Mengisi Kemenangan, Bertindaklah Sebagai Kerajaan Bukan Pembangkang

By Hafizuddin An-Nuri on 2/25/2011 06:56:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...


Bahang kepanasan pilihanraya kampus (PRK) masih lagi terasa walaupun semua peserta telah melepasi garisan penamat. Meraikan kemenangan Pro-Mahasiswa yang berjaya menguasai beberapa kampus utama IPT tahun ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat dan besar.

Pada PRK kali ini, Pro-Mahasiswa telah berjaya menguasai Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian (USMKK), Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan (UMSL) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Kemenangan besar di kampus-kampus tersebut tidak boleh sama sekali menyebabkan para aktivis mahasiswa berada di zon yang selesa dan senang. Usaha yang padu berserta doa dan tawakal kepada Allah akhirnya membuahkan hasil. Dalam kemenangan ada ujian. Ujian kemenangan yang diberikan ini lebih besar berbanding sebelum ini. Hasil kemenangan inilah menjadi kayu ukur kepada kerajaan mahasiswa Pro-M untuk membuktikan komitmen dan integriti kita dalam pemerintahan.

Antara fokus utama masyarakat untuk menilai prestasi MPP baru ini adalah manifesto. Manifesto yang menjadi bahan utama semasa kempen akan dinilai kembali. Merealisasikan manifesto mestilah sekuat momentum kempen. Hal ini demikian supaya manifesto yang hebat itu tidak dilabelkan sebagai janji manis di mulut, hanyalah retorik semata-mata.

Penilaian kepada calon MPP yang menang juga akan diukur. Masyarakat akan melihat samada wujud atau tidak perbezaan berbanding calon lain yang menjadi lawan. Pimpinan dari Pro-M mestilah mempunyai identiti yang tersendiri. Identiti inilah yang membezakan kita daripada kumpulan lain supaya kita dilihat membawa perubahan sebenar. Sangatlah teruk andai pimpinan mahasiswa yang menang bertanding membawa tradisi korupsi yang lama.

Kita perlu sedar dan yakin, bermula dengan kemenangan ini kita bukanlah di pihak pembangkang lagi. Kita adalah pemerintah kerajaan. Oleh yang demikian, tindakan dan perilaku kita sebagai kerajaan mestilah lebih profesional dan rasional. Pembawaan pimpinan mahasiswa mestilah berubah dengan lebih dinamik. Jika pendekatan agresif itu sudah sinonim, maka ubahlah kepada pendekatan yang lebih diplomatik.

Tidak dinafikan, pastinya sekatan demi sekatan terus dikemaskini oleh pihak atasan, namun dengan memegang tampuk kerajaan, mahasiswa mesti mencatur dengan lebih bijak dan efektif. Bermula tampuk kepimpinan yang baru di setiap kampus, sudah tiba masanya kerajaan Pro-Mahasiswa membuktikan sebab dan rasional masyarakat kampus perlu menerima kerajaan kita. Jangan biarkan kemenangan ini menjadi sebab kekalahan akan datang.

Justeru, seluruh pendokong dan penyokong Kerajaan Mahasiswa diseru agar memberi tumpuan dan komitmen yang tinggi untuk mengisi kemenangan yang besar ini. Jangan biarkan sahabat-sahabat pimpinan mahasiswa berseorangan dalam mencapai tujuan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Kemenangan bukan untuk bermegah, tetapi kemenangan itu untuk diisi dengan perubahan.

0 comments for this post