Assalamualaikum & salam ceria...
RAKYAT, MAHASISWA DAN ANAK MUDA PERLU TURUN
Gerakan menuntut kebebasan akademik (BEBAS) menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk sama-sama turun ke himpunan menuntut kebebasan akademik pada 17 Disember nanti di Dataran Merdeka.
Himpunan ini mempunyai Dua Objektif besar iaitu:
Pertama sebagai isyarat bagi seluruh rakyat Malaysia yang sudah lama muak dengan sikap pihak pemerintah yang membelenggu rakyatnya dengan pelbagai cengkaman demi kepentingan tertentu.
Kedua adalah bertujuan menyerahkan deklarasi tuntutan BEBAS kepada pihak kerajaan dan tidak terlepas sama kepada pihak pembangkang.
Kami tegaskan bahawa mahasiswa adalah penentu masa depan negara. Mahasiswa pencorak dunia ekonomi, sistem sosial, kancah politik, arena pendidikan dan lainnya dalam negara.
Bermula dengan penggantungan terhadap ahli akademik yang dikira mengeluarkan pandangan berbeza dengan kehendak pemerintah walaupun beliau berhujah atas kepakaran dalam bidang tersebut, sehari dua ini pula kedengaran lagi rekod-rekod buruk dan sikap angkuh pengurus tadbir universiti yang benar-benar menghalang hak sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan tanah air.
Sehingga sebilangan mahasiswa terpaksa ditahan dan disoal siasat seperti seorang penjenayah bahkan program yang diaturkan mahasiswa juga diganggu sehingga menimbulkan kekacauan dengan hanya beralasankan tidak mendapat kelususan pihak ketiga dan keempat.
Sekalung tahniah kami ucapkan buat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang turut bersimpati kepada kalangan mahasiswa yang terlibat dan beliau juga menyatakan kekecewaan terhadap sikap aparat universiti yang hanya pandai mengongkong mahasiswa dan bukannya membantu mereka ke arah keadaan yang lebih baik. Hal ini menunjukkan sedikit sebanyak sikap cakna beliau terhadap isu yang kian runcing dalam negara iaitu antara sikap pentadbir universiti dan kuasa autonomi mahasiswa.
Mahasiswa dicantas sebegitu rakus dalam membawa tuntutan tidak lain hanya menginginkan perubahan segera berlaku dalam tanah air yang belum pernah dijajah ini ibarat kata salah seorang ahli akademik yang tidak pula dikenakan apa-apa tindakan walaupun sejarah lampau telah terpampang jelas dan adanya laungan keramat “ Merdeka ” sehingga sekarang. Biarlah, ayuh mahasiswa kita turun bersolidariti melakukan perubahan!
Tuntutan kita masih sama seperti yang disebutkan sebelum ini iaitu enam perkara ;
1) Mansuhkan AUKU, AKTA 174 dan AKTA 555
2) Bebaskan ilmuan berakademik
3) Bebaskan mahasiswa bersuara
4) Bebaskan mahasiswa mengurus pilihanraya kampus
5) Bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan aktiviti
6) Bebaskan mahasiswa berpartisipasi dalam politik
Muhammad Safwan Anang@Talib
Pengerusi,
Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)
Timb. Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
0 comments for this post