Perutusan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) 2011/2012

By Hafizuddin An-Nuri on 11/30/2011 03:02:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum wa rahmatullahi wabarakatuh

Sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH SWT sekalian.
Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kita panjatkan kehadrat Allah, selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W ,seluruh keluarga baginda, para tabi’en, sekalian ulamak as-solihin dan para pejuang, dan mata rantai-mata rantai perjuangan ini.

Muqaddimah

Saya dahulukan dengan setinggi-tinggi ucapan Tahniah kepada seluruh saff kepimpinan GAMIS yang lepas di bawah pimpinan Ust Ahmad Syazwan Mohd Hasan atas usaha dan komitmen mereka dalam membawa dan merencanakan GAMIS sehingga berada pada mercu tanda yang dapat kita lihat hari ini. Semoga segala usaha dan amanah yang telah dilaksanakan oleh mereka mendapat nilaian sebaiknya di sisi Allah SWT.

Sebelum saya meneruskan lagi kalam ini, suka untuk saya mengajak seluruh mahasiswa sama-sama bermuhasabah. Selaku insan yang acap kali mengaku diri sebagai tenaga kepada gerakan Islam dan mahasiswa Islam khususnya, ayuh sama-sama kita bersatu demi melihat natijah yang kita semua impikan tercapai dan semoga semangat perjuangan kita ini tidak akan pernah tergelincir daripada landasan perjuangan yang asal.

Dalam kemelut dan keadaan yang melanda kebanyakan gerakan anak muda masa kini, telah menjadi keperluan dan keutamaan untuk kita menggembleng tenaga bagi memperkasakan semula gerakan mahasiswa Islam hari ini. Menjadi tuntutan kita bersama untuk memperkasakan dan mengeratkan lagi hubungan antara ahli-ahli GAMIS, dalam membawa impian dan matlamat kita bersama. Memetik dari kata-kata Anes Baswedan, Rektor Universiti Paramida telah menyebut :

“….Kalau kita berbicara tentang anak muda, kita tidak boleh menempatkan diri mereka pada lapangan lokal saja, tetapi harus dilihat pada lapangan global, sekurang-kurangnya benua Asia. Kerana anak muda dilahirkan tidak hanya untuk negeri, tapi juga untuk dunia…”

Atas dasar kehebatan anak muda inilah, Allah SWT telah mempertemukan kita melalui wadah GAMIS demi mewujudkan satu ketumbukan mahasiswa yang jitu untuk mencapai satu cita-cita yang murni iaitu melihat Islam kembali tertegak bukan hanya di tanah tumpahnya darah kita sahaja.

Kepimpinan baru bukanlah bermaksud yang terbaik dalam kalangan kita, bukanlah yang paling hebat dalam kalangan kita, namun merekalah yang bertindak sebagai barisan utama yang akan menjayakan misi dan visi gerakan ini sedaya upaya mungkin dan meletakkan “nasrullah” itu sebagai senjata utuh dalam perjuangan ini.

Kerana itu, saya meminjam kata-kata hikmat seorang tokoh Islam yang ulung dalam memimpin, Khulafa’ Ar-Rasyidin yang pertama, Saidina Abu Bakar As-siddiq:

“ Wahai semua yang hadir, saya dilantik menjadi pemimpin kamu,pada hal saya bukannya orang yang terbaik dalam kalangan kamu. Sekiranya saya seorang yang berlaku baik,bantulah saya, sekiranya saya berlaku buruk, perbetulkan saya. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah di sisi kamu menjadi kuat di sisiku sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat pula menjadi lemah di sisiku sehingga aku bertindak dengan cara yang benar (adil). InsyaAllah, tiada seorang meninggalkan kewajipan berjihad (menegakkan Islam) maka sesungguhnya tidak ada kaum yang meninggalkan kewajipan jihad itu melainkan Allah menghukum mereka menjadi hina. Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan RasulNya,jika aku menderhakai Allah dan RasulNya,maka kamu tidak wajib mentaatiku..”

Justeru, bagi menjayakan misi besar GAMIS pada sesi kali ini, dengan tema “Memperkukuh kekuatan, Memimpin Gerakan”, saya ingin merumuskannya kepada 7 idea utama iaitu:

1. Kemurnian Akhlak

Dalam Era permulaan Islam kembali memenuhi segenap ruang Kota Mekah yang telah kian lama dipadamkan cahaya kebenaran itu, Allah datangkan seorang insan yang juga seperti manusia lainnya, iaitu Nabi Muhammad SAW. Dalam usaha bersungguh-sungguh baginda Rasulullah SAW mendokong tinggi risalah yang menyeru semua umat manusia pada ketika itu untuk beralih arah menyembah tuhan yang maha Esa iaitu Allah SWT, baginda bukan sahaja dimaki, ditabur segala bentuk fitnah, dan apa sahaja sifat keji yang tidak dibuat kepada Rasulullah SAW dalam memastikan ajaran yang dituduh sesat itu tidak dinyalakan. Namun semua itu sama sekali tidak melunturkan walau sedikitpun semangat untuk tetap teguh meneruskan agenda perjuangan itu. Kita biasa mendengar Sepotong Hadis yang berbunyi:

ٳنما بعثت لأتمما مكارم الأخلاق
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan Akhlak..”

Dengan didokongi oleh satu kunci utama permulaan dakwah baginda Rasulullah SAW iaitu ketinggian akhlak ianya mampu menambat walau sekeras manapun hati manusia yang ingkar akan seruan Islam pada ketika itu. Bagaimana seorang wanita tua yang mencaci-maki semahunya insan bernama Muhammad SAW di dalam perjalanan pulang ke rumahnya, akhirnya mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan baginda apabila mengetahui pemuda yang membantunya itu adalah Nabi Muhammad SAW, manusia yang cukup dibencinya sebelum itu. Lihat sahaja bagaimana seorang yahudi yang mempunyai kaitan hutang dengan baginda Rasulullah SAW juga turut mengakui KeEsaan Allah SWT setelah tertawan akan sifat Sabar yang dilemparkan oleh Baginda. Begitulah sehingga pernah kediaman Rasulullah SAW seolah-olah menjadi “Bank Negara” kerana kepercayaan masyarakat Mekah kepada baginda sehingga digelar “Al-Amin”.

Persoalannya, apakah ketinggian akhlak itu masih ada lagi dalam diri kita yang mengaku sebagai mata rantai penyambung perjuangan Rasulullah SAW ? Persoalan akhlak, adab, lemah-lembut serta apa sahaja sifat baik yang membezakan kita dengan golongan–golongan lain yang turut mendokong kebenaran ini, semakin lama dilihat kian diabaikan. Kita dilihat tidak lagi mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada para Mad’u kita diluar sana. Caci- maki, menghina, menipu, termasuklah menabur fitnah-fitnah yang bukan sahaja kepada musuh, tetapi juga turut dihamburkan kepada sesama ahli gerakan dan dalam masa yang sama turut melaungkan slogan-slogan kebenaran, hak asasi, kebebasan apatah lagi berbicara soal Islam sudah menjadi “trend” segelintir mahasiswa masa kini. Apakah dengan watak sebegini dapat kita katakan menuruti akhlak yang didokong oleh Rasulullah SAW? Kalau akhlak sudah dibenci, jauh sekali slogan kebenaran yang kita dambakan dapat diterima walau ia sebesar gunung sekalipun.

Untuk itu, GAMIS untuk sesi kali ini meletakkan kemurnian Akhlak Rasulullah SAW sebagai watak utama dalam usaha untuk terus memacu gerakan mahasiswa ini dengan kembali menyuburkan elemen-elemen Tarbiyah yang tulen di segenap peringkat. Usaha ini adalah perlu disambut secara menyeluruh oleh semua peringkat GAMIS di seluruh kampus. GAMIS akan berperanan secara khusus dalam merangka serta memastikan pembentukan dan pemerkasaan kearah melahirkan aktivis mahasiswa yang menjadi tauladan yang baik kepada masyarakat dapat dilunaskan.

2. Keseimbangan (At-Tawazun) diantara Tarbiyah, Dakwah dan Siasah

Seperti yang dimaklumi, GAMIS mendokong wawasan tinggi untuk menegakkan dalam menggerakkan agenda penting sesuai dengan kesyumulan Islam dan gerakannya, iaitu Tarbiyah, Dakwah dan Siasah. Ketiga-tiga unsur ini tidak dapat dicerakinkan dalam gerakan mahasiswa Islam kerana setiap daripada unsur tersebut mewakili prinsip dan aspek penting Islam.

Namun, apa yang ingin ditekankan di sini berkenaan keseimbangan dalam membawa agenda Tarbiyah, Dakwah dan juga Siasah dalam mendepani isu serta menyelesaikan permasalahan ummat. Islam sangat menitikberatkan soal keseimbangan dalam kehidupan samada secara individu ataupun bermasyarakat, soal pemikiran dan keilmuan, akal dan roh, dan paling penting keseimbangan antara dunia dan akhirat. Melalui konsep ini jugalah ia perlu dijelmakan dalam gerak kerja Tarbiyah, Dakwah dan Siasah khususnya di peringkat kampus dan umumnya di peringkat masyarakat.

Tarbiyah penting untuk menyediakan identiti petugas islam yang bersedia berkhidmat dan mencurahkan harta dan nyawa untuk perjuangan Islam, serta mempunyai fikrah dan akhlak yang mencerminkan keindahan Islam yang sebenar. Dakwah berperanan menyebarkan rahmat Islam kepada seluruh manusia tanpa melihat kepada warna kulit dan agama anutan. Seruan kepada Islam yang syumul perlu disebarkan kepada bukan islam (non-muslim), dan amar ma’ruf nahi munkar perlu digerakkan kepada umat Islam sekarang sesuai dengan suruhan Allah di dalam Al-Quran sesuai dengan sabda baginda SAW: “Ad-din Nashihah.” Siasah pula mengambil kira soal politik sama ada di kampus mahupun di pentas negara. Siasah yang mantap akan memandu perjalanan tarbiyah dan dakwah yang lebih efektif dan laju. Namun perlu dijelaskan bahawa dimensi siasah perlu difahami dengan lebih luas, bukan hanya tertumpu kepada Politik Kuasa (Political Power) bahkan perlu diambil perhatian juga kepada Politik Nilai (Political Value/ K-Politic).

Setelah kita memahami tanggungjawab menjalankan agenda Tarbiyah, Dakwah dan Siasah, satu pengurusan gerak kerja seimbang perlu digerakkan daripada peringkat kepimpinan sehingga kepada ahli gerakan secara individu dan kumpulan. Pendekatan berfikir dan berperancangan rapi perlu direncanakan. Kita perlu menjauhi perjuangan dan pemikiran ala khutabah, golongan yang hanya pandai bercakap dengan gagasan yang begitu ideal tetapi tidak mampu menterjemahkan cita-cita tersebut kepada suatu program tindakan yang bersifat praktikal untuk diamalkan.

Maka, melalui Majlis-Majlis di dalam organisasi GAMIS ini, agenda Tarbiyah, Dakwah dan Siasah direncanakan dengan seimbang serta menfokuskan kepada elemen keilmuan dan kepimpinan, kerana dua elemen ini menjadi essential value dalam mewatakkan jatidiri mahasiswa Islam yang sebenar. Kepimpinan tanpa ilmu tempang, dan ilmu dan tanpa kepimpinan adalah sia-sia. Sinergi antara elemen tersebut beserta kesepaduan dan keseimbangan agenda Tarbiyah, Dakwah dan Siasah diharap dapat mencapai dan merealisasikan matlamat tinggi Islam.

3. Memperkasa Media Penerangan dan Perhubungan

Gagasan ini bertujuan untuk membina dan memperkasakan engagement dengan gerakan mahasiswa Islam di peringkat nasional dan antarabangsa. Gagasan ini juga berperanan mengembalikan keyakinan kepada GAMIS melalui penjelasan dasar, halatuju dan berstrategi dalam mendominasi gerakan mahasiswa pada hari ini.

Usaha ini bagi memastikan GAMIS tidak hanya menjadi jaguh kampung semata-mata, bahkan kita ingin mebuktikan bahawa GAMIS merupakan gerakan mahasiswa yang bersifat global. Melalui wasilah inilah, kita mampu melebar luaskan idea kita dengan rakan-rakan seperjuangan lain yang berada diluar negara. Kita juga sangat memerlukan tenaga-tenaga korporat bagi menjana kekuatan dalaman dan luaran GAMIS. Justeru, ikatan dan jaringan yang baik mesti dibina segera dengan syarikat-syarikat,pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan korporat agar GAMIS boleh membina tradisi profesional secara terlatih.

Selain itu, gagasan ini bertujuan untuk menjalin hubungkan ukhwah GAMIS pusat dan kampus secara lebih erat dan bersepadu. Ini kerana, pihak GAMIS sedang berusaha sedaya mampu mengelak daripada berlakunya keciciran maklumat antara GAMIS pusat dengan dengan teman-teman di peringkat negeri atau zon mahupun kampus. Pemasaran GAMIS juga akan berjalan diseluruh Malaysia melalui ‘road tour/campus tour’

4. Kesatuan Gerakan Mahasiswa
Di era kepimpinan baru GAMIS amatlah penting bagi kepimpinan GAMIS untuk menyelaraskan pertarbiyahan kampus seterusnya bergerak bersama-sama melaksanakan misi dakwah Rasulullah SAW dengan satu batang tubuh di bawah payung GAMIS. Ini merupakan satu langkah awal dalam merealisasikan hadis Rasulullah SAW ke arah mewujudkan khilafah Islam dan Islam akan menakluki dunia dengan penyatuan dari semua umat Islam seluruh dunia.

Apa yang kita lihat hari ini pun sangat menyedihkan apabila negara-negara Islam hanya berjuang secara bersendirian mempertahankan negara mereka daripada ancaman musuh Allah SWT. Hanya segelintir sahaja umat Islam yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan turun di jalanan tanda protes aman tetapi masih takut untuk membantu negara-negara Islam yang ditindas. Sedangkan umat Islam merupakan umat majoriti di dunia. Firman Allah SWT;

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.." (Surah Ali-Imran-103)

GAMIS sebagai entiti NGO yang berdaftar dalam pentas mahasiswa sedaya upaya akan mengukuhkan kesatuan dengan prinsip kebenaran dan keadilan, hak asasi manusia dan menentang sebarang bentuk kezaliman dalam ruang lingkup syariat Islam. Maka perlulah batang tubuh gerakan mahasiswa Islam itu mendominasi gerakan-gerakan lain yang juga memperjuangkan kebenaran.

4. Memasyarakatkan GAMIS

Mengambil ibrah sirah Rasulullah SAW bagaimana baginda mendekati ahli gusti bernama Rukanah dan Abu Aswad Al-Jumahy yang masyhur dengan keistimewaannya sendiri. Baginda mencabar untuk bergusti dengan jaguh ini sebagai tiket dakwah mendekati mad’u atau masyarakat khususnya bagi mendidik mereka memeluk Islam. Aswad yang tidak menepati janji itu bukan sahaja kalah tetapi kemudiannya berdusta telah menjatuhkan maruahnya sendiri dan Nabi SAW berjaya meningkatkan dakwahnya.
Mendepani realiti kajian laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat.

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam.

Atas dasar kesedaran akan hakikat kesyumulan Islam dan bahaya gejala sosial ini, maka perlunya intipati amal-maaruf nahi mungkar ditekankan fokus bagi memasyarakatkan GAMIS secara menyeluruh apatah lagi bagi mengubati barah sosial yang semakin membengkak. Pelbagai permasalahan akidah dan sosial yang meruncing memerlukan GAMIS :

i. Mempergiatkan usaha turun padang mendepani masyarakat dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi gejala sosial.
ii. Memasyarakatkan gamis sebagai ikon mahasiswa/i Islam dalam mempraktikkan dakwah secara membumi di dalam hati masyarakat.
iii. Mendekati semua corak pemikiran tanpa menanggalkan prinsip sedia ada.

5. Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA)

Buat mahasiswi srikandi agama,

Peranan wanita dalam massa tidak harus dipandang enteng. Jika dahulunya persepsi masyarakat menganggap gerakan ini hanya sebagai ‘gerakan disebalik tabir’, bersifat destruktif dan lemah, namun hari ini ungkapan tersebut wajar diperbetulkan.

Saban tahun, lapangan gerakan mahasiswa Islam tidak hanya dicorakkan oleh golongan mahasiswa malah turut sama didokong oleh mahasiswi. Srikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) mewakili seluruh suara mahasiswi Islam kini meneruskan lagi langkah di medan gerakan dengan meletakkan beberapa matlamat utama yang ingin disasarkan sesi ini.

Pemerkasaan peranan mahasiswi dalam gerakan.

Mahasiswi sebagai golongan majoriti dan membawa pungutan suara yang besar dalam menerajui gerakan tidak boleh dikesampingkan kehadirannya. Kalau dahulu, di medan perjuangan Rasulullah SAW kita mendengar beberapa tokoh srikandi penggerak perjuangan seperti Khadijah, Aisyah, Fatimah, Khaulah Al-Azwar, Nusaibah dan sebagainya. Di era kebangkitan gerakan Islam juga meniti di bibir kita beberapa nama srikandi gerakan yang tegar menyatakan kebenaran seperti Zainab Al-Ghazali, Hamidah Qutb dan sebagainya.

Lantaran itu, SIGMA mengambil spirit dan semangat tokoh-tokoh srikandi gerakan untukmemperkasakan kembali peranan mahasiswi dengan menonjolkan kepimpinan mahasiswi yang mampu menjadi idola dan ikutan bagi mahasiswi-mahasiswi di kampus dan kepada wanita muda umumnya.

Kesatuan yang membina ketumbukan gerakan mahasiswi

Selain itu, SIGMA juga mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan lagi kesatuan antara mahasiswi-mahasiswi dari semua kampus seluruh negara dengan harapan dengan utuhnya perpaduan yang terbina ini akan mampu untuk melahirkan lebih banyak ikon-ikon untuk dicontohi dan lebih banyak idea yang akan dapat diinventasi dalam melahirkan lebih ramai muslimat muda yang berkredibiliti tinggi.

Namun sebelum cita-cita besar itu mampu kita dokong, pastilah akarnya harus kita perkukuh. Dalam menggerakkan sesuatu gerakan, perpaduan dan juga kesatuan merupakan antara aspek penting yang harus kita tekankan agar kelangsungan gerakkerja dapat berjalan lancar. Tanpa kesatuan, maka amat mudahlah untuk ‘tiang-tiang’ kefahaman yang dibina sebelum ini roboh dimamah ego.

Memperluaskan medium dakwah kepada wanita dan masyarakat

SIGMA kali ini juga menetapkan pelbagai pendekatan dakwah khusus kepada golongan wanita di peringkat pelbagai lapisan masyarakat. Hasrat besar untuk memastikan SIGMA mampu membina jiwa dan minda sedar masyarakat terhadap peri pentingnya kehidupan sosial yang harmoni juga bakal direalisasikan dengan pendekatan dan penyampaian dakwah yang lebih membumi.

Mendepani isu dengan idea pandang mahasiswi

SIGMA adalah antara medium yang paling efisien untuk melahirkan mahasiswi yang berdikari, berani dan berkepimpinan. Pada sesi kali ini, SIGMA berusaha sedaya upaya memastikan partisipasi entiti mahasiswi dalam apa jua bidang. Bukan sahaja dalam aspek wanita dan kekeluargaan, malah juga berpartisipasi dalam aspek pendidikan, ekonomi, politik, hiburan, sosial dan lain-lain.

KESIMPULAN

Teman-teman seperjuangan,
Bagi memastikan keseluruhan idea dan perancangan yang akan disusun ini berpijak di bumi nyata atau dapat direalisasikan serta dirasai bersama, justeru kita memandang serius dengan menekankan aspek penerangan melalui Jabatan Penerangan GAMIS. Tentunya secara tidak langsung akan dapat mengelakkan daripada berlaku permasalahan ketidakcapaian maklumat kearah melebar luas maklumat ke segenap pelusuk Negara.

Bermula dari hari ini, masa ini dan detik ini, rasanya telah sampai masa untuk kita meninjau semula tarbiyah, dakwah, siasah dan gerakan kita serta menilainya secara objektif dan kalkulatif, apakah ianya sudah memenuhi objektif dan membina manpower dengan kualiti dan kuantiti pada masa sekarang dan masa yang mendatang. Penyesuaian – penyesuaian baru bagi menampung keperluan, haruslah dilakukan bagi menghasilkan satu skema tarbiyah yang kemas dan dilaksanakan secara bersama.

Kita amat menyedari bahawa kegagalan menyediakan plan tindakan dan perancangan yang tidak rapi serta kekurangan tenaga baru akan membawa akibat yang berupa krisis harapan atau crisis expectation. Keadaan ini mencacatkan gerakan kita dalam memenuhi harapan mahasiswa dan masyarakat. Hal ini dan akan di ikuti dengan krisis kepercayaan yakni hilang keyakinan terhadap gerakan yang kita bawa hari ini. Malah kesan yang akan kita rasai selepas sekian lama bersama gerakan ini ialah lemah untuk terus menyebarkan Islam.

Suatu kata-kata perangsang yang boleh dijadikan kawan kita berfikir berbunyi:
‘You can’t win unless you know how to lose’- Kareem Abdul Jabbar

Iaitu kita tidak akan berjaya kecuali jika kita tahu bagaimana kita akan kalah. Maksudnya di sini ialah tanpa usaha sudah pasti kita tidak akan berjaya kerana pokok kejayaan adalah usaha yang berterusan. Usaha juga mestilah dilangsungkan oleh semua tenaga penggerak dengan kita mengambil iktibar dari apa yang telah berlalu dan dijadikan pedoman berguna untuk kita. Setiap perancangan dan perencanaan mesti disahut dengan pelaksanaan yang komprehensif dan konstruktif agar matlamat ini dapat kita capai bersama.

“ Ayuh,wahai teman agamaku, mari kita bersama berganding bahu dan bersatu hati dalam meneruskan perjuangan murni ini demi mendaulatkan Islam tercinta. Kita baiki mana yang rosak . Kita kutip semula mana yang tercicir”!

“Memperkukuh Kekuatan, Memimpin Gerakan”

Saya akhiri ucapan dengan mengajak seluruh mahasiswa untuk bersama-sama denganGAMIS demi meletakkan Islam pada kedudukan yang sebenarnya.
Allahu Akbar…Allahu Akbar… Allahu Akbar

Akram Ikrami Bin Taib Azamuddin,
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia sesi 2011/2012

0 comments for this post