Penuhi Jiwa Menggapai Kemenangan

By Hafizuddin An-Nuri on 11/07/2011 10:45:00 AM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...


Perjuangan meletakkan kalimah Allah sebagai kalimah agung adalah satu perjuangan yang menuntut redha Allah. Perjuangan ini tidak pernah senang dan mudah. Tiada masa untuk berehat kecuali di alam kubur, tiada masa untuk bersenang kecuali di akhirat sana.

Darah muda kadang kala membuak. Setiap semangat anak muda berjuang tidak kira apa landasan dan aliran sekali pun, pasti berapi dan bertenaga. Lihat sajalah demonstrasi jalanan, yang hadir paling ramai sudah pasti anak muda yang dahagakan pembaik pulih dengan jiwa berkobar-kobar. Jangan dipandang remeh anak muda.

Namun amatlah rugi andai perjuangan hanyalah berkitar perjuangan demokrasi atau pun sosialis. Jangan hanya berjuang kerana mahukan kebebasan yang mutlak kerana sudah pasti Allah telah menyediakan peraturan dan had sempadan di dunia ini. Kita hanya berjuang menuntut kebenaran dan menghapus kezaliman. Kerana hak kebebasan itu milik sejagat.

Setiap langkah juang ini bukan sekadar 'mencurahkan air dari bekas hingga habis' tetapi perlu senantiasa ada penambahan isinya. Pengisian inilah yang akan membantu pejuang Islam untuk terus thabat dan istiqamah sepanjang berjuang. Tarbiyah diri wajib dijadikan teras kepada diri.

Telah berkata Tuan Guru Muda, Al-Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz,

"Dakwah dan jihad di jalan Allah penuh dengan onak dan duri. Ramai yang rebah dan gugur semata-mata kerana gagal melalui dan melawan ujian dan rapuhnya diri dengan sifat sabar. Justeru medan dakwah memerlukan tenaga para amilin yang mesti memasuki madrasah tarbiyah dengan sempurna demi mempersiapkan amalan diri dengan sifat sabar yang terlalu didambakannya"

Jangan kosongkan bekas air. Isilah air ke dalam bekas dari semasa ke semasa. Supaya ia tidak dibuang selepas digunakan. Jangan kita abaikan tarbiyah kepada diri pejuang ini, sangat takut andai terlalu awal untuk beruzlah. Sedangkan perjuangan ini hanya berakhir dengan dua kemungkinan iaitu mati di jalan juang atau kemenangan.

Ayuh anak muda Islam, pasakkan aqidah pertingkat ibadah perbanyak ilmu di dada. Semoga bekalan ini dibawa berterusan ibarat air sungai yang mengalir tanpa henti. Ngauman singa sudah berbunyi, hanya menanti semboyan ditiup mencapai kemenangan dalam medan peperangan.



0 comments for this post