Fahami Dengan Adil Maksud 'Melayu Wajib Kuatkan PAS Dalam PR'

By Hafizuddin An-Nuri on 9/08/2012 08:49:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Pada fahaman saya yang dhoif ini, artikel 'Melayu Wajib Kuatkan PAS dalam PR' yang ditulis oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS bukanlah merujuk kepada perjuangan Melayu-Islam, dalam artikel tersebut beliau mempamerkan keberanian dan kebijaksanaan masyarakat Cina dan India khususnya yang sanggup berubah arus kepada PKR, DAP dan DHPP apabila MCA, MIC dan Gerakan sudah tidak bermaya dan tidak lagi relevan untuk mewakili mereka. 

Namun, masyarakat Melayu masih lagi berada dalam takuk lama dan tidak sanggup untuk berubah dengan pelbagai alasan walaupun korupsi serta kepesongan yang berlaku dalam UMNO sudah jelas dan sentiasa didedahkan. Seandainya, golongan ini mahu memartabatkan Islam dan ingin bercakap soal perpaduan, maka PAS adalah tempatnya bukan lagi UMNO. 

Secara tidak langsung, beliau telah membidas dan menempelak masyarakat Melayu yang seolah-olah bergantung harap segala-galanya kepada UMNO. Sedangkan pimpinan-pimpinan veteran UMNO pun ada yang telah bersama-sama PAS apabila menyedari hakikat perjuangan UMNO yang semakin dilihat tidak seperti asal ditubuhkan lagi.

Bahkan masih ramai golongan ilmuan, alim dan NGO Islam yang masih pro-UMNO. Mengapakah begitu takut untuk berubah? Atau menjaga periuk nasi? Atau sememangnya masih tidak mampu untuk berfikir demi kemaslahatan umum? Sebab itulah, apabila ramai Cina dan India telah berpaling tadah daripada kerajaan BN sekarang, itu adalah tindakan bijak, persoalannya di mana masyarakat Melayu. Sayangkan Malaysia atau sayangkan UMNO? 

Jadi, adalah tidak adil apabila tajuk artikel ini disalah ertikan sebagai 'PAS memperjuangkan Melayu demi Islam' kerana itu bukanlah slogan atau pun pembawaan PAS selama ini. PAS telah jelas pendiriannya bahawa Islam adalah untuk semua dan inilah ajaran Rasulullah S.A.W apabila baginda telah membuat reformasi dalam masyarakat di Madinah ketika itu dengan kesamarataan, 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi'. 

Tiada perkauman dan kebangsaan dalam perjuangan memartabatkan Islam apatah lagi dalam merealisasikan kewujudan sebuah negara yang adil dan berkebajikan kerana seluruh rakyat akan bernaung di bawah satu pemerintahan.

0 comments for this post