Fahami Dengan Adil Maksud 'Melayu Wajib Kuatkan PAS Dalam PR'

By Hafizuddin An-Nuri on 9/08/2012 08:49:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Pada fahaman saya yang dhoif ini, artikel 'Melayu Wajib Kuatkan PAS dalam PR' yang ditulis oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS bukanlah merujuk kepada perjuangan Melayu-Islam, dalam artikel tersebut beliau mempamerkan keberanian dan kebijaksanaan masyarakat Cina dan India khususnya yang sanggup berubah arus kepada PKR, DAP dan DHPP apabila MCA, MIC dan Gerakan sudah tidak bermaya dan tidak lagi relevan untuk mewakili mereka. 

Namun, masyarakat Melayu masih lagi berada dalam takuk lama dan tidak sanggup untuk berubah dengan pelbagai alasan walaupun korupsi serta kepesongan yang berlaku dalam UMNO sudah jelas dan sentiasa didedahkan. Seandainya, golongan ini mahu memartabatkan Islam dan ingin bercakap soal perpaduan, maka PAS adalah tempatnya bukan lagi UMNO. 

Secara tidak langsung, beliau telah membidas dan menempelak masyarakat Melayu yang seolah-olah bergantung harap segala-galanya kepada UMNO. Sedangkan pimpinan-pimpinan veteran UMNO pun ada yang telah bersama-sama PAS apabila menyedari hakikat perjuangan UMNO yang semakin dilihat tidak seperti asal ditubuhkan lagi.

Bahkan masih ramai golongan ilmuan, alim dan NGO Islam yang masih pro-UMNO. Mengapakah begitu takut untuk berubah? Atau menjaga periuk nasi? Atau sememangnya masih tidak mampu untuk berfikir demi kemaslahatan umum? Sebab itulah, apabila ramai Cina dan India telah berpaling tadah daripada kerajaan BN sekarang, itu adalah tindakan bijak, persoalannya di mana masyarakat Melayu. Sayangkan Malaysia atau sayangkan UMNO? 

Jadi, adalah tidak adil apabila tajuk artikel ini disalah ertikan sebagai 'PAS memperjuangkan Melayu demi Islam' kerana itu bukanlah slogan atau pun pembawaan PAS selama ini. PAS telah jelas pendiriannya bahawa Islam adalah untuk semua dan inilah ajaran Rasulullah S.A.W apabila baginda telah membuat reformasi dalam masyarakat di Madinah ketika itu dengan kesamarataan, 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi'. 

Tiada perkauman dan kebangsaan dalam perjuangan memartabatkan Islam apatah lagi dalam merealisasikan kewujudan sebuah negara yang adil dan berkebajikan kerana seluruh rakyat akan bernaung di bawah satu pemerintahan.

Hormati Dunia Mahasiswa

By Hafizuddin An-Nuri on 8/28/2012 05:20:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Beberapa hari lepas, dunia kampus digemparkan dengan isu penubuhan Kelab Penyokong UMNO di setiap IPTA yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Sebelum itu juga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memulakannya dengan melacarkan Kelab Mahasiswa Keadilan yang sama konsepnya iaitu sebagai cawangan parti masing-masing di kampus-kampus Malaysia. Ini bukanlah perkara baru dalam dunia mahasiswa, lihat sahaja kelab-kelab UMNO yang ditubuhkan untuk mahasiswa di kebanyakan negara luar.

Sampai bilakah parti-parti politik ini mahu memancing undi mahasiswa dengan strategi-strategi yang lupus dek zaman ini? Sewajarnya, berdepan dengan generasi facebook, twitter dan teknologi moden ini pastinya satu metode dan pendekatan yang lebih memberi nilai kepada mahasiswa hari ini. Parti-parti politik mestilah memahami kehendak dan mengetahui keadaan semasa mahasiswa dengan membuat kajian-kajian secara imiah, bukan bertindak secara 'syok sendiri'.

Mahasiswa ada dunia sendiri, ada fikiran tersendiri, dan yang penting ada pilihan masing-masing untuk menentukan siapa yang terbaik bukan berdasarkan batang tubuh seseorang pemimpin dalam parti semata-mata bahkan tindakan, kenyataan dan tawaran-tawaran yang dibuat kepada masyarakat.

Mungkin ada pihak menyambut baik kewujudan kelab-kelab tersebut, ada juga yang membangkang. Penubuhan kelab ini ada baik dan buruknya, inilah yang saya katakan sebagai penilaian mahasiswa. Apa yang penting, parti-parti politik mesti menghormati dunia mahasiswa dan gaya mahasiswa berfikir. Jika mahu memancing ikan gunalah cacing sebagai umpan, jika mahu memburu harimau cacing bukan lagi menjadi umpan.

Mahasiswa asasnya 3 kriteria utama yang membolehkan institusi mahasiswa ini bergerak lebih terkehadapan iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme.

1.Idealisme yang diterjemahkan kepada daya fikir atau kekuatan mental yang menjadi titik mula kepada seorang pemimpin yang berjaya, mahasiswa mesti terdidik atas landasan pemikiran tersendiri dengan kombinasi kepercayaan dan pendirian yang tegas, jelas dan berlandaskan kecintaan kepada nilai murni dan pada masa yang sama kebencian kepada perkara yang negatif.

2.Idealisme hanyalah berkonsep teori dan masih belum terbukti kecuali dengan adanya aktivisme dalam diri seorang pimpinan mahasiswa, kesanggupan berkorban dan kesungguhan yang jitu demi merealisasikan idea dan fikiran yang tercetus

3.Seorang mahasiswa tidak layak digelar mahaiswa sehingga budaya keilmuan dihidupkan di dalam dirinya melalui pembacaan, diskusi, debat, pendengaran atau apa sahaja yang mampu melahirkan sifat intelektual di dalam diri seorang mahasiswa

Mahasiswa dalam kancah politik tidak dapat dipisahkan dengan tema 'mahasiswa agen perubahan'. Tidak mengira siapa kerajaan dan siapa pembangkang, mahasiswa hanya mahu mencetuskan perubahan. Dan perubahan tersebut pastinya perubahan daripada tidak baik kepada baik dan daripada yang baik kepada lebih baik. Setiap kerajaan tidak pernah sempurna, kerana itu mahasiswa bertindak sebagai kelompok check and balance.

Inilah realiti mahasiswa yang parti-parti politik samada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) mesti hadapi. Hormati dunia mahasiswa dengan tawaran-tawaran yang lebih merakyat dan berfaedah, bukan helah politik yang hanya akhirnya menjadi gula-gula kepada rakyat.

Kriteria Negara Islam & Parti Politik Malaysia

By Hafizuddin An-Nuri on 8/26/2012 12:35:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Dalam membincangkan kewujudan Negara Islam, Prof Dr Muhammad Abd Rauf dalam bukunya 'Ummah:The Muslim Nation' menggariskan 6 perkara asas yang dikira sebagai rukun Negara Islam:  

1.Kualiti individu/batang tubuh pemimpin, seorang yang adil, berani dan mampu, berilmu pengetahuan luas(dunia/akhirat), hebat dalam teknik-teknik peperangan dan mahir dalam pentadbiran 

Ulasan saya: Secara asasnya ciri-ciri pemimpin yang ideal disebutkan dalam Al-Quran terdiri daripada 2 aspek utama iaitu kemampuan (Al-Qawi) dan integriti (Al-Amin). Namun, dalam perbahasan mengenai pemimpin dan kriteria-kriterianya, pelbagai ulama terdahulu dan kontemporari telah berijtihad dalam memastikan aspek-aspek yang perlu dinilai terhadap seseorang untuk melayakkannya menjadi seorang pemimpin yang dikehendaki seperti telus, bermasyarakat, intelektual, adil dan sebagainya.

2.Sistem Perundangan Negara Islam didominasi oleh undang-undang Islam, hak membuat hukum dalam sebuah negara Islam adalah milik Allah 

Ulasan saya: Apabila berbicara soal hukum Islam, maka persepsi utama masyarakat adalah hukum hudud. Secara amnya, dalam sistem perundangan jenayah Islam, ulama membahagikan undang-undang Islam kepada 3 bahagian iaitu hudud (zina, qazaf, mencuri, minum arak, murtad dan hirabah), qisas (berkaitan hak mangsa atau walinya) dan ta'zir (hukuman selain hudud dan qisas yang ditetapkan oleh pemerintah).

Dalam realiti perlembagaan undang-undang Malaysia, setiap akta dan enakmen yang termaktub dalam perlembagaan adalah bersifat subjektif. Sesiapa yang berkuasa berhak membuat pentafsiran terhadap akta tersebut atau membawanya ke mahkamah bagi pihak pembangkang untuk mentafsir sesuatu akta yang diragui maksudnya.

3.Pengamalan syura yang merakyat, konsep syura ini mestilah melibatkan penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan dan menyediakan sistem 'checks and balances' 

Ulasan saya: Konsep syura yang difahami hari ini telah disalah tafsir oleh banyak pihak, atau telah disalah gunakan. Syura atau musyawarah adalah satu perbincangan yang dibentuk untuk mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara. Sistem syura mestilah merakyat agar ia tidak terawang-awang oleh pihak pemutus sahaja. Penilaian-penilaian mestilah bermula dari bawahan sebelum ia diperbincangkan di peringkat atasan, dan koleksi pendapat bawahan ini bukanlah hanya untuk dijadikan syarat tetapi ianya perlu dinilai berulang kali supaya proses keputusan menjadi matang.

Cara ini juga digelar sebagai demokrasi, jelas, sistem syura dalam Islam tidak sedikit pun menutup ruang perbincangan bahkan membuka seluas-luasnya suara-suara semua pihak untuk dijadikan perbincangan bersama. Natijahnya, keputusan yang dikeluarkan adalah keputusan yang matang dan mesti disepakati bersama.

4.Keadilan untuk semua, kesamaan diberi kepada semua warganegara tanpa mengira puak, bangsa atau keturunan 

Ulasan saya: Sebuah kerajaan Islam yang mengamalkan prinsip dan nilai-nilai murni mesti meyakini bahawa datangnya Islam untuk semua. Islam datang bukan untuk Arab, bukan juga untuk Melayu, asas ini mesti difahami secara betul pada konteksnya supaya kerajaan Islam yang terbentuk tidak dilabel sebagai kerajaan yang bias kepada puak-puak tertentu sahaja.

Hakikatnya di Malaysia, isu Islam hanya berlegar dalam kalangan masyarakat Melayu dan bukan Melayu yang memeluk Islam. Pemikiran dan konsep ini mesti diperbetulkan agar ia tidak menjadi satu paranoid dalam masyarakat majmuk Malaysia. Islam dijuzukkan dengan kewujudan label Melayu Islam, Cina Muslim, Cina Buddha, India Muslim dan sebagainya. Islam itu tetap Islam.

5.Melaksanakan prinsip hak persamaan sesama manusia dan semua hak-hak asasi manusia sejagat 

Ulasan saya: Islam datang bukan dengan keterpaksaan, bahkan memberi seluas-luasnya kebebasan kepada manusia dalam menentukan cara hidupnya tersendiri. Namun perjuangan hak-hak asasi manusia atau kesamarataan telah diterjemahkan dengan pelbagai tafsir yang bersesuaian dengan kepentingan pihak-pihak yang mentafsirnya. 

Dalam isu sebegini, ramai pejuang hak asasi manusia tergelicir apabila ia tidak didasarkan kepada 'mengapa hak asasi diperjuangkan' tetapi berasaskan 'apa isu hak asasi manusia yang dapat memberi manfaat kepada kita'. Pada situasi inilah, kaedah-kaedah fiqh diperlukan supaya ia bukan didasari oleh kehendak manusia semata tetapi dilandasi sunnatullah. Setiap kebebasan itu ada batasannya.

6.Mempunyai komitmen yang penuh terhadap syariah dan hukum-hakamnya

Ulasan saya: Paksi kepada asas sesebuah negara Islam adalah perlaksanaan syariah dan hukum-hakamnya. Negara Islam yang mendakwa meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar perlembagaan negara, tetapi masih berbelah bahagi dalam perlaksanaan atau memilih sebahagian dan menolak sebahagian masih belum mencapai kriteria sebuah Negara Islam.

Antara misi perlaksanaan syariah Islam dalam sesebuah negara adalah untuk memastikan umat Islam yang wujud adalah masyarakat yang mempunyai aqidah yang benar, mengamalkan ibadah khas dan am dalam kehidupan dan mempunyai akhlak dan budi yang baik.

Kesediaan Parti Politik Malaysia

Menghadapi pilihanraya umum (PRU) ke-13, mengambil iktibar daripada revolusi yang berlaku di negara umat Islam di Timur Tengah telah memberi laluan kepada kebangkitan Islam yang dicetuskan oleh rakyat dan gerakan-gerakan Islam sendiri.

Namun, persoalannya, bersediakah parti-parti politik khususnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menghiasi tampuk pemerintahan Putrajaya dengan keindahan dan keharmonian sebagai model pemerintahan Islam pertama di Malaysia.

Hakikatnya, tidak mengira parti politik samada PAS, PKR, UMNO hatta DAP dan MCA sekalipun yang mampu memenuhi kriteria-kriteria pemerintahan yang adil dan amanah, maka ia menjadi pilihan utama masyarakat teknologi hari ini.

Maka cabaran paling utama kepada parti politik adalah cabaran realiti yang penuh dengan maklumat semaksimum penyampaiannya. Satu perubahan secara teknikal, modus dan strategi secara 360 darjah mesti dilaksanakan. Hanya gerakan politik yang fleksibel sahaja mampu mendapat tempat dalam pangkahan undi masyarakat sebagai pilihan. Namun ianya mesti melalui satu sistem demokrasi dan pilihanraya yang bersih dan adil untuk melahirkan 'Good Governance'.



Konspirasi Illuminati & Paranoid

By Hafizuddin An-Nuri on 8/01/2012 08:25:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Maksud Paranoid: 

Paranoia adalah perkataan dari Greek yang bermaksud Madness/Kegilaan.

Dari aspek psikologi pula, paranoid merupakan gangguan mental yang merujuk kepada seseorang yang mempercayai bahawa orang lain sentiasa mengancamnya atau dirinya berkedudukan penting (walaupun pada hakikatnya tidak).

Maksud Konspirasi:

Konspirasi pula adalah satu persepakatan atau persekongkolan antara 2 pihak atau lebih yang berkomplot untuk melakukan sesuatu yang bersifat tidak sah, salah dan jahat atas tujuan jahat.

Pengertian Illuminati:

Illuminati berasal dari perkataan 'illuminate' yang bermaksud menerangi. Ia adalah organisasi rahsia yang terdiri daripada gabungan kaum Pagan khasnya kaum Kabbalah-Yahudi dan kaum Kristian yang sudah berpaling tadah dan keluar dari agama mereka.

Menurut sejarah moden Illuminati, kumpulan ini telah diasaskan oleh Adam Weishupt yang merupakan salah seorang anggota Freemasonry yang telah keluar dari Kristian dan menubuhkan kumpulan ini.

Berasaskan kaum Pagan, pergerakan Illuminati merupakan gerakan aliran sihir yang mempercayai ramalan astrologi serta mistik sesat. Tujuan ia ditubuhkan adalah untuk menguasai dunia hari ini, supaya segala perkara yang berlaku mengikut acuan mereka.

Teori konspirasi ini menjelaskan bahawa ia diketuai dan dipantau oleh Dajjal La'natullah sebagai 'the hidden hand'. Illuminati juga dikenali sebagai New World Order (NWO) atau Shadow Government.

Terlalu banyak pengkaji-pengkaji Islam hari ini yang telah membuat pelbagai pendedahan tentang konspirasi jahat ini. Teori demi teori telah dibentangkan dalam pelbagai seminar dan bentuk kertas kerja agar umat Islam hari ini lebih mengetahui dan mengemaskini maklumat tentang konspirasi tersebut.

Cukup dengan itu, kebimbangan yang lebih nyata pada hari ini adalah sifat umat Islam dan masyarakat hari ini yang lebih bersifat 'menerima'. Apa yang mereka terima, maka itulah ilmu dan pegangan mereka. Sifat ini tampaknya negatif dan memberi kesan buruk apabila masyarakat Islam kelamaan menjadi paranoid dengan pendedahan teori-teori konspirasi tersebut.

Keyakinan mereka terhadap kemuliaan dan kehebatan Islam semakin merundum tatkala mendapat maklumat tentera-tentera Dajjal La'natullah yang semakin maju dan hebat. Seolah-olah Islam akan jatuh ke tangan mereka dengan perancangan hebat mereka.

Allah berfirman dalam Al-Quran:

"Mereka telah membuat perancangan, dan Allah juga membuat perancangan. Dan Allah sebaik-baik perancang" 

Kita yakin dengan permusuhan yang berlaku antara umat Islam dan Yahudi kerana ia dipaparkan dalam Al-Quran, hadis-hadis Nabi dan sejarah umat Islam. Kehadiran Dajjal di akhir zaman juga menjadi keimanan kita untuk mempercayainya. Namun, bukanlah menjadi ketakutan bagi kita dengan kehebatan perancangan musuh Allah. 

Cabaran dan dugaan terbesar yang berlaku dalam kalangan umat Islam adalah bukan daripada musuh, tetapi daripada kelemahan sendiri.

Ulama' telah menggariskan 3 jenis ilmu yang mesti dilalui oleh setiap mukallaf iaitu ilmu fardhu 'ain;

1- Ilmu Tauhid (Usuluddin)
2- Ilmu Syara' (Al-Fiqh)
3- Ilmu Batin (Tasawwuf)

Lengkapilah diri kita dengan asas-asas yang telah digariskan supaya kita tidak mudah jauh tersasar daripada landasan asal dalam menghadapi fitnah dunia akhir zaman hari ini. Tambahlah kesempurnaan ilmu tersebut dengan ilmu-ilmu lain supaya terlahirnya generasi umat yang kuat dan kental dalam aspek zahir dan batinnya.

Kita sedikit pun tidak menolak teori-teori konspirasi yang telah dibentangkan sehingga hari ini, namun janganlah dengan teori ini hidup kita menjadi sengsara dan tidak tentu arah dek ketakutan yang melampau. Kesedaran inilah, dengan ilmu-ilmu yang semakin hari semakin ditopup, kita bina kekuatan umat Islam dari dalam diri sendiri bukan dengan kelemahan musuh.

Percayai KONSPIRASI, jauhi PARANOID!


Rohingya, Myanmar dan Demokrasi Suu Kyi

By Hafizuddin An-Nuri on 6/19/2012 09:53:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...
Aung San Suu Kyi kembali ke Myanmar pada tahun 1988 setelah lebih 10 tahun berada di London bersama suami dan anak-anaknya. Kepulangannya adalah untuk menjaga ibunya yang sakit. Setelah beberapa hari menyaksikan kekerasan oleh kerajaan di bawah pemerintahan tentera Myanmar, Suu Kyi nekad untuk menyambung perjuangan menegakkan demokrasi ayahnya, Aung San yang telah dibunuh kerana memperjuangkan demokrasi.

Suu Kyi semakin luas pengaruhnya apabila mendapat sokongan besar oleh sami-sami Buddha yang mahu beliau mengetuai perjuangan demokrasi dan membebaskan Myanmar daripada penguasaan junta tentera.

Suu Kyi yang dipengaruhi oleh pemikiran falsafah 'tanpa kekerasan' melalui ideaslime Mahatma Ghandi telah membuka lembaran sejarah baru kepada perjalanan politik di Myanmar. Rakyat yang sebelumnya berada dalam ketakutan semakin berani tanpa menghiraukan sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pemerintahan junta tentera.

Sebelumnya Myanmar seperti bumi hantu apabila wujudnya tentera ber'kain' merah yang diberi kebebasan untuk membunuh sesiapa sahaja yang melanggar arahan dan peraturan.


Rohingya dan Myanmar

Sebuah wilayah di Myanmar yang bernama Arakan merupakan perkampungan etnik Rohingya yang beragama Islam, turut menempat di situ adalah golongan etnik Rakhine. Pada awal bulan ini, Arakan digemparkan dengan penindasan dan kekejaman melampau oleh etnik Rakhine yang beragama Buddha dan mendapat sokongan daripada kerajaan Myanmar.

Bermula dengan pembunuhan 10 orang Muslim yang dibunuh di atas bas selepas pulang dari majlis tabligh, Rakhine dengan kerjasama pihak polis dan tentera telah menyerang penduduk Islam Arakan dan memusnahkan penempatan Muslim Rohingya.

Misi anti-Islam yang dilakukan ini sebenarnya telah lama berlaku, namun ia menjadi hangat pada baru-baru ini apabila puak pelampau Buddha ini semakin keterlaluan.

Etnik Rakhine mendakwa Rohingya adalah puak 'teroris penjajah' dan mereka sekali-kali tidak mahu golongan Rohingya berada di tanah mereka, dengan sebab itu mereka mengambil jalan dengan membunuh dan membakar rumah-rumah penduduk Islam Arakan,

Umat Islam daripada etnik Rohingya ini semakin terseksa apabila rumah, tanah dan ternakan mereka juga dirampas, masjid-masjid dimusnah dan diganti dengan Pagoda Buddha, penangkapan dan penyeksaan tanpa bicara, pemerkosaan wanita-wanita muslimah dan pemaksaan keluar Islam serta dipaksa menganut Buddha.

Umat Islam di Myanmar yang direkodkan hanyalah sebanyak 5 peratus daripada 53 juta penduduk Myanmar.

Pada hakikatnya, krisis Rohingya ini berlaku sejak 1982 apabila kerajaan Myanmar ketika itu menafikan hak status kependudukan etnik Rohingya sebagai warga negara itu. Bahkan di Myanmar, siri-siri adegan perbalahan dan pergolakan etnik telah banyak berlaku sehinggalah termeterainya perjanjian gencatan senjata.

Suu Kyi, Buddha dan Kerajaan

Agama rasmi bagi negara Myanmar adalah Buddha Thevarada, dam majoriti rakyat Myanmar adalah daripada Buddha. 

Permasalahan yang timbul adalah isu etnik atau 'ethnicism', sedangkan golongan minoriti etnik Rohingya adalah beragama Islam. Kerajaan baru yang diketuai oleh presiden Thein Sein sedang melakukan proses pemulihan pentadbiran, yang mendapat kerjasama daripada pihak pembangkang yang diketuai oleh ikon demokrasi negara itu, Suu Kyi.

Thein Sein dan Suu Kyi sewajarnya menunjukkan kesungguhan untuk mengadakan reformasi politik tanpa berat sebelah atau 'bias' kepada mana-mana pihak sahaja. 

Perjuangan Suu Kyi bersama barisan partinya, parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) tidak boleh berpuas hati begitu mudah apabila berjaya memasuki parlimen dan menjadi pelengkap kerajaan sebagai pembangkang. Asas reformasi ini adalah perubahan gaya politik demokrasi yang memberi laluan dan peluang kepada semua pihak untuk bersuara dan mempunyai hak masing-masing. Bukan perjuangan agama.

Kuasa polis dan tentera yang terlibat dalam menindas Rohingya serta memusnahkan perkampungan Arakan mesti ditarik atau dihadkan dengan arahan daripada kerajaan, itu pun setelah kerajaan serius untuk membebaskan umat Islam Rohingya.

Kerajaan mahupun pembangkang tidak boleh 'bias' dan berlepas tangan dalam menangani konflik etnik dan agama ini, ia seolah-olah memburukkan lagi keadaan untuk membentuk kerajaan baru berdemokrasi.

Pergolakan dan perbalahan di Myanmar sudah mencapai tempoh 64 tahun bermula 1948, sudah tiba masanya kerajaan dan pembangkang bersama-sama membina tamadun negara membangun selari dengan arus dunia. Tidak mengira etnik, agama, parti dan fahaman.


Matlamat Kuasa Untuk Islam

By Hafizuddin An-Nuri on 3/27/2012 03:25:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Terbaca di FB, seorang figura yang dianggap pencetus Student Power (Kuasa Mahasiswa) dekad ini di Malaysia mempersoalkan kuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Memang benar wahai sahabatku yang dihormati, MPP tiada kuasa pun kerana namanya pun sudah jelas.

Perwakilan=Wakil Mahasiswa.

Bertindak sebagai 'dealer' kepada mahasiswa untuk dibawa ke pejabat. Jika MPP itu tidak berbuat demikian bahkan hanya menurut arahan, maka jika arahan itu baik untuk mahasiswa maka ikutlah. Tetapi jika arahan itu menzalimi dan menyusahkan mahasiswa maka menjadi tugas MPP untuk bersemuka dengan orang pentadbiran. Sebab itulah timbulnya kumpulan yang diiktiraf sebagai aliran pro mahasiswa dan pro aspirasi (aspirasi universiti).

Timbul pula, mahasiswa mesti bebas daripada kuasa pentadbiran dan mesti laksanakan pilihanraya sendiri. Saya setuju jika mereka berpendapat zaman 60an kita pernah lakukan sehingga mahasiswa diberi kepercayaan untuk memegang tampuk pemerintahan yang besar sehingga mampu mempunyai bas, kafetaria dan lain-lain lagi yang dimiliki sendiri oleh MPP. Itu 60an.

Dalam pergerakan mengikut arus semasa, kita merujuk sejarah hanyalah sebagai pedoman dan garis panduan bukan untuk di'taqlid' membuta tuli. Ini tahun 2012. Mahasiswa tidak lagi menggunakan 'hand-writing' untuk bergerak, hanya menekan butang 'keyboard' dan mampu mendapat respon dalam 1 saat.

Pada pendapat saya, mahasiswa yang hanya ber'degang-degang' mahukan kuasa tetapi hanya menggunakan alasan memperjuangkan hak mahasiswa sebenarnya masih belum jelas matlamat. Hak apakah yang mahu diperjuangkan? Apakah kayu ukur kuasa MPP yang bebas daripada pentadbiran berjaya memperjuangkan hak mahasiswa?

Kita perlu jelas, kuasa MPP ini mesti digunakan seoptimum mungkin untuk membawa anak muda mahasiswa hari ini ke jalan yang sebenar, iaitu jalan Islam. Berteraskan kebajikan dan prinsip bahawa politik (pentadbiran) semestinya dipandu dengan acuan Islam.

Apa guna punya kuasa tetapi tidak mengenal Pencipta. Apa guna punya kuasa andai masih tidak merindui Rasulullah. Apa guna jadi mahasiswa berKUASA andai tidak punya akhlak, adab yang baik.



SMM : Simpan Baju Lama, Pakai Yang Baru

By Hafizuddin An-Nuri on 3/26/2012 11:54:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Tahniah dan Takziah diucapkan kepada saudara Safwan Anang atas kepercayaan bebanan baru sebagai Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Jadikan cerita lama sebagai pengajaran dan iktibar untuk meneruskan perjuangan mahasiswa ini.

Rasulullah (Sollallahu 'Alaihi Wasallam) bersabda:

"Agama itu nasihat", kami (sahabat) bertanya, "Terhadap siapa?", Rasulullah (Sollallahu 'Alaihi Wasallam) menjawab, "Terhadap Allah, terhadap KitabNya, terhadap RasulNya, terhadap pemimpin kaum Muslimin dan terhadap seluruh umat mereka"

Suka saya untuk memberi sedikti respon kepada peralihan kepimpinan SMM yang baru diterajui oleh sahabat saya yang juga merupakan Timb Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS):

1- "Baju yang baru dibeli mesti dipakai dengan cantik, baju yang lama biarkan ia dengan sifat 'lama'nya. Baju baru jangan disamakan dengan baju lama walaupun badan yang sama memakainya"

2- SMM kali ini mesti mengorak langkah lebih hebat, matang dan mempunyai daya pemikiran mahasiswa yang terbuka. Bukan hanya lantang memberi kritikan berapi-api kepada semua pihak yang dianggap olehnya sebagai salah, kerana SMM dilihat sebagai gerakan emosional.

3- Saya mencadangkan agar Safwan dan pimpinan SMM baru yang lain bersama-sama pimpinan gerakan mahasiswa yang bergabung ini mesti meraih kembali kepercayaan masyarakat kampus khususnya mahasiswa terhadap SMM. Pada pemerhatian saya, mereka sudah kurang bahkan hilang keyakinan.

4- Pimpinan yang baru juga semestinya mengembalikan semula konsep asal penubuhan SMM ini, tanpa ada pengaruh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tertentu melainkan orang yang selayaknya. Jika tidak, SMM tetap dengan 'pakaian lama'nya.

5- SMM bukan satu entiti gerakan mahasiswa, tetapi merupakan satu gabungan dan kesepakatan kerjasama antara semua gerakan mahasiswa yang wujud di Malaysia untuk memberi satu momentum yang padu dan jitu dalam satu kesatuan setelah dipersetujui sebulat suara. Selari dengan sabda Rasulullah (Sollallahu 'Alaihi Wasallam) yang berbunyi:

"Berjamaah (Berkumpulan) itu menimbulkan rahmah (kasih sayang) dan berpecah-belah itu membawa azab (kecelakaan)"

Akhir kata, saya megucapkan selamat maju jaya kepada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kepimpinan yang baru ini. Ingat! Gerak kerja yang tidak bermatlamatkan Islam tidak akan ke mana. Capailah kata sepakat sepanjang sesi hanya untuk menyebarkan Da'wah Islamiyah di muka bumi Allah khasnya di seluruh kampus di Malaysia.


Hormat-menghormati Antara Gerakan Akhlak Terpuji

By Hafizuddin An-Nuri on 3/05/2012 02:52:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Pandangan peribadi terhadap kempen blog Jom Ubah UIAM:

Hormat menghormati antara satu sama lain merupakan adab dan akhlak dalam pertandingan yang sihat. Ia adalah satu peraturan 'manusia' yang mesti dipegang dan dihadam oleh semua pihak. Politik mahasiswa juga seharusnya didasari oleh perkara asas seperti hormat dan toleransi.

Jika benar di UIAM ini wujudnya kumpulan mahasiswa daripada;

1- Pro-M
2- ASPIRASI

yang menyebabkan ketidakpuashan hati oleh satu lagi kumpulan yang menamakan sebagai

3- MAHASISWA

maka, ini adalah satu berita baik. Ketiga-tiga kumpulan di atas adalah mahasiswa bukan orang lain, Kumpulan MAHASISWA pun mahasiswa, Pro-M pun mahasiswa, ASPIRASI pun mahasiswa, inilah buktinya fungsi akal mahasiswa yang menjadi faktor wujudnya idealism-idealism tersebut.

Jadi, kewajipan ke atas kita adalah saling menghormati antara satu sama lain, paling penting jangan sekali-kali memperlekeh antara satu sama lain, walhal kita dalam satu kampus dan bersaudara dalam Islam.

Justeru, saya menyeru dan mengajak semua pihak khususnya para mahasiswa yang mempunyai ilmu apatah lagi yang terlibat dengan gerakan mahasiswa kawan dan lawan, ayuh kita berpegang dengan prinsip masing-masing dan dalam masa yang sama juga kita menghormati prinsip dan pandangan pihak lain.

Jangan disebabkan emosional dan kepentingan diri, kita sesat hujah dan membuat tuduhan yang bersifat pembunuhan karakter, apa yang paling malang adalah serangan peribadi yang melampau.

Semoga Allah jauhi kita semua daripada fitnah dunia ini.

Berilah ruang seluas-luasnya kepada kumpulan MAHASISWA, Pro-M dan ASPIRASI.

Inilah persaingan yang sihat, intelek dan matang.

UMNO Parti 'Gangster'

By Hafizuddin An-Nuri on 1/22/2012 02:23:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Ahli UMNO dilihat semakin ganas, hari demi hari sikap biadap dan kasar ahli-ahli UMNO semakin hilang kawalan. Sebenarnya hal ini sudah lama berlanjutan, jika kita perasan, perangai kurang ajar UMNO kebanyakan dapat diperhatikan semasa pilihanraya samada pilihanraya umum mahu pun pilihanraya kecil.



Mereka samada lelaki mahu pun perempuan iaitu Pemuda UMNO dan Wanita UMNO termasuklah Puteri UMNO lebih suka untuk menunjukkan aksi lucah sebagai tanda protes terhadap Pakatan Rakyat (PR). Inilah ajaran dan didikan selama berpuluh-puluh tahun penubuhan UMNO. UMNO hari ini memalukan datuk moyang mereka.



Mutakhir ini, mereka sudah hilang kawalan. Hanya kerana seorang mahasiswa menurunkan bendera pemimpin mereka yang dianggap mulia itu, mereka buat ugutan. Mereka ugut mahu tampar dan ludah jika terjumpa dengan mahasiswa tersebut. Saya kira mereka sangat terhina dengan perbuatan sedemikian. Mungkin orang akan cakap, "Bodohnya UMNO". Ya, hanya itu yang mampu disifatkan. Memalukan!



Tidak cukup dengan itu, sikap kurang ajar ahli UMNO datang lagi. Mereka tidak peduli di mana sahaja, walaupun di Balai Polis. Seorang ahli UMNO telah menyerang mahasiswa tersebut (Adam Adli) ketika di Balai Polis, nyaris ditumbuk. Polis seperti biasa dengan sifat 'dungu'nya melihat sahaja perkara itu berlaku. Tiada tindakan, kerana itu UMNO.



Balai Polis pun diserang, masjid pun mereka belasah. Demonstrasi Protes AUKU anjuran PAS menjadi ganas apabila diserang oleh penyokong tegar UMNO. Demo yang dianjur selepas Solat Jumaat itu kecoh apabila ahli UMNO mengugut dan mengecam supaya demo dihentikan, paling menyeramkan ahli-ahli UMNO ini menggunakan batu-bata untuk menghalau peserta-peserta demonstrasi tersebut. Sunguh menakutkan!



Terkini, kumpulan 'gangster' UMNO membuat onar di program ceramah ABU (Asal Bukan UMNO)-Hindraf. Dalam satu video yang dirakam, mereka bertindak seolah-olah kumpulan samseng yang diupah. Mereka menyerang orang kampung dan hadirin yang hadir termasuk menggunakan kerusi dan kayu yang menyebabkan seorang cedera. Inilah perbuatan UMNO yang memegang tampuk kerajaan Malaysia hari ini.

Tidak hairanlah, Ketua Pergerakan Wanita UMNO pun boleh memberi ucapan ala samseng dalam perhimpunan mereka. Menteri Besar Terengganu pun pernah mencabar seorang ADUN PAS secara terbuka di dalam Sidang DUN untuk bergaduh. Percayalah, ahli-ahli UMNO hanya tahu negara ini milik mereka, sesiapa pun tidak boleh mengganggu parti, pimpinan dan ahli mereka.

Ini belum lagi cerita tentang korupsi mereka, ini baru sikap mereka dengan orang ramai. Dan ini hanyalah sekelumit sikap samseng dalam kalangan ahli UMNO, belum lagi pimpinan dan polis UMNO.

Jadi, menjadi tanggungjawab bagi seluruh masyarakat intelek khususnya anak muda yang mempunyai daya kefahaman Islam yang tinggi untuk mengajak dan menyeru seluruh ahli UMNO untuk berpartisipasi dalam khidmat bakti kepada masyarakat bukan untuk kepentingan. Mahasiswa Islam yang sedarlah bertanggungjawab untuk membubarkan UMNO dan memastikan ahli-ahli UMNO berada di jalan yang benar. Hapuskan UMNO kerana ia hanyalah Parti 'Ganster'.



Jangan Lupa Perjuangan Anak Muda

By Hafizuddin An-Nuri on 1/14/2012 08:05:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Pakatan Rakyat diingatkan bahawa ini bukannya masa untuk bergembira dan berseronok dengan pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu liwat kerana permainan politik Umno BN bersimpang siur dan tidak mampu dibaca.

Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor berkata, Umno BN boleh berbuat apa sahaja bagi memastikan kemenangan dalam PRU-13.

“Anwar sudah bebas, jangan lupa perjuangan anak muda.

“Mahasiswa merupakan antara suara terbesar dalam pentas politik tanah air,” ujarnya.

Justeru, ujarnya Auku mesti dimansuhkan dengan segera dan bebaskan mahasiswa daripada ditangkap oleh pihak pentadbiran universiti.

Katanya, dalam pada isu 5 mahasiswa KUIN masih tidak selesai, mahasiswa UPSI pula menjadi mangsa.

Baginya, pentadbiran UPSI telah mengambil keputusan 'gopoh' apabila ingin mengambil tindakan terhadap Adam Adli, sedangkan kerajaan sedang berusaha untuk meminda Auku.

“Saya kira UPSI sangat tidak bijak dan telah menjatuhkan kredibiliti sebagai institut pendidikan kerana dipengaruhi oleh beberapa pihak khususnya Umno,” ujarnya lagi.

Kebelakangan ini, katanya Aspirasi semakin lantang untuk bersuara.

“Saya desak Aspirasi jangan 'menyalak' lagi. Tindakan Aspirasi hanyalah memberi kerugian kepada negara,” katanya.

Tegasnya, anak muda boleh menilai dengan sendiri, tidak perlu mengikut tunjuk ajar Umno.

Menurutnya, mahasiswa jelas bahawa kerajaan akan datang bukan lagi milik Umno BN, perubahan besar mesti dilaksanakan.

Justeru, ujarnya pilihan raya akan datang pastinya akan memberi nafas baru kepada Malaysia dan rakyat setelah berpuluh-puluh tahun berada dalam propaganda Umno.

Sumber: HarakahDaily.Net

Amaran Untuk UMNO-BN

By Hafizuddin An-Nuri on 1/02/2012 03:50:00 PM

Filed Under: , ,

Assalamualaikum & salam ceria...


KUALA LUMPUR, 2 Jan: Mahasiswa akan memilih kerajaan baru dalam pilihan raya umu ke-13 nanti, justeru Umno BN mesti berundur.

Demikian ditegaskan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan polis terhadap para mahasiswa yang berhimpun di Universiti Perguruan Sultan Idris, awal pagi semalam.

“Mahasiswa mahukan perubahan, kali ini mahasiswa dan anak muda akan membuat pilihan yang tepat.

“Kami akan memilih kerajaan baru dalam pilihan raya akan datang. Umno BN mesti berundur, mereka sudah tidak layak lagi mentadbir Malaysia dengan prestasi yang sangat buruk,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Mengenai insiden yang berlaku itu, beliau berkata, Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan mesti bertanggungjawab dengan insiden yang berlaku itu.

Justeru, katanya mahasiswa desak agar Ketua Polis Perak itu membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap anggota beliau yang memukul dan menerajang peserta demonstrasi.

Katanya, Shukri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan nafi berhubung dengan kejadian yang berlaku, yang menjelaskan lagi sifat tidak profesional pihak PDRM bekerja.

Menurutnya, mahasiswa bukan golongan penjenayah, mahasiswa hadir hanya berbekalkan suara dan kain rentang, pihak polis tidak wajar membuat kekerasan sedemikian

Selain itu juga, ujarnya mahasiswa mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Timbalan Presiden Gamis merangkap Pengerusi Bebas khususnya dan juga seluruh mahasiswa Malaysia umumnya atas kekasaran anggota polis itu.

“ Amaran keras kepada pentadbiran Malaysia, bahawa kecaman dan kekerasan yang dibuat oleh pihak polis tidak lagi menjadi halangan bagi seluruh mahasiswa bahkan ia menambahkan lagi semangat kami untuk terus bersatu dalam membebaskan mahasiswa daripada belenggu kezaliman,” tegasnya.

Beliau menambah, perjuangan mahasiswa menuntut kebebasan akademik juga akan terus membara di seluruh pelosok negara dan tidak sekali-kali akan terhenti.

Sumber: HarakahDaily.Net


Ayuh ASPIRASI Kita Bergabung, Jangan Jadi Orang Suruhan

By Hafizuddin An-Nuri on 12/31/2011 07:40:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria..



KUALA LUMPUR, 30 Dis: Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) diajak berjuang untuk menghapuskan Akta niversiti dan Kolej Universiti (Auku).

Demikian gesaan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor yang melihat Aspirasi akhir-akhir ini semakin lantang bersuara dengan mempamerkan diri sebagai kumpulan penyokong Umno.

Baginya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin terdesak yang mana kekuatan kepada jentera Pemuda Umno sudah terhakis dengan adegan-adegan kurang matang ahli Umno.

Beliau berkata, politik ludah dan politik lucah hanya semata-mata peluru mereka, ketajaman para pemuda dalam Umno sudah tumpul, mereka tidak lagi menjadi harapan Umno.

Maka, katanya Aspirasi penjuru terakhir untuk menarik golongan anak muda.

"Saya kira Aspirasi seolah-olah 'lembu ditarik hidungnya', sangat jelik apabila mereka menganjurkan demonstrasi untuk membantah demonstrasi.

“Jika benar kalian perjuangkan keamanan dan keadilan, ayuh bersama-sama kita berjuang mansuhkan Auku, hapuskan akta-akta 'rimba', jangan jadi orang suruhan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mencabar pengerusi Aspirasi untuk mengemukakan hujah bernas berteraskan ilmu, apakah kesalahan Adam Adli kerana mereka mengecam pula himpunan membebaskan mahasiswa UPSI itu.

Justeru, katanya jangan memberi hujah 'atas angin' kerana tiada dalam mana-mana peraturan mengatakan bahawa menurunkan bendera (gambar PM) dengan sengaja adalah bersalah.

“Jika mahu bercakap soal adab dan akhlak, saya minta anda semua turun ke medan lapangan mahasiswa dan anak muda. Di sana masih ramai dahagakan adab dan akhlak daripada anda.

“Paling penting, lihat ahli anda dahulu, apakah mereka sudah cukup beradab dan berakhlak dalam agama.

“Mahasiswa bawahan sangat perlukan tunjuk ajar untuk mendayung sampan di laut, bukan doktrin Umno anda!" katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru Aspirasi supaya berubah.

"Ayuh Aspirasi, sudah tiba anda berubah. Jika benarlah perjuangan anda adalah menuntut keadilan dan keamanan, bukan kerana Umno.

“Saya menyeru kalian semua untuk bersama-sama Gamis, PKPIM, Kami, Dema, LMP dan sebagainya dalam satu solidariti yang kukuh, bebas daripada mana-mana anasir parti. Turun bersama menyokong kebebasan Adam Adli, bukan mengampu pihak atasan," ujarnya.

Tegasnya lagi, sudah sampai masanya untuk anak muda berada dalam satu kumpulan yang kukuh, memahami tuntutan mereka terhadap negara dan menjadi golongan third force dalam menyemak dan imbang pentadbiran negara Malaysia, bukan menjadi kuda tunggangan pihak-pihak tertentu.

Sumber: Harakahdaily.Net


SIGMA Mengecam Tindakan Biadap Tentera Mesir Terhadap Wanita

By Hafizuddin An-Nuri on 12/25/2011 04:27:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Jika awal tahun dahulu, medan tahrir menjadi saksi berlakunya revolusi menjatuhkan pemerintahan Hosni Mubarak, akhir tahun ini pula MedanTahrir menjadi saksi rakyat diperlakukan dengan kejam dan keterlaluan oleh tentera mesir lebih-lebih lagi ianya berlaku kepada wanita. Tentera Mesir telah mengambil alih kerajaan selepas bekas Presiden Hosni Mubarak digulingkan pada 11 Februari lalu.

Pada awalnya, kehadiran tentera Mesir diterima rakyat, tetapi kini rakyat Mesir bangkit menuntut agar kepimpinan kerajaan kembali ditadbir oleh orang awam dan menuntut Dewan Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) segera melepaskan pentadbiran negara.
Tindakan biadap tentera mesir menperlihatkan kepada dunia bahawa mereka ini kejam. Apatah lagi minggu lalu, tiga orang tentera memukul seorang wanita yang tidak bersenjata, menarik pakaian wanita itu, dan menyeret dia ke bawah jalan Kaherah.

Penghinaan buat wanita

Sinergi Gabungan Mahasiswi (SIGMA) dengan tegasnya menyatakan kecaman dan menyifatkan tindakan tentera tersebut adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan biadap. Ianya memperlihatkan bahawa bukan sahaja wanita itu dibelasah, malah lebih teruk lagi bilamana mengaibkan dan mencabul kehormatannya sebagai seorang wanita. Ini merupakan penghinaan terhadap seorang wanita yang jelas bukan sahaja melukai fizikal wanita itu, malah emosi seluruh wanita di dunia. Kaum wanita sepatutnya dilindungi dan dihormati kaum lelaki apatah lagi tentera yang sepatutnya menjaga keselamatan dan bukan bertindak zalim kepada orang awam.

Tindakan tentera ‘melukai’ revolusi

Insiden yang berlaku ini menempelak dunia arab yang hebat melaungkan larangan keganasan terhadap wanita yang tidak bersenjata kerana yang berlaku adalah sebaliknya. Pihak tentera pada mulanya melindungi para aktivis revolusi pada bulan Februari dahulu kini secara terbuka menyerang dan menzalimi orang awam,malah tidak akan mengubah polisi perang mereka terhadap aktivisme demokrasi. Tindakan demi tindakan yang dilakukan pihak tentera ini tanpa disedari ‘melukai’ revolusi rakyat mesir.

Laungan dunia : Selamatkan wanita

Wanita mampu bangkit berani jika emosinya tercalar. Tarikh 24 disember ini membuktikan tidak mudah bagi wanita untuk kalah dengan keadaan. Sebanyak 10 000 orang wanita Mesir telah turun ke jalanan, dengan lantangnya melaungkan “Anak-anak perempuan Mesir adalah satu barisan merah!”, mereka bangun membantah tindakan zalim dan kejam tentera terhadap aktivis wanita itu.

SIGMA menyeru seluruh badan kerajaan mahupun bukan kerajaan, organisasi hal ehwal wanita dan mahasiswi samaada dalam negara dan luar negara untuk bersuara menyatakan bantahan dan kecaman terhadap kezaliman yang berlaku. Jika 10 000 wanita Mesir menggerakkan jasad mereka turun ke jalanan, marilah kita anak muda dan wanita di Malaysia mengerakkan jiwa menyatakan kebenciaan kita terhadap pencabulan kehormatan wanita.

Jika 1 orang wanita dianiayai, biar seluruh wanita di dunia bangkit dengan sedar mempertahankannya.

Selamatkan wanita!!

Rohayu Rusli
Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA)