Rejim Jatuh, Bersedialah Kita

By Hafizuddin An-Nuri on 2/12/2011 11:58:00 AM

Filed Under: , ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Kemenangan rakyat dilaungkan apabila Hosni Mubarak diisytiharkan telah meletakkan jawatannya sebagai Presiden Mesir. Hal ini telah mendapat perhatian dunia kerana keegoan Mubarak pada awalnya untuk bertahan sehingga sesi pemilihan presiden yang akan datang bulan September ini. Mubarak selama 30 tahun memerintah Mesir secara diktator dibenci oleh rakyat yang sudah tidak dapat menahan kesabaran yang terpendam.

Berundurnya Mubarak yang dikatakan sebagai antara anak emas Amerika Syarikat dan Zionis Israel, menggembirakan seluruh rakyat Mesir dan juga umat Islam seluruh pelusuk dunia. Kemenangan rakyat Mesir yang berbelas-belas hari berkumpul di Dataran Tahrir dan menyaksikan beratus-ratus kematian tidak sia-sia. Perarakan kemuncak pada hari Jumaat ke Istana Presiden yang menjadi tempat larangan berkurun-kurun akhirnya menamatkan keperitan.

Uniknya perhimpunan ini tidak didalangi oleh mana-mana kumpulan atau parti politik. Atas kesedaran yang tinggi, setelah berpuluh-puluh tahun hidup dalam kegelapan, rakyat sendiri yang bangkit rentetan kebangkitan rakyat Tunisia.

Parti pembangkang di Mesir antaranya didokong oleh Ikhwanul Muslimin (IM). Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada IM sangat tinggi dek kerana kekuatan dalaman dan luaran IM yang sangat hebat. Figura-figura IM tidak dapat dinafikan lagi. Harapan yang diberikan oleh rakyat sangat tinggi untuk membawa perubahan paradigma kepada Mesir. Istilah negara Firaun mesti dihapuskan, biarlah Bumi Anbiya yang menjadi gelaran.

Namun, dalam kegembiraan kejatuhan Hosni Mubarak masih wujud kemusykilan yang menjadi persoalan. Apakah benar Hosni Mubarak jatuh? Apakah ada perancangan lain di sebaliknya? Bukan tidak mempercayai apa yang berlaku di hadapan mata, tetapi permainan Zionis bermacam-macam.

Andai kata, Hosni Mubarak berundur dengan selesa maka kita ditipu hidup-hidup. Kebarangkalian untuk Mubarak meninggalkan kader-kadernya sangat tinggi. Tidak mustahil untuk anak didiknya meneruskan pemerintahan Firaun ini. Perancangan musuh sangat tidak dijangkakan. Kejatuhan pun boleh dijadikan kemenangan mereka.

Persoalan tersebut bukanlah untuk mengikis semangat dan keyakinan yang tinggi terhadap kemenangan, kerana kemenangan itu pasti. Islam sudah dijamin kemenangannya. Cumanya, pelbagai persediaan kelengkapan yang perlu kita usahakan. Yakinlah Islam pasti menang.

Semoga dengan berita gembira ini, dapat mencetus rasa semangat yang berdasarkan kefahaman yang nyata dan jelas untuk meneruskan perjuangan Islam khususnya di Malaysia. Selagi rejim Zionis-Malaysia masih bertapak di tanah air tercinta ini, selagi itulah gerak kerja bersungguh-sungguh mesti kita padukan. Allah tidak melihat pada hasilnya kerana menang itu sudah pasti, tetapi Allah menilai kita pada usaha yang bersungguh-sungguh dan terancang. Yakinlah Allah bersama-sama pejuang Islam. Allahuakbar!



0 comments for this post