Harapan Kepada Ahli Politik Malaysia

By Hafizuddin An-Nuri on 11/10/2011 01:53:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...

Politik tanah air sudah lali dan sebati dengan cerita-cerita panas. Pendedahan di sana sini. Parti politik saling berbalas tembakan. Satu ditembak sepuluh lagi peluru ditambah. Pembangkang dedahkan penyelewengan dalam kerajaan. Kerajaan pula dedahkan keburukan pembangkang. Sebelum pilihanraya, semasa pilihanraya dan selepas pilihanraya. Mahunya ditambah lagi tempoh 24 jam sehari ke 40 jam.

Situasi ini tidaklah dilakukan oleh semua individu atau ketua-ketua sektor dalam parti politik masing-masing. Masih ada yang meneruskan kerja membela nasib rakyat dan membina kemajuan negara. Namun, mereka ini hanyalah segelintir minoriti dalam pergerakan politik di Malaysia.

Kekadang perkara ini semakin memualkan apabila semua isu ingin dimainkan. Pantang dengar masalah di pihak lawan, daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. Daripada serahsia-rahsia peribadi hinggalah sededah-dedah kerja politik. Benar, dalam permainan politik jangan dilepaskan peluang dan ruang yang tersedia. Mungkin inilah yang akan menjadi titik modal untuk menjatuhkan musuh. Namun, sampai bila mahu sibuk mencari kelemahan musuh.

Saya bukanlah ahli politik mahupun penganalisis politik, sebagai rakyat bawahan yang juga anak muda Malaysia, sedikit harapan saya kepada semua pemimpin parti politik di Malaysia:

[1] Akhlak adab berpolitik

Kurangnya adab dalam permainan politik akan menimbulkan rasa benci dalam kalangan masyarakat kerana anda semua diperhatikan, setiap langkah buruk akan menghasilkan persepsi buruk kepada rakyat

[2] Buruk-memburuk sesama ahli politik adalah kotor

Ia perlu tetapi mesti dikaji terlebih dahulu supaya rakyat bawahan tidak bosan dengan permainan ini, kesannya kepada anak muda yang akan menghukum bahawa politik itu kotor

[3] Hentikan fitnah

Rakyat sangat keliru dan celaru disebabkan fitnah yang amat dahsyat dalam kalangan ahli politik

[3] Banyak kerja

Perbanyakkan kerja membela rakyat. Masih banyak rakyat marhaen yang sangat memerlukan bantuan dari segi kewangan, pelajaran, dokumentasi harian dan lain-lain

[4] Hapuskan birokrasi

Ahli politik mesti bersifat terbuka untuk semua rakyat tidak mengira latar belakang parti, jangan sekali-kali bersifat eksekutif. Rakyat mahu pemimpin berjiwa rakyat

[5] Hapuskan jurang, wujudkan kasih sayang.

[6] Politik mesti bersih dan berakhlak. Pilihanraya mesti bersih dan benar. Tiada penipuan lagi.

Ini hanyalah sekadar luahan seorang anak muda yang terlalu takut dengan peristiwa yang berlaku hari ini. Kasihanilah rakyat kerana kami memerlukan khidmat bakti daripada orang atasan yang ada autoriti untuk membela nasib kami. Ikutkan hati, banyak lagi harapan tetapi cukuplah sekadar ini sebagai permulaan.

Harapan saya pada satu hari nanti, Perdana Menteri mampu berbincang duduk semeja bersama-sama Ketua Pembangkang untuk menyelesaikan masalah rakyat dan merancang untuk kebaikan negara bersama. Kami sayang Malaysia. Keadilan tertegak Islam dijunjung.



0 comments for this post