Pilihanraya: Antara Keadilan & Kezaliman

By Hafizuddin An-Nuri on 4/27/2012 05:42:00 PM

Filed Under:


Negara Malaysia hari ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, iaitu suatu bentuk pemerintahan yang menggunakan pungutan  suara rakyat sebagai asas dalam pemilihan kerajaannya. Ini  merupakan salah satu komponen utama dalam pengamalan demokrasi bagi mana-mana negara yang telah mencapai status kemerdekaan. Demokrasi adalah suatu ideologi politik yang menekankan kepada konsep kebebasan dan kedaulatan yang bertunas daripada fahaman liberalism itu sendiri. Pada asasnya, demokrasi mempunyai tujuh asas utama yang mesti menjadi pengamalan negara-negara demokrasi iaitulah wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya diadakan secara konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali wujud badan kehakiman yang senantiasa bebas dan berkecuali.

Sebagai sebuah medan untuk meraih sokongan dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin, pilihanraya dilihat dari sudut kaca mata Islam sebagai sebuah medan jihad kerana jihad didefinisikan sebagai melaksanakan sesuatu usaha dengan cara bersungguh-sungguh. Dalam hal ini, ianya merujuk kepada usaha untuk meninggikan kalimah Allah dan meletakkan syi’ar Islam di tempatnya yang tertinggi. Dewasa ini, pilihan raya menjadi medium yang paling tepat untuk dimanfaatkan sebagai sebuah wasilah bagi mendapatkan kuasa pemerintahan seterusnya membolehkan hukum Allah ditegakkan di atas muka bumi ini.

      Sirah Rasulullah SAW pernah mengukir hakikat bahawa Baginda SAW sendiri telah mengisytiharkan jihad perang sebagai wajib kepada kaum Muslimin dalam usaha memerangi golongan kuffar, menentang kezaliman serta menegakkan keadilan sejagat. Hal ini kerana, Islam pada masa itu mendapat tentangan musuh dengan cara berperang dan mengangkat senjata. Mengambil kira konteks di Malaysia, jihad pilihan raya menjadi satu kewajipan dalam memastikan cita-cita meletakkan kalimah Allah di tempat tertinggi tercapai, yakni dengan menjadikan pilihan raya sebagai medium terpenting untuk mengembalikan keamanan, melawan kezaliman sehingga keadilan dapat dinikmati oleh masyarakat daripada semua golongan.

Merujuk kepada kaedah usul Fiqh :

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
(Tidak akan sempurna sesuatu yang wajib melainkan melaksanakan sesuatu perkara, maka melaksanakan perkara tersebut adalah wajib)

Wajibnya melaksanakan hukum Islam di atas muka bumi menjadi asbab kepada wajibnya untuk umat Islam menyertai pilihanraya di Malaysia, hatta di mana-mana negara yang turut mengamalkan sistem yang sama. Tugas melantik pemimpin menjadi tanggungjawab setiap rakyat marhaen kerana pemimpin memainkan peranan utama yang menyelamatkan rakyatnya daripada kebinasaan di dunia dan akhirat. Setiap pemimpin akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai golongan yang berada di bawah pimpinnya. Oleh itu, adalah amat penting bagi masyarakat sesebuah negara supaya sentiasa bersikap teliti dan berhati-hati dalam memilih golongan yang akan memimpin mereka kerana golongan inilah yang akan memandu mereka sama ada menuju keberhasilan atau kemusnahan.

            Realiti yang sedang berlaku di Malaysia masih belum menampakkan tanda-tanda yang positif dan sinar harapan ke arah merealisasikan cita-cita meletakkan kalimah Allah di puncak tertinggi. Korupsi yang bermaharajalela baik dalam kalangan pemimpin peringkat atasan mahupun peringkat bawahan, pelanggaran syari’ah secara terang-terangan dan berleluasa, terhakisnya norma-norma masyarakat lantaran iman yang semakin menipis saban hari menyebabkan sukarnya untuk kezaliman dihapuskan dan keadilan untuk ditegakkan. Jauhnya umat Islam hari ini daripada Al-Quran dan As-Sunnah bermula daripada peringkat kepimpinan sehinggalah kepada golongan yang dipimpin menjadikan keadaan masyarakat Islam semakin genting.

            Pemimpin yang zalim dan menyalahgunakan amanah yang telah diberikan serta  menindas rakyat demi memuaskan nafsu sendiri perlu digantikan dengan mereka yang benar-benar telus dan jujur untuk memimpin. Allah SWT telah memberi peringatanNya berdasarkan surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud ;

“Sesungguhnya Tuhan memerintahkan supaya menjalankan keadilan, berbuat kebaikan dan memberi kepada kerabat-kerabat dan Tuhan melarang perbuatan keji, perlanggaran dan penderhakaan. Dia mengajar kamu supaya kamu mengingat.”

Ayuh kembali kepada manual kehidupan dunia dan akhirat kita, al-Quran dan as-Sunnah, sebagai menyambut seruan Allah SWT agar kembali kepada keduanya jika ada perkara yang kita persilihkan. Sesungguhnya keadilan di muka bumi Malaysia ini tidak akan tertegak selagi mana al-Quran dan as-Sunnah tidak dijadikan sumber rujukan pemerintahan. Sama ada Islam memerintah atau kita akan terus dizalimi, pilihan di tangan anda.

Bantah kezaliman, tegakkan keadilan! 

Muhammad Hafiz Mansor 
Timb Presiden Ma'ruf Club UIAM

0 comments for this post