Semoga Kehadiran Ulama dalam UMNO Menampakkan Syiar Islam

By Hafizuddin An-Nuri on 6/26/2010 02:00:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Isu terkini yang begitu gempar di persada politik tanah air kita sekarang ialah kemasukan 40 orang ulama muda dalam UMNO pada hari Jumaat , 25 Jun 2010 . UMNO yang buat pertama kalinya menerima keahlian daripada latar belakang agama yang berstatuskan ulama begitu gembira dengan berita ini . Presiden UMNO sendiri yang meraikan penyertaan mereka ini .

Ulama muda ini memberitahu kepada media bahawa penyertaan mereka bukan untuk tujuan politik tetapi da'wah . Mereka tidak memilih PAS sebagai tempat penyebaran da'wah berikutan kewujudan ulama dalam PAS sudah terlalu ramai . Jadi , mereka menyatakan bahawa peluang untuk berda'wah ini akan digunakan sebaik-baiknya kepada ribuan ahli UMNO di seluruh negara .

Dengan kehadiran ulama muda ini , memungkinkan UMNO akan bertukar dasar perjuangan daripada perjuangan perkauman kepada perjuangan agama . Jika UMNO semakin aktif menganjurkan program-program berunsurkan maksiat seperti konsert , judi dan sebagainya , maka tiada gunalah UMNO menerima ulama ini . Seolah-olah hanya mempermainkan mereka demi kepentingan politik .

Semoga syiar Islam akan wujud dalam kalangan ahli UMNO seperti pemakaian yang tidak seksi serta menutup aurat di kalangan Wanita UMNO dan Puteri UMNO , penjagaan ikhtilat antara lelaki dan perempuan , kemuliaan terhadap nabi Muhammad S.A.W , sahabat-sahabat Rasulullah serta ulama berbanding kemuliaan terhadap tokoh-tokoh perjuangan Melayu dan tokoh-tokoh Barat dan sebagainya .

Golongan mereka yang ramai ini bukan sahaja dapat membaiki ahli UMNO semata-mata tetapi juga dapat bersuara lantang dalam Kerajaan Malaysia yang dikuasai oleh Pimpinan UMNO . Golongan inilah diharapkan untuk lebih banyak menegur kepimpinan Kerajaan Malaysia jika Pimpinan UMNO menerima mereka dengan sebenar-benarnya . Diharapkan pada masa akan datang tidak wujud lagi peluang-peluang penganjuran aktiviti maksiat secara keizinan Kerajaan Malaysia seperti judi , konsert nyanyian , dan juga program-program dalam stesen television yang terlalu banyak mempamerkan cerita-cerita dan filem-filem seksi dan lucah .

Justeru , walaupun sedikit kecewa kerana mereka tidak bertujuan politik bahkan Rasulullah S.A.W sendiri aktif berpolitik namun meraikan kumpulan ulama muda ini seramai 40 orang yang mempunyai jiwa da'wah yang hebat . Dikatakan penyertaan ulama ini akan ada rentetan daripada kumpulan seterusnya . Semoga da'wah yang menjadi tujuan mereka akan menempuh usaha dan hasil yang hebat dan diberkati Allah . Sama-sama kita saksikan perubahan ini .


0 comments for this post