Malaysia Mesti Diberi Nafas Baru
By Hafizuddin An-Nuri on 4/29/2012 08:35:00 AM
Filed Under:
Assalamualaikum & salam ceria...
Cabaran globalisasi dan persaingan modenisasi telah
member kesan dan impak yang besar kepada pembangunan social duniahari ini. Selari
dengan itu juga teknologi dikemaskini dari semasa ke semasa, medium penyebaran maklumat
juga semakin canggih, maklumat hanya diperoleh dalam masa beberapa saat hanya dengan
menggunakan jari. Malangnya pembangunan struktur masyarakat hari ini telah dipengaruhi
oleh kepentingan diri dan kelompok tertentu yang menyebabkan wujudnya golongan
‘berkuasa’ dan golongan tertindas. Perkembangan ini juga telah dibangunkan secara
tidak seimbang dengan pembangunan aspek rohani dan moral masyarakat hari ini.
Dalam perbahasan permasalahan ini, Malaysia adalah antara
negara yang masih belum mencapai tahap negara yang mengamalkan konsep demokrasi
secara sepenuhnya. Bahkan, intitusi-insitusi yang dinaungi oleh kerajaan masih dipertikai
dan diragui integritinya untuk mengurus tadbir negara ini. Antara faktor yang
boleh kita bincangkan dalam isu ini adalah peranan dan kebebasan media di Malaysia,
pengamalan rasuah yang semakin meningkat dalam institusi kerajaan dan pengurusan
dan urus tadbir negara yang lemah.
Apabila kita menyentuh perkara
yang berkaitan dengan politik atau pemerintahan negara, pastinya kita tidak
dapat menafikan fungsi dan peranan pilihanraya untuk memilih calon terbaik
mewakili rakyat secara demokrasi. Dalam ilmu politik, perjalanan pilihanraya
lazimnya dikaitkan dengan "3M" yang merujuk kepada faktor Media,
Money dan Machinery(jentera). Media
adalah saluran terbaik untuk menyampaikan agenda bagi sesiapa pun yang
menguasainya, sehingga ada penganalisis politik yang berpendapat kumpulan yang
menguasai media akan menguasai ‘medan peperangan’.
Dan inilah yang berlaku di
Malaysia, saluran media arus perdana bukan lagi dijadikan saluran informasi
rakyat tetapi dimanipulasikan sehabis-habisnya untuk memberi keuntungan politik
kepada parti pemerintah semata-mata. Bahkan lebih memalukan lagi, media umum
seperti RTM1 dan Utusan Malaysia mahupun media swasta seperti Astro digunakan
untuk memburuk-burukkan parti yang tidak menyebelahi kerajaan atau parti
pembangkang.
Jika benar kerajaan Malaysia
berwawasan tinggi untuk meletakkan negara di taraf yang tinggi, beberapa negara
maju boleh dijadikan sebagai contoh seperti Amerika Syarikat yang diberikan
kebebasan untuk membeli airtime di
mana-mana stesen televisyen atau radio sebagai wadah kempen. Begitu juga dengan
apa yang berlaku di negara jiran, Indonesia yang membuka ruang debat dan soal
jawab secara terbuka kepada calon-calon yang bertanding dalam pemilihan umum
dan beberapa pemilihan gabenor.
Merujuk kepada Transparency International
berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah tahunan pada tahun 2009, 5 negara seperti
Switzerland, Sweden, Singapura, Denmark dan New Zealand telah mengunguli kedudukan
antara negara yang paling bersih dan berprinsip dalam menangani rasuah di negara
masing-masing. Namun, rakyat Malaysia hanyalah mampu berbangga dengan fakta
negara asing kerana Malaysia mencatatkan kedudukan ke-56 daripada 180 buah
negara dalam Indeks Rasuah apabila hanya mencapai nilai skor 4.5 daripada 10.
Tidak dapat dinafikan, golongan yang terlibat
dengan gejala rasuah ini sinonimnya adalah orang atasan daripada kerajaan
mahupun swasta. Faktor ketamakan dan mementingkan diri sendiri ini menjejaskan
prestasi pentadbiran negara sekaligus member imej yang sangat buruk di mata
dunia. Dalam beberapa kajian dan pemerhatian, faktor terbesar berlakunya kes
rasuah adalah kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi yang tidak
berasaskan kepada konsep kepimpinan kelayakan dan integriti. Oleh yang
demikian, kita bloeh mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan kerajaan
Presiden Marcos di Filipina yang dijatuhkan kerana amalan rasuah yang tidak
dibendung.
Mahasiswa hari ini khususnya
mesti bijak menilai, jangan mudah terpedaya dengan sebaran doktrinisasi yang
semakin kencang. Politik sebenar yang berteraskan kebajikan rakyat dan
pentadbiran yang cekap mesti dibezakan dengan politik kotor yang hanya
bermatlamatkan menjaga kepentingan kumpulan sendiri berbanding seluruh
masyarakat tanpa memilih bulu.
Parti-parti politik hari ini
lebih gemar bermain isu peribadi dalam keghairahan mencapai kemenangan dalam
pilihanraya, sehingga menyebabkan berlakunya fitnah yang berleluasa. Kita juga
menolak segala korupsi yang berlaku pada hari ini khususnya dalam pentadbiran
dan urus tadbir kerajaan Malaysia hari ini, termasuklah
penyelewengan-penyelewangan sesama kroni. Waspada, kesannya terlalu besar dan
bahaya kepada masyarakat. Inilah pengajaran yang perlu diambil setelah melihat
kemusnahan negara termasuk ketidakstabilan sosial dalam masyarakat hari ini.
Melihat perkembangan politik hari
ini, kita mesti berubah. Malaysia mesti berubah, Malaysia mesti diberi nafas
baru. Pentadbiran yang cekap mesti mengambil alih pentadbiran yang sudah goyah
dan tidak dipercayai lagi. Sistem-sistem yang baru mesti diperkenalkan dan
menggantikan sistem-sistem yang sudah semakin tidak berfungsi lagi. Maka dalam
membuat perubahan besar ini, pilihanrayalah menjadi medan penantian dan sebagai
harapan terakhir. Namun seandainya perjalanan pilihanraya pun tidak bersih dan
tulus, itulah tanggungjawab dan peranan seluruh warganegara Malaysia untuk
memastikan sistem pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) bersih dan diyakini. BERSIH
3.0 bukan perhimpunan menentang kerajaan, tetapi perhimpunan membaik pulih
kerajaan.
Saiful M. Amin
Pengerusi WUFI (We Unite For
Islam),
UIAM Gombak
0 comments for this post