MPP UIAM Turun Bergaya, PRK Semakin Hampir

By Hafizuddin An-Nuri on 1/26/2011 04:47:00 PM

Filed Under: ,

Assalamualaikum & salam ceria...



AGM Majlis Perwakilan Pelajar UIAM sudah berlalu, memberi tanda bahawa Pilihanraya Kampus semakin hampir. MPP UIAM yang diketuai oleh saudara Mohd Firwan Norliza sesi 2009/2010 boleh diiktirafkan sebagai turun dengan bergaya.

MPP UIAM telah berjaya membawa legasi mereka sehingga ke peringkat nasional dan antarabangsa. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kesungguhan gerak kerja MPP UIAM sangat tinggi dan berjaya memuaskan hati mahasiswa UIAM secara keseluruhannya.

Populariti Mohd Firwan Norliza memang tidak disangkal lagi dengan melibatkan diri ke semua aspek dan bidang sebagai presiden yang responsif. Namanya terpapar hampir di semua akhbar tempatan cetakan mahupun atas talian di alam maya. Respon yang diberikan terhadap isu-isu kampus, masyarakat dan antarabangsa sangat menjadi perhatian.

MPP UIAM yang membawa agenda mahasiswa berorientasikan servis, isu dan program ini telah membuka mata masyarakat kampus khasnya dan luar kampus amnya bahawa kepimpinan mahasiswa tidak boleh dipandang enteng dan tidak matang. Kebijaksanaan MPP UIAM dalam mengeksposkan keterlibatan dalam arena politik kampus sangat membanggakan.

MPP UIAM melalui presidennya telah membina hubungan yang baik dengan seluruh pimpinan mahasiswa di kampus-kampus lain. Perkara ini perlu diakui kerana hubungan yang baik ini telah membina kesatuan mahasiswa di peringkat nasional.

Dalam menangani isu-isu kebajikan mahasiswa, pelbagai perencanaan dilakukan bagi memastikan mahasiswa UIAM berada dalam keadaan yang baik dan terjaga. Tidak cukup dengan itu, MPP juga telah menyerahkan memorandum kepada YB Dato Saifuddin Abdullah dan juga pihak pentadbiran dalam program AGM baru-baru ini. Walaupun mereka sudah lagi tidak berkuasa untuk menjalankan tugas MPP selepas ini, namun kecaknaan yang ditunjukkan pelulah dipantau oleh MPP akan datang.

Tahniah SRC IIUM 2009/2010.

AGM baru berlalu, bermakna ahli-ahli MPP menurunkan jawatan masing-masing. Kerusi-kerusi perwakilan mahasiswa akan kosong. Suara mahasiswa mesti diketengahkan. Tidak dapat tidak, menjadi tradisi, dalam masa terdekat ini notis pengeluaran borang untuk bertanding dalam pihanraya kampus akan keluar pada bila-bila masa sahaja.

Pilihanraya kampus (PRK) dijangkakan pada bulan Februari ini. Kampus-kampus lain juga sedang bersiap sedia untuk menghadapi PRK. PRK yang diadakan setiap tahun menjadi kayu ukur untuk menilai prestasi politik di peringkat mahasiswa.

Tidak sepatutnya berlaku apabila wujud beberapa pihak yang berautoriti tinggi cuba menyekat kemaraan mahasiswa. Peraturan-peraturan yang telah digariskan perlulah disemak kembali samada masih rasional atau tidak untuk digunakan lagi. Peraturan diwujudkan hanyalah untuk menjaga dan memantau keamanan dan disiplin bagi sesebuah tempat. Tidak perlulah menjadikan peraturan sebagai penyekat dan penghalang bagi gerakan mahasiswa untuk mempersembahkan kebijaksaan dalam kepimpinan.

Peraturan yang menyekat mahasiswa untuk terlibat dengan kempen secara berkumpulan dan mengiktiraf sebagai wakil kumpulan tertentu sangat bersifat dangkal. Peraturan sebegitu tidak wajar lagi digunakan di dalam kampus bertaraf antarabangsa ini. PRK kali ini mestilah memperlihatkan kepada masyarakat bahawa pemilihan pemimpin dalam kalangan mahasiswa adalah sangat penting.

Saya berharap agar pihak pentadbiran tidak meletakkan kami, Pro-Mahasiswa UIAM (WUFI) sebagai kumpulan penentang. Pro-M (WUFI) berhasrat dan bercita-cita untuk merealisasikan harapan dan aspirasi UIAM melalui visi dan misi-misi yang telah ditetapkan sejak zaman-berzaman.

WE UNITE FOR IIUM, WE UNITE FOR ISLAM

0 comments for this post