Mahasiswa Bertanding PRU? Mimpi Atau Realiti

By Hafizuddin An-Nuri on 12/15/2012 12:40:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

"Kalau rasa yakin boleh menang (dalam pilihan raya), pelajar boleh menjadi calon mana-mana parti. Ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada mahasiswa"

-Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Sepanjang saya hidup sebagai mahasiswa, sehingga saat ini saya masih tidak bersetuju dan tidak pernah bersetuju sama sekali dengan penyertaan mahasiswa sebagai CALON BERTANDING dalam pilianraya umum, atas faktor;

1. Ini bukan pengiktirafan, ini adalah ke'bodoh'an - seolah-olah kerajaan mahu menundukkan mahasiswa aliran pro-mahasiswa dengan menawarkan kehendak kumpulan mahasiswa ini sebelum-sebelum ini, samada mahu mahasiswa menyokong BN ataupun menjadi YB BN (hehehe xda orang ke?). Pengiktirafan yang perlu diberi oleh KPT adalah kebebasan dalam kampus dari segi politik kampus, akademik, urus tadbir mahasiswa tanpa campur tangan dan sebagainya.
(Nak iktiraf konon, kami sangat hargai andai UMNO tidak pegang 'top management' universiti)

2. Kemampuan seorang mahasiswa - mungkin ramai tidak bersetuju dengan saya tetapi memikirkan realiti pada hari ini, generasi yang semakin lambat kematangannya atas faktor keluarga, pemikiran, tindakan, pelajaran dan sebagainya tinggi risikonya untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran sesebuah pentadbiran negara sebagai kerajaan mahupun pembangkang.
(Nak urus diri sendiri pun nampak masih lagi terabur, lihat saja bilik tidur mahasiswa yang kononnya AKTIVIS)

3. Pengalaman dan latihan - Mengurus tadbir negara bukan satu medan latihan, tetapi ia adalah satu medan kerja yang realiti. Cukuplah dengan adanya medan pilihanraya kampus (PRK) sebagai wasilah pengalaman untuk mahasiswa keluar pada satu hari nanti. Keterlibatan mahasiswa denga kerja urus tadbir negara secara langsung dibimbangi akan melambatkan lagi melembapkan kerja-kerja sebagai 'Yang Berhormat', itupun jika menang dalam PRU.
(Tadbir kampus pun kadang-kadang macam 'kapal pecah', inikan negara)

4. Andai zaman silam Islam melahirkan ramai pemimpin-pemimpin anak muda, ia bermula dengan seawal-awal proses, dalam aspek pendidikan khususnya. Berpijaklah di alam realiti, mahasiswa adalah golongan pemikir. Berfikirlah dengan akal yang waras dan rasional bukan dengan nafsu dan emosional.

>>Realitinya hari ini,

MAHASISWA PRO-BN hanya mampu mengikut seperti lembu dicucuk hidung,
MAHASISWA PRO-PR pula hanya dilatih dengan siri-siri demonstrasi seperti cacing kepanasan.

MPP kampus? Tengok-tengok dan nilai-nilailah sendiri.

Banyak lagi faktor lain, cukuplah ini yang utama. Mahasiswa agen perubahan, jadilah contoh dan teladan, cerminan akhlak yang baik, masyarakat sedang melihat dan menilai.

Bukan tiada pandangan jauh, bukan pula jiwa besar itu tiada dalam diri ini, namun kencah politik itu memerlukan insan-insan yang layak dan amanah. Amanah yang dipegang, bukan yang dicakap-cakapkan.

Pilihanraya Kampus UIA Tercemar Lagi

By Hafizuddin An-Nuri on 9/19/2012 06:12:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) digemparkan lagi dengan tindakan yang mencurigakan daripada pihak pentadbiran apabila sesi public speaking yang menjadi syarat kepada calon yang bertanding dalam pemilihan MPP (SRC) dibuka sebanyak 2 kali. 

Kes ini adalah dalam sejarah UIA apabila ianya pertama kali dibuat sedemikian. Sesi public speaking kali pertama telah diadakan hari Jumaat yang lepas pada tarikh 14 September 2012, manakala sesi kedua pula telah diadakan pada hari Selasa, 18 September iaitu sehari sebelum Hari Penamaan calon. 

Menurut Dr Akmal Khuzairy, Director of Student Development Division (STADD) yang memberi respon di laman Facebook berekenaan isu ini, sesi kedua dibuka adalah disebabkan pihak mereka mendapat permintaan daripada wakil mahasiswa international dan UIA Kuantan. Apa yang mencurigakan adalah sepanjang sesi kedua ini berlangsung, hanya seorang wakil mahasiswa international di UIA Gombak yang hadir untuk berucap dan tiada seorang pun mahasiswa yang terlibat di UIA Kuantan. 

Pilihan raya kampus (PRK) di UIA yang bakal berlangsung pada 25 September ini dianggarkan antara pemilihan paling sengit yang pernah berlaku kerana mendapat campur tangan banyak pihak. 

Dialog Politik Kampus Diganggu 


Dalam pada masa yang sama, satu dialog bersempena PRK, Dialog Politik Kampus yang dianjurkan oleh Siswa Intelek telah dihentikan setelah 2 pusingan berlangsung. 

Dialog tersebut yang menampilkan 5 gerakan mahasiswa di UIA iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) UIAM, Pro-Mahasiswa, Pro-Ummah, Jom Ubah UIAM (JUU) dan Sahabatul Mukmin telah dihadiri lebih kurang 100 mahasiswa untuk memberi sokongan kepada diskusi ilmu tersebut. 

Malangnya, dialog yang hanya dihadiri oleh 3 wakil kecuali Jom Ubah UIAM (JUU) dan Pro-Ummah telah diarahkan oleh pihak keselamatan yang hadir untuk menghentikan program serta-merta atas alasan tidak mempunyai permit. 

Menurut Eikhwan Ali yang juga bertindak sebagai moderator sepanjang dialog berlangsung, “program kita terpaksa dihentikan kerana tidak mempunyai permit, sedangkan program yang sudah lulus permit pun dibatalkan juga oleh UIA”.

 

Mahasiswa Kecewa Tindakan UIA Batalkan Tempat K-Fiqh

By Hafizuddin An-Nuri on 9/17/2012 06:52:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Terkejut dengan pembatalan tempat program Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa (K-Fiqh) yang bertempat di Main Auditorium, UIAM, mahasiswa berasa sangat kecewa dengan pihak pentadbiran UIA. Program yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini telah dibatalkan tempatnya dalam tempoh 36 jam oleh UIA.

Setelah kecewa dengan UIA, pihak penganjur, K-Fiqh Sdn Bhd dengan kerjasama Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid) telah menempah tempat baru dalam masa sehari sebelum program yang bertempat di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mampu memuatkan sehingga 1400 peserta.

Kami di peringkat mahasiswa membantah sekeras-kerasnya tindakan UIA yang bertindak secara tidak professional. Sebelum ini, WUFI pernah menganjurkan himpunan Tolak 1.0 kerana membantah campur tangan politik daripada luar yang menyebabkan 4 isu besar iaitu tekanan UIA terhadap Prof Aziz Bari, penukaran tempat ceramah Ustaz Azhar Idrus, pembatalan program bersama Dato Saifudin Abdullah dan pembatalan keterlibatan Presiden MPP UIA dalam program di TV9.

Selain itu, masyarakat juga kesal dengan Rektor UIA, yang telah mengeluarkan arahan pembatalan tersebut yang menggunakan alasan bercanggah dengan semangat AUKU walhal UIA tidak tertakluk di bawah AUKU.

Kami mendapat maklumat dan percaya bahawa isu pembatalan tempat program K-Fiqh ini mendapat campur tangan politik luar dan ‘tangan ghaib’ yang cuba mencemari kebudayaan ilmu di Taman Ilmu dan Budi.

Pihak mahasiswa juga sangat bimbang bahawa kemungkinan untuk berlakunya manipulasi sistem E-Undi dalam pilihanraya kampus (PRK) yang akan berlaku pada 25 September adalah sangan tinggi. Mengikut kajian terkini, PRK kali ini adalah paling sengit kerana ia menjadi cerminan kepada PRU-13 dan telah mendapat campur tangan khusus daripada pihak Perdana Menteri.

Justeru, kami menegaskan kepada seluruh pihak khususnya pentadbiran UIA supaya menjaga nama baik dan memelihara kesucian UIA sebagai Taman Ilmu dan Budi.

Saiful Mat Amin
Pengerusi WUFI UIAM

Sumber: WUFI UIAM

 

Fahami Dengan Adil Maksud 'Melayu Wajib Kuatkan PAS Dalam PR'

By Hafizuddin An-Nuri on 9/08/2012 08:49:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Pada fahaman saya yang dhoif ini, artikel 'Melayu Wajib Kuatkan PAS dalam PR' yang ditulis oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS bukanlah merujuk kepada perjuangan Melayu-Islam, dalam artikel tersebut beliau mempamerkan keberanian dan kebijaksanaan masyarakat Cina dan India khususnya yang sanggup berubah arus kepada PKR, DAP dan DHPP apabila MCA, MIC dan Gerakan sudah tidak bermaya dan tidak lagi relevan untuk mewakili mereka. 

Namun, masyarakat Melayu masih lagi berada dalam takuk lama dan tidak sanggup untuk berubah dengan pelbagai alasan walaupun korupsi serta kepesongan yang berlaku dalam UMNO sudah jelas dan sentiasa didedahkan. Seandainya, golongan ini mahu memartabatkan Islam dan ingin bercakap soal perpaduan, maka PAS adalah tempatnya bukan lagi UMNO. 

Secara tidak langsung, beliau telah membidas dan menempelak masyarakat Melayu yang seolah-olah bergantung harap segala-galanya kepada UMNO. Sedangkan pimpinan-pimpinan veteran UMNO pun ada yang telah bersama-sama PAS apabila menyedari hakikat perjuangan UMNO yang semakin dilihat tidak seperti asal ditubuhkan lagi.

Bahkan masih ramai golongan ilmuan, alim dan NGO Islam yang masih pro-UMNO. Mengapakah begitu takut untuk berubah? Atau menjaga periuk nasi? Atau sememangnya masih tidak mampu untuk berfikir demi kemaslahatan umum? Sebab itulah, apabila ramai Cina dan India telah berpaling tadah daripada kerajaan BN sekarang, itu adalah tindakan bijak, persoalannya di mana masyarakat Melayu. Sayangkan Malaysia atau sayangkan UMNO? 

Jadi, adalah tidak adil apabila tajuk artikel ini disalah ertikan sebagai 'PAS memperjuangkan Melayu demi Islam' kerana itu bukanlah slogan atau pun pembawaan PAS selama ini. PAS telah jelas pendiriannya bahawa Islam adalah untuk semua dan inilah ajaran Rasulullah S.A.W apabila baginda telah membuat reformasi dalam masyarakat di Madinah ketika itu dengan kesamarataan, 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi'. 

Tiada perkauman dan kebangsaan dalam perjuangan memartabatkan Islam apatah lagi dalam merealisasikan kewujudan sebuah negara yang adil dan berkebajikan kerana seluruh rakyat akan bernaung di bawah satu pemerintahan.

Bangsaku Lemah - Pendeta Za'ba

By Hafizuddin An-Nuri on 9/01/2012 10:02:00 PM

Filed Under:

Assalamualaikum & salam ceria...




Hormati Dunia Mahasiswa

By Hafizuddin An-Nuri on 8/28/2012 05:20:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...

Beberapa hari lepas, dunia kampus digemparkan dengan isu penubuhan Kelab Penyokong UMNO di setiap IPTA yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Sebelum itu juga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memulakannya dengan melacarkan Kelab Mahasiswa Keadilan yang sama konsepnya iaitu sebagai cawangan parti masing-masing di kampus-kampus Malaysia. Ini bukanlah perkara baru dalam dunia mahasiswa, lihat sahaja kelab-kelab UMNO yang ditubuhkan untuk mahasiswa di kebanyakan negara luar.

Sampai bilakah parti-parti politik ini mahu memancing undi mahasiswa dengan strategi-strategi yang lupus dek zaman ini? Sewajarnya, berdepan dengan generasi facebook, twitter dan teknologi moden ini pastinya satu metode dan pendekatan yang lebih memberi nilai kepada mahasiswa hari ini. Parti-parti politik mestilah memahami kehendak dan mengetahui keadaan semasa mahasiswa dengan membuat kajian-kajian secara imiah, bukan bertindak secara 'syok sendiri'.

Mahasiswa ada dunia sendiri, ada fikiran tersendiri, dan yang penting ada pilihan masing-masing untuk menentukan siapa yang terbaik bukan berdasarkan batang tubuh seseorang pemimpin dalam parti semata-mata bahkan tindakan, kenyataan dan tawaran-tawaran yang dibuat kepada masyarakat.

Mungkin ada pihak menyambut baik kewujudan kelab-kelab tersebut, ada juga yang membangkang. Penubuhan kelab ini ada baik dan buruknya, inilah yang saya katakan sebagai penilaian mahasiswa. Apa yang penting, parti-parti politik mesti menghormati dunia mahasiswa dan gaya mahasiswa berfikir. Jika mahu memancing ikan gunalah cacing sebagai umpan, jika mahu memburu harimau cacing bukan lagi menjadi umpan.

Mahasiswa asasnya 3 kriteria utama yang membolehkan institusi mahasiswa ini bergerak lebih terkehadapan iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme.

1.Idealisme yang diterjemahkan kepada daya fikir atau kekuatan mental yang menjadi titik mula kepada seorang pemimpin yang berjaya, mahasiswa mesti terdidik atas landasan pemikiran tersendiri dengan kombinasi kepercayaan dan pendirian yang tegas, jelas dan berlandaskan kecintaan kepada nilai murni dan pada masa yang sama kebencian kepada perkara yang negatif.

2.Idealisme hanyalah berkonsep teori dan masih belum terbukti kecuali dengan adanya aktivisme dalam diri seorang pimpinan mahasiswa, kesanggupan berkorban dan kesungguhan yang jitu demi merealisasikan idea dan fikiran yang tercetus

3.Seorang mahasiswa tidak layak digelar mahaiswa sehingga budaya keilmuan dihidupkan di dalam dirinya melalui pembacaan, diskusi, debat, pendengaran atau apa sahaja yang mampu melahirkan sifat intelektual di dalam diri seorang mahasiswa

Mahasiswa dalam kancah politik tidak dapat dipisahkan dengan tema 'mahasiswa agen perubahan'. Tidak mengira siapa kerajaan dan siapa pembangkang, mahasiswa hanya mahu mencetuskan perubahan. Dan perubahan tersebut pastinya perubahan daripada tidak baik kepada baik dan daripada yang baik kepada lebih baik. Setiap kerajaan tidak pernah sempurna, kerana itu mahasiswa bertindak sebagai kelompok check and balance.

Inilah realiti mahasiswa yang parti-parti politik samada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) mesti hadapi. Hormati dunia mahasiswa dengan tawaran-tawaran yang lebih merakyat dan berfaedah, bukan helah politik yang hanya akhirnya menjadi gula-gula kepada rakyat.

Kriteria Negara Islam & Parti Politik Malaysia

By Hafizuddin An-Nuri on 8/26/2012 12:35:00 AM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Dalam membincangkan kewujudan Negara Islam, Prof Dr Muhammad Abd Rauf dalam bukunya 'Ummah:The Muslim Nation' menggariskan 6 perkara asas yang dikira sebagai rukun Negara Islam:  

1.Kualiti individu/batang tubuh pemimpin, seorang yang adil, berani dan mampu, berilmu pengetahuan luas(dunia/akhirat), hebat dalam teknik-teknik peperangan dan mahir dalam pentadbiran 

Ulasan saya: Secara asasnya ciri-ciri pemimpin yang ideal disebutkan dalam Al-Quran terdiri daripada 2 aspek utama iaitu kemampuan (Al-Qawi) dan integriti (Al-Amin). Namun, dalam perbahasan mengenai pemimpin dan kriteria-kriterianya, pelbagai ulama terdahulu dan kontemporari telah berijtihad dalam memastikan aspek-aspek yang perlu dinilai terhadap seseorang untuk melayakkannya menjadi seorang pemimpin yang dikehendaki seperti telus, bermasyarakat, intelektual, adil dan sebagainya.

2.Sistem Perundangan Negara Islam didominasi oleh undang-undang Islam, hak membuat hukum dalam sebuah negara Islam adalah milik Allah 

Ulasan saya: Apabila berbicara soal hukum Islam, maka persepsi utama masyarakat adalah hukum hudud. Secara amnya, dalam sistem perundangan jenayah Islam, ulama membahagikan undang-undang Islam kepada 3 bahagian iaitu hudud (zina, qazaf, mencuri, minum arak, murtad dan hirabah), qisas (berkaitan hak mangsa atau walinya) dan ta'zir (hukuman selain hudud dan qisas yang ditetapkan oleh pemerintah).

Dalam realiti perlembagaan undang-undang Malaysia, setiap akta dan enakmen yang termaktub dalam perlembagaan adalah bersifat subjektif. Sesiapa yang berkuasa berhak membuat pentafsiran terhadap akta tersebut atau membawanya ke mahkamah bagi pihak pembangkang untuk mentafsir sesuatu akta yang diragui maksudnya.

3.Pengamalan syura yang merakyat, konsep syura ini mestilah melibatkan penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan dan menyediakan sistem 'checks and balances' 

Ulasan saya: Konsep syura yang difahami hari ini telah disalah tafsir oleh banyak pihak, atau telah disalah gunakan. Syura atau musyawarah adalah satu perbincangan yang dibentuk untuk mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara. Sistem syura mestilah merakyat agar ia tidak terawang-awang oleh pihak pemutus sahaja. Penilaian-penilaian mestilah bermula dari bawahan sebelum ia diperbincangkan di peringkat atasan, dan koleksi pendapat bawahan ini bukanlah hanya untuk dijadikan syarat tetapi ianya perlu dinilai berulang kali supaya proses keputusan menjadi matang.

Cara ini juga digelar sebagai demokrasi, jelas, sistem syura dalam Islam tidak sedikit pun menutup ruang perbincangan bahkan membuka seluas-luasnya suara-suara semua pihak untuk dijadikan perbincangan bersama. Natijahnya, keputusan yang dikeluarkan adalah keputusan yang matang dan mesti disepakati bersama.

4.Keadilan untuk semua, kesamaan diberi kepada semua warganegara tanpa mengira puak, bangsa atau keturunan 

Ulasan saya: Sebuah kerajaan Islam yang mengamalkan prinsip dan nilai-nilai murni mesti meyakini bahawa datangnya Islam untuk semua. Islam datang bukan untuk Arab, bukan juga untuk Melayu, asas ini mesti difahami secara betul pada konteksnya supaya kerajaan Islam yang terbentuk tidak dilabel sebagai kerajaan yang bias kepada puak-puak tertentu sahaja.

Hakikatnya di Malaysia, isu Islam hanya berlegar dalam kalangan masyarakat Melayu dan bukan Melayu yang memeluk Islam. Pemikiran dan konsep ini mesti diperbetulkan agar ia tidak menjadi satu paranoid dalam masyarakat majmuk Malaysia. Islam dijuzukkan dengan kewujudan label Melayu Islam, Cina Muslim, Cina Buddha, India Muslim dan sebagainya. Islam itu tetap Islam.

5.Melaksanakan prinsip hak persamaan sesama manusia dan semua hak-hak asasi manusia sejagat 

Ulasan saya: Islam datang bukan dengan keterpaksaan, bahkan memberi seluas-luasnya kebebasan kepada manusia dalam menentukan cara hidupnya tersendiri. Namun perjuangan hak-hak asasi manusia atau kesamarataan telah diterjemahkan dengan pelbagai tafsir yang bersesuaian dengan kepentingan pihak-pihak yang mentafsirnya. 

Dalam isu sebegini, ramai pejuang hak asasi manusia tergelicir apabila ia tidak didasarkan kepada 'mengapa hak asasi diperjuangkan' tetapi berasaskan 'apa isu hak asasi manusia yang dapat memberi manfaat kepada kita'. Pada situasi inilah, kaedah-kaedah fiqh diperlukan supaya ia bukan didasari oleh kehendak manusia semata tetapi dilandasi sunnatullah. Setiap kebebasan itu ada batasannya.

6.Mempunyai komitmen yang penuh terhadap syariah dan hukum-hakamnya

Ulasan saya: Paksi kepada asas sesebuah negara Islam adalah perlaksanaan syariah dan hukum-hakamnya. Negara Islam yang mendakwa meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar perlembagaan negara, tetapi masih berbelah bahagi dalam perlaksanaan atau memilih sebahagian dan menolak sebahagian masih belum mencapai kriteria sebuah Negara Islam.

Antara misi perlaksanaan syariah Islam dalam sesebuah negara adalah untuk memastikan umat Islam yang wujud adalah masyarakat yang mempunyai aqidah yang benar, mengamalkan ibadah khas dan am dalam kehidupan dan mempunyai akhlak dan budi yang baik.

Kesediaan Parti Politik Malaysia

Menghadapi pilihanraya umum (PRU) ke-13, mengambil iktibar daripada revolusi yang berlaku di negara umat Islam di Timur Tengah telah memberi laluan kepada kebangkitan Islam yang dicetuskan oleh rakyat dan gerakan-gerakan Islam sendiri.

Namun, persoalannya, bersediakah parti-parti politik khususnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menghiasi tampuk pemerintahan Putrajaya dengan keindahan dan keharmonian sebagai model pemerintahan Islam pertama di Malaysia.

Hakikatnya, tidak mengira parti politik samada PAS, PKR, UMNO hatta DAP dan MCA sekalipun yang mampu memenuhi kriteria-kriteria pemerintahan yang adil dan amanah, maka ia menjadi pilihan utama masyarakat teknologi hari ini.

Maka cabaran paling utama kepada parti politik adalah cabaran realiti yang penuh dengan maklumat semaksimum penyampaiannya. Satu perubahan secara teknikal, modus dan strategi secara 360 darjah mesti dilaksanakan. Hanya gerakan politik yang fleksibel sahaja mampu mendapat tempat dalam pangkahan undi masyarakat sebagai pilihan. Namun ianya mesti melalui satu sistem demokrasi dan pilihanraya yang bersih dan adil untuk melahirkan 'Good Governance'.