Hormati Dunia Mahasiswa

By Hafizuddin An-Nuri on 8/28/2012 05:20:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Beberapa hari lepas, dunia kampus digemparkan dengan isu penubuhan Kelab Penyokong UMNO di setiap IPTA yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Sebelum itu juga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memulakannya dengan melacarkan Kelab Mahasiswa Keadilan yang sama konsepnya iaitu sebagai cawangan parti masing-masing di kampus-kampus Malaysia. Ini bukanlah perkara baru dalam dunia mahasiswa, lihat sahaja kelab-kelab UMNO yang ditubuhkan untuk mahasiswa di kebanyakan negara luar.

Sampai bilakah parti-parti politik ini mahu memancing undi mahasiswa dengan strategi-strategi yang lupus dek zaman ini? Sewajarnya, berdepan dengan generasi facebook, twitter dan teknologi moden ini pastinya satu metode dan pendekatan yang lebih memberi nilai kepada mahasiswa hari ini. Parti-parti politik mestilah memahami kehendak dan mengetahui keadaan semasa mahasiswa dengan membuat kajian-kajian secara imiah, bukan bertindak secara 'syok sendiri'.

Mahasiswa ada dunia sendiri, ada fikiran tersendiri, dan yang penting ada pilihan masing-masing untuk menentukan siapa yang terbaik bukan berdasarkan batang tubuh seseorang pemimpin dalam parti semata-mata bahkan tindakan, kenyataan dan tawaran-tawaran yang dibuat kepada masyarakat.

Mungkin ada pihak menyambut baik kewujudan kelab-kelab tersebut, ada juga yang membangkang. Penubuhan kelab ini ada baik dan buruknya, inilah yang saya katakan sebagai penilaian mahasiswa. Apa yang penting, parti-parti politik mesti menghormati dunia mahasiswa dan gaya mahasiswa berfikir. Jika mahu memancing ikan gunalah cacing sebagai umpan, jika mahu memburu harimau cacing bukan lagi menjadi umpan.

Mahasiswa asasnya 3 kriteria utama yang membolehkan institusi mahasiswa ini bergerak lebih terkehadapan iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme.

1.Idealisme yang diterjemahkan kepada daya fikir atau kekuatan mental yang menjadi titik mula kepada seorang pemimpin yang berjaya, mahasiswa mesti terdidik atas landasan pemikiran tersendiri dengan kombinasi kepercayaan dan pendirian yang tegas, jelas dan berlandaskan kecintaan kepada nilai murni dan pada masa yang sama kebencian kepada perkara yang negatif.

2.Idealisme hanyalah berkonsep teori dan masih belum terbukti kecuali dengan adanya aktivisme dalam diri seorang pimpinan mahasiswa, kesanggupan berkorban dan kesungguhan yang jitu demi merealisasikan idea dan fikiran yang tercetus

3.Seorang mahasiswa tidak layak digelar mahaiswa sehingga budaya keilmuan dihidupkan di dalam dirinya melalui pembacaan, diskusi, debat, pendengaran atau apa sahaja yang mampu melahirkan sifat intelektual di dalam diri seorang mahasiswa

Mahasiswa dalam kancah politik tidak dapat dipisahkan dengan tema 'mahasiswa agen perubahan'. Tidak mengira siapa kerajaan dan siapa pembangkang, mahasiswa hanya mahu mencetuskan perubahan. Dan perubahan tersebut pastinya perubahan daripada tidak baik kepada baik dan daripada yang baik kepada lebih baik. Setiap kerajaan tidak pernah sempurna, kerana itu mahasiswa bertindak sebagai kelompok check and balance.

Inilah realiti mahasiswa yang parti-parti politik samada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) mesti hadapi. Hormati dunia mahasiswa dengan tawaran-tawaran yang lebih merakyat dan berfaedah, bukan helah politik yang hanya akhirnya menjadi gula-gula kepada rakyat.

0 comments for this post