Kriteria Negara Islam & Parti Politik Malaysia

By Hafizuddin An-Nuri on 8/26/2012 12:35:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Dalam membincangkan kewujudan Negara Islam, Prof Dr Muhammad Abd Rauf dalam bukunya 'Ummah:The Muslim Nation' menggariskan 6 perkara asas yang dikira sebagai rukun Negara Islam:  

1.Kualiti individu/batang tubuh pemimpin, seorang yang adil, berani dan mampu, berilmu pengetahuan luas(dunia/akhirat), hebat dalam teknik-teknik peperangan dan mahir dalam pentadbiran 

Ulasan saya: Secara asasnya ciri-ciri pemimpin yang ideal disebutkan dalam Al-Quran terdiri daripada 2 aspek utama iaitu kemampuan (Al-Qawi) dan integriti (Al-Amin). Namun, dalam perbahasan mengenai pemimpin dan kriteria-kriterianya, pelbagai ulama terdahulu dan kontemporari telah berijtihad dalam memastikan aspek-aspek yang perlu dinilai terhadap seseorang untuk melayakkannya menjadi seorang pemimpin yang dikehendaki seperti telus, bermasyarakat, intelektual, adil dan sebagainya.

2.Sistem Perundangan Negara Islam didominasi oleh undang-undang Islam, hak membuat hukum dalam sebuah negara Islam adalah milik Allah 

Ulasan saya: Apabila berbicara soal hukum Islam, maka persepsi utama masyarakat adalah hukum hudud. Secara amnya, dalam sistem perundangan jenayah Islam, ulama membahagikan undang-undang Islam kepada 3 bahagian iaitu hudud (zina, qazaf, mencuri, minum arak, murtad dan hirabah), qisas (berkaitan hak mangsa atau walinya) dan ta'zir (hukuman selain hudud dan qisas yang ditetapkan oleh pemerintah).

Dalam realiti perlembagaan undang-undang Malaysia, setiap akta dan enakmen yang termaktub dalam perlembagaan adalah bersifat subjektif. Sesiapa yang berkuasa berhak membuat pentafsiran terhadap akta tersebut atau membawanya ke mahkamah bagi pihak pembangkang untuk mentafsir sesuatu akta yang diragui maksudnya.

3.Pengamalan syura yang merakyat, konsep syura ini mestilah melibatkan penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan dan menyediakan sistem 'checks and balances' 

Ulasan saya: Konsep syura yang difahami hari ini telah disalah tafsir oleh banyak pihak, atau telah disalah gunakan. Syura atau musyawarah adalah satu perbincangan yang dibentuk untuk mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara. Sistem syura mestilah merakyat agar ia tidak terawang-awang oleh pihak pemutus sahaja. Penilaian-penilaian mestilah bermula dari bawahan sebelum ia diperbincangkan di peringkat atasan, dan koleksi pendapat bawahan ini bukanlah hanya untuk dijadikan syarat tetapi ianya perlu dinilai berulang kali supaya proses keputusan menjadi matang.

Cara ini juga digelar sebagai demokrasi, jelas, sistem syura dalam Islam tidak sedikit pun menutup ruang perbincangan bahkan membuka seluas-luasnya suara-suara semua pihak untuk dijadikan perbincangan bersama. Natijahnya, keputusan yang dikeluarkan adalah keputusan yang matang dan mesti disepakati bersama.

4.Keadilan untuk semua, kesamaan diberi kepada semua warganegara tanpa mengira puak, bangsa atau keturunan 

Ulasan saya: Sebuah kerajaan Islam yang mengamalkan prinsip dan nilai-nilai murni mesti meyakini bahawa datangnya Islam untuk semua. Islam datang bukan untuk Arab, bukan juga untuk Melayu, asas ini mesti difahami secara betul pada konteksnya supaya kerajaan Islam yang terbentuk tidak dilabel sebagai kerajaan yang bias kepada puak-puak tertentu sahaja.

Hakikatnya di Malaysia, isu Islam hanya berlegar dalam kalangan masyarakat Melayu dan bukan Melayu yang memeluk Islam. Pemikiran dan konsep ini mesti diperbetulkan agar ia tidak menjadi satu paranoid dalam masyarakat majmuk Malaysia. Islam dijuzukkan dengan kewujudan label Melayu Islam, Cina Muslim, Cina Buddha, India Muslim dan sebagainya. Islam itu tetap Islam.

5.Melaksanakan prinsip hak persamaan sesama manusia dan semua hak-hak asasi manusia sejagat 

Ulasan saya: Islam datang bukan dengan keterpaksaan, bahkan memberi seluas-luasnya kebebasan kepada manusia dalam menentukan cara hidupnya tersendiri. Namun perjuangan hak-hak asasi manusia atau kesamarataan telah diterjemahkan dengan pelbagai tafsir yang bersesuaian dengan kepentingan pihak-pihak yang mentafsirnya. 

Dalam isu sebegini, ramai pejuang hak asasi manusia tergelicir apabila ia tidak didasarkan kepada 'mengapa hak asasi diperjuangkan' tetapi berasaskan 'apa isu hak asasi manusia yang dapat memberi manfaat kepada kita'. Pada situasi inilah, kaedah-kaedah fiqh diperlukan supaya ia bukan didasari oleh kehendak manusia semata tetapi dilandasi sunnatullah. Setiap kebebasan itu ada batasannya.

6.Mempunyai komitmen yang penuh terhadap syariah dan hukum-hakamnya

Ulasan saya: Paksi kepada asas sesebuah negara Islam adalah perlaksanaan syariah dan hukum-hakamnya. Negara Islam yang mendakwa meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar perlembagaan negara, tetapi masih berbelah bahagi dalam perlaksanaan atau memilih sebahagian dan menolak sebahagian masih belum mencapai kriteria sebuah Negara Islam.

Antara misi perlaksanaan syariah Islam dalam sesebuah negara adalah untuk memastikan umat Islam yang wujud adalah masyarakat yang mempunyai aqidah yang benar, mengamalkan ibadah khas dan am dalam kehidupan dan mempunyai akhlak dan budi yang baik.

Kesediaan Parti Politik Malaysia

Menghadapi pilihanraya umum (PRU) ke-13, mengambil iktibar daripada revolusi yang berlaku di negara umat Islam di Timur Tengah telah memberi laluan kepada kebangkitan Islam yang dicetuskan oleh rakyat dan gerakan-gerakan Islam sendiri.

Namun, persoalannya, bersediakah parti-parti politik khususnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menghiasi tampuk pemerintahan Putrajaya dengan keindahan dan keharmonian sebagai model pemerintahan Islam pertama di Malaysia.

Hakikatnya, tidak mengira parti politik samada PAS, PKR, UMNO hatta DAP dan MCA sekalipun yang mampu memenuhi kriteria-kriteria pemerintahan yang adil dan amanah, maka ia menjadi pilihan utama masyarakat teknologi hari ini.

Maka cabaran paling utama kepada parti politik adalah cabaran realiti yang penuh dengan maklumat semaksimum penyampaiannya. Satu perubahan secara teknikal, modus dan strategi secara 360 darjah mesti dilaksanakan. Hanya gerakan politik yang fleksibel sahaja mampu mendapat tempat dalam pangkahan undi masyarakat sebagai pilihan. Namun ianya mesti melalui satu sistem demokrasi dan pilihanraya yang bersih dan adil untuk melahirkan 'Good Governance'.



0 comments for this post