhi kriteria-kriteria pemerintahan yang adil dan amanah, maka ia menjadi pilihan utama masyarakat teknologi hari ini.

Maka cabaran paling utama kepada parti politik adalah cabaran realiti yang penuh dengan maklumat semaksimum penyampaiannya. Satu perubahan secara teknikal, modus dan strategi secara 360 darjah mesti dilaksanakan. Hanya gerakan politik yang fleksibel sahaja mampu mendapat tempat dalam pangkahan undi masyarakat sebagai pilihan. Namun ianya mesti melalui satu sistem demokrasi dan pilihanraya yang bersih dan adil untuk melahirkan 'Good Governance'.



Erti Kemerdekaan Menurut Beberapa Pendapat

By Hafizuddin An-Nuri on 8/04/2012 03:38:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...



[KEMERDEKAAN] 

Pandangan Umum :

Rakyat berhak mengatur dan memilih corak kehidupan mereka seperti mempunyai sistem pemerintahan dan perlembagaan sendiri tanpa terikat dengan kusa asing. 

Kamus Pelajar : 

Bebas daripada penjajahan, kurungan dan naungan serta tidak bergantung pada yang lain (berdiri sendiri). 

Kamus Dewan :

1. Bebas daripada penjajahan, kurungan dan naungan 
2. Bepas daripada tebusan dan tuntutan 
3. Berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain 

Wikipedia : 

Pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan. 

Ulama Indonesia :

1. Bebas dari tekanan atau penindasan dari pihak lain. 
2. Menghapuskan kelas-kelas sosial dalam masyarakat, melahirkan taraf masyarakat yang sama. 
3. Penghapusan amalan 'double-standard'. 
4. Berdikari; urusannya tidak wujud campur tangan pihak lain (tidak menjadi boneka negara lain)

Kesimpulannya, hayati, fahami dan praktikkan nilai kemerdekaan dalam diri kita, masyarakat dan negara demi keamanan dan kepentingan negara tercinta.


Patriotisme Menurut Beberapa Pandangan

By Hafizuddin An-Nuri on 8/04/2012 03:29:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum... 


[PATRIOTISME] 

Hisham b. Sharabi : 

Patriotisme: Wataniah/Kenegaraan; diamalkan dalam lingkungan sempadan negara 
Patriotik: Sifat menyayangi tanah air/negara 

Oxford Advanced Learners Dictionary : 

Patrioticm: Love of one’s country and readiness to defend it 
Patriot: Person who loves his country 

Kamus Dewan : 

Patriotisme: Perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air 
Patriot: Orang yang mempertahankan kebebasan atau hak tanah air 

Kesimpulannya, sifat patriotik yang wujud di dalam diri rakyat mestilah didahului dengan kecintaan kepada negaranya berbanding partinya. Ayat ringkas, patriotik itu bukan sayang kerajaan* tetapi sayangkan negaranya. 

*Kerana kerajaan boleh bertukar-tukar dalam sistem negara demokrasi


Konspirasi Illuminati & Paranoid

By Hafizuddin An-Nuri on 8/01/2012 08:25:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Maksud Paranoid: 

Paranoia adalah perkataan dari Greek yang bermaksud Madness/Kegilaan.

Dari aspek psikologi pula, paranoid merupakan gangguan mental yang merujuk kepada seseorang yang mempercayai bahawa orang lain sentiasa mengancamnya atau dirinya berkedudukan penting (walaupun pada hakikatnya tidak).

Maksud Konspirasi:

Konspirasi pula adalah satu persepakatan atau persekongkolan antara 2 pihak atau lebih yang berkomplot untuk melakukan sesuatu yang bersifat tidak sah, salah dan jahat atas tujuan jahat.

Pengertian Illuminati:

Illuminati berasal dari perkataan 'illuminate' yang bermaksud menerangi. Ia adalah organisasi rahsia yang terdiri daripada gabungan kaum Pagan khasnya kaum Kabbalah-Yahudi dan kaum Kristian yang sudah berpaling tadah dan keluar dari agama mereka.

Menurut sejarah moden Illuminati, kumpulan ini telah diasaskan oleh Adam Weishupt yang merupakan salah seorang anggota Freemasonry yang telah keluar dari Kristian dan menubuhkan kumpulan ini.

Berasaskan kaum Pagan, pergerakan Illuminati merupakan gerakan aliran sihir yang mempercayai ramalan astrologi serta mistik sesat. Tujuan ia ditubuhkan adalah untuk menguasai dunia hari ini, supaya segala perkara yang berlaku mengikut acuan mereka.

Teori konspirasi ini menjelaskan bahawa ia diketuai dan dipantau oleh Dajjal La'natullah sebagai 'the hidden hand'. Illuminati juga dikenali sebagai New World Order (NWO) atau Shadow Government.

Terlalu banyak pengkaji-pengkaji Islam hari ini yang telah membuat pelbagai pendedahan tentang konspirasi jahat ini. Teori demi teori telah dibentangkan dalam pelbagai seminar dan bentuk kertas kerja agar umat Islam hari ini lebih mengetahui dan mengemaskini maklumat tentang konspirasi tersebut.

Cukup dengan itu, kebimbangan yang lebih nyata pada hari ini adalah sifat umat Islam dan masyarakat hari ini yang lebih bersifat 'menerima'. Apa yang mereka terima, maka itulah ilmu dan pegangan mereka. Sifat ini tampaknya negatif dan memberi kesan buruk apabila masyarakat Islam kelamaan menjadi paranoid dengan pendedahan teori-teori konspirasi tersebut.

Keyakinan mereka terhadap kemuliaan dan kehebatan Islam semakin merundum tatkala mendapat maklumat tentera-tentera Dajjal La'natullah yang semakin maju dan hebat. Seolah-olah Islam akan jatuh ke tangan mereka dengan perancangan hebat mereka.

Allah berfirman dalam Al-Quran:

"Mereka telah membuat perancangan, dan Allah juga membuat perancangan. Dan Allah sebaik-baik perancang" 

Kita yakin dengan permusuhan yang berlaku antara umat Islam dan Yahudi kerana ia dipaparkan dalam Al-Quran, hadis-hadis Nabi dan sejarah umat Islam. Kehadiran Dajjal di akhir zaman juga menjadi keimanan kita untuk mempercayainya. Namun, bukanlah menjadi ketakutan bagi kita dengan kehebatan perancangan musuh Allah. 

Cabaran dan dugaan terbesar yang berlaku dalam kalangan umat Islam adalah bukan daripada musuh, tetapi daripada kelemahan sendiri.

Ulama' telah menggariskan 3 jenis ilmu yang mesti dilalui oleh setiap mukallaf iaitu ilmu fardhu 'ain;

1- Ilmu Tauhid (Usuluddin)
2- Ilmu Syara' (Al-Fiqh)
3- Ilmu Batin (Tasawwuf)

Lengkapilah diri kita dengan asas-asas yang telah digariskan supaya kita tidak mudah jauh tersasar daripada landasan asal dalam menghadapi fitnah dunia akhir zaman hari ini. Tambahlah kesempurnaan ilmu tersebut dengan ilmu-ilmu lain supaya terlahirnya generasi umat yang kuat dan kental dalam aspek zahir dan batinnya.

Kita sedikit pun tidak menolak teori-teori konspirasi yang telah dibentangkan sehingga hari ini, namun janganlah dengan teori ini hidup kita menjadi sengsara dan tidak tentu arah dek ketakutan yang melampau. Kesedaran inilah, dengan ilmu-ilmu yang semakin hari semakin ditopup, kita bina kekuatan umat Islam dari dalam diri sendiri bukan dengan kelemahan musuh.

Percayai KONSPIRASI, jauhi PARANOID!