Rohingya, Myanmar dan Demokrasi Suu Kyi

By Hafizuddin An-Nuri on 6/19/2012 09:53:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...
Aung San Suu Kyi kembali ke Myanmar pada tahun 1988 setelah lebih 10 tahun berada di London bersama suami dan anak-anaknya. Kepulangannya adalah untuk menjaga ibunya yang sakit. Setelah beberapa hari menyaksikan kekerasan oleh kerajaan di bawah pemerintahan tentera Myanmar, Suu Kyi nekad untuk menyambung perjuangan menegakkan demokrasi ayahnya, Aung San yang telah dibunuh kerana memperjuangkan demokrasi.

Suu Kyi semakin luas pengaruhnya apabila mendapat sokongan besar oleh sami-sami Buddha yang mahu beliau mengetuai perjuangan demokrasi dan membebaskan Myanmar daripada penguasaan junta tentera.

Suu Kyi yang dipengaruhi oleh pemikiran falsafah 'tanpa kekerasan' melalui ideaslime Mahatma Ghandi telah membuka lembaran sejarah baru kepada perjalanan politik di Myanmar. Rakyat yang sebelumnya berada dalam ketakutan semakin berani tanpa menghiraukan sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pemerintahan junta tentera.

Sebelumnya Myanmar seperti bumi hantu apabila wujudnya tentera ber'kain' merah yang diberi kebebasan untuk membunuh sesiapa sahaja yang melanggar arahan dan peraturan.


Rohingya dan Myanmar

Sebuah wilayah di Myanmar yang bernama Arakan merupakan perkampungan etnik Rohingya yang beragama Islam, turut menempat di situ adalah golongan etnik Rakhine. Pada awal bulan ini, Arakan digemparkan dengan penindasan dan kekejaman melampau oleh etnik Rakhine yang beragama Buddha dan mendapat sokongan daripada kerajaan Myanmar.

Bermula dengan pembunuhan 10 orang Muslim yang dibunuh di atas bas selepas pulang dari majlis tabligh, Rakhine dengan kerjasama pihak polis dan tentera telah menyerang penduduk Islam Arakan dan memusnahkan penempatan Muslim Rohingya.

Misi anti-Islam yang dilakukan ini sebenarnya telah lama berlaku, namun ia menjadi hangat pada baru-baru ini apabila puak pelampau Buddha ini semakin keterlaluan.

Etnik Rakhine mendakwa Rohingya adalah puak 'teroris penjajah' dan mereka sekali-kali tidak mahu golongan Rohingya berada di tanah mereka, dengan sebab itu mereka mengambil jalan dengan membunuh dan membakar rumah-rumah penduduk Islam Arakan,

Umat Islam daripada etnik Rohingya ini semakin terseksa apabila rumah, tanah dan ternakan mereka juga dirampas, masjid-masjid dimusnah dan diganti dengan Pagoda Buddha, penangkapan dan penyeksaan tanpa bicara, pemerkosaan wanita-wanita muslimah dan pemaksaan keluar Islam serta dipaksa menganut Buddha.

Umat Islam di Myanmar yang direkodkan hanyalah sebanyak 5 peratus daripada 53 juta penduduk Myanmar.

Pada hakikatnya, krisis Rohingya ini berlaku sejak 1982 apabila kerajaan Myanmar ketika itu menafikan hak status kependudukan etnik Rohingya sebagai warga negara itu. Bahkan di Myanmar, siri-siri adegan perbalahan dan pergolakan etnik telah banyak berlaku sehinggalah termeterainya perjanjian gencatan senjata.

Suu Kyi, Buddha dan Kerajaan

Agama rasmi bagi negara Myanmar adalah Buddha Thevarada, dam majoriti rakyat Myanmar adalah daripada Buddha. 

Permasalahan yang timbul adalah isu etnik atau 'ethnicism', sedangkan golongan minoriti etnik Rohingya adalah beragama Islam. Kerajaan baru yang diketuai oleh presiden Thein Sein sedang melakukan proses pemulihan pentadbiran, yang mendapat kerjasama daripada pihak pembangkang yang diketuai oleh ikon demokrasi negara itu, Suu Kyi.

Thein Sein dan Suu Kyi sewajarnya menunjukkan kesungguhan untuk mengadakan reformasi politik tanpa berat sebelah atau 'bias' kepada mana-mana pihak sahaja. 

Perjuangan Suu Kyi bersama barisan partinya, parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) tidak boleh berpuas hati begitu mudah apabila berjaya memasuki parlimen dan menjadi pelengkap kerajaan sebagai pembangkang. Asas reformasi ini adalah perubahan gaya politik demokrasi yang memberi laluan dan peluang kepada semua pihak untuk bersuara dan mempunyai hak masing-masing. Bukan perjuangan agama.

Kuasa polis dan tentera yang terlibat dalam menindas Rohingya serta memusnahkan perkampungan Arakan mesti ditarik atau dihadkan dengan arahan daripada kerajaan, itu pun setelah kerajaan serius untuk membebaskan umat Islam Rohingya.

Kerajaan mahupun pembangkang tidak boleh 'bias' dan berlepas tangan dalam menangani konflik etnik dan agama ini, ia seolah-olah memburukkan lagi keadaan untuk membentuk kerajaan baru berdemokrasi.

Pergolakan dan perbalahan di Myanmar sudah mencapai tempoh 64 tahun bermula 1948, sudah tiba masanya kerajaan dan pembangkang bersama-sama membina tamadun negara membangun selari dengan arus dunia. Tidak mengira etnik, agama, parti dan fahaman.


0 comments for this post